BAB 36

2.5K 238 13
                                    

KERETA Hannah membelah lebuh raya. Dia dalam perjalanan pulang ke rumah tetapi dia harus mengambil Fateh terlebih dahulu di rumah pengasuh. Mengikut perancangan, majlis dia dan Rayyan tidak lama sahaja lagi tetapi dia sudah memutuskan untuk tidak meneruskan majlis mereka. Rayyan masih belum berputus asa untuk memujuknya namun hatinya terlalu sakit untuk menerima. Deringan telefon bimbit menyentakkan Hannah daripada lamunannya. Mata dikerling ke skrin telefon untuk melihat nama pemanggil. Daddy?

Jelas terlihat garis kedutan di dahi Hannah. Daddy jarang sekali menelefon Hannah tetapi dia tidak pernah terlupa untuk mesej Hannah setiap hari. Walaupun Hannah marahkan daddynya tetapi hati wanitanya tetap lembut apabila daddy tidak berputus asa untuk mengambil semula hatinya. Setiap hari daddy akan menghantar pesanan ringkas kepadanya meskipun tiada balasan daripada Hannah.

Panggilan termati sendiri tetapi telefonnya berdering semula selepas beberapa saat. Hannah menekan punat hijau di skrin telefon dan memasang loud speaker.

"Assalamualaikum adik," sapa Tengku Akbar.

"Waalaaikumussalam," jawab Hannah.

"Adik, daddy nak minta tolong boleh?"

"Ya, apa dia?" Hannah dihambat rasa risau. Tidak pernah-pernah daddy dia meminta tolong kepadanya sebegini.

"Daddy sebenarnya tersadai di hospital sekarang sebab kereta rosak. Daddy tak boleh nak balik rumah. Kalau adik ada berdekatan hospital daddy, boleh tak adik ambil daddy?"

Hannah terdiam sejenak. Kalau diikutkan, perjalanan dia ke hospital tempat daddy bekerja mengambil masa lebih kurang 30 minit. Tetapi dia juga perlu mengambil Fateh di rumah pengasuh.

"Adik, boleh ke?" soal Tengku Akbar semula apabila tidak mendapat apa-apa balasan daripada anaknya itu.

"Sekejap," Setelah berfikir-fikir, Hannah menukar arah ke hospital. Nanti dia akan menelefon pengasuh Fateh dan memberitahu bahawa dia akan pulang lambat sedikit. Kesian pula pada daddynya, risau jika dia benar-benar tiada sesiapa untuk diminta tolong.

"Setengah jam lagi saya sampai," kata Hannah.

"Terima kasih adik. Daddy tunggu adik di lobi ya."

"Okay," balas Hannah pendek.

Tengku Akbar tersenyum seorang diri. Dia tahu jauh di sudut hati anaknya itu masih terselit perasaan belas dan cinta pada dirinya sebagai seorang bapa.

Setengah jam kemudian, Hannah tiba di lobi hospital. Dia melihat kelibat daddynya yang duduk di kerusi sambil melihat telefon bimbit. Saat Tengku Akbar mengangkat kepala, dia perasan akan kereta Hannah lalu dia berjalan menuju ke kereta anaknya. Rindunya!

"Adik boleh drive? Atau nak daddy yang drive?" soal Tengku Akbar saat dia membuka pintu di sebelah tempat duduk pemandu.

"Saya drive," jawab Hannah pendek.

Tengku Akbar akur lalu dia mengambil tempat di sebelah Hannah. Hatinya berbunga-bunga kerana tidak pernah lagi dia meluangkan masa dengan anaknya seperti ini setelah peristiwa empat tahun lepas. Hannah pun mula menyambung pemanduannya.

"Fateh mana?" Tengku Akbar memecah keheningan suasana setelah lima minit masing-masing membisu.

"Dekat rumah pengasuh." Hannah tetap fokus pada pemanduannya. Dia kekok untuk berbual tapi dalam masa yang sama perasaan rindu terhadap seorang ayah menggebu.

"Adik ambil Fateh dahulu kemudian baru hantar daddy?" soal Tengku Akbar lalu dibalas dengan anggukan. Rumahnya jauh ke dalam sedikit dari rumah anaknya. Tengku Akbar curi-curi merenung anak daranya dari tepi. Tidak mahu terlalus jelas, risau Hannah berasa tidak selesa. Hannah banyak mengikut iras mukanya, manakala Tengku Hannani iaitu kakak kepada Hannah pula mengikut raut wajah isterinya.

HER GUARDIAN ANGELWhere stories live. Discover now