BAB 7

4.6K 389 30
                                    

JAM di dashboard kereta menunjukkan pukul 10 malam. Hannah memandu dengan tenang menuju ke rumahnya. Malam ini, dia teringin sangat makan pizza dominos. Selepas menunaikan solat Isyak, dia menyuruh Fateh bersiap-siap untuk mengikutinya. Penghawa dingin bersama dengan bayu malam menambah kedinginan. Siaran radio Ikin FM dibuka memecah keheningan suasana. Mulut kecil Fateh mengikut rentak Selawat Fatih nyanyian kumpulan UNIC yang sedang dimainkan di radio. Begitu lancar dan jelas sekali setiap butir perkataan yang disebut. Tanpa sedar, bibir Hannah turut mengikut sama.

"Mama..." Fateh memulakan bicara.

"Ya, sayang..." Sahut Hannah. Matanya masih ditumpukan ke hadapan. Berhati-hati dia membawa kereta.

"Kalau Fateh tanya ni mama jangan marah tau." Lembut sahaja suara Fateh.

"Kenapa mama nak marah pula? Fateh tak buat salah apa pun." Balas Hannah.

"Memang sekarang Fateh tak buat salah. Tapi Fateh takut soalan yang Fateh tanya nanti buat mama marah."

Hannah kerut dahi. Pelik dengan sikap Fateh. Sejak bila dia sangat berhati-hati dalam mengutarakan soalan? Selama ini, jika perasaan ingin tahu dia membuak-buak, laju sahaja mulut kecilnya itu melontar soalan tanpa meminta kebenaran Hannah. Mata Hannah memandang Fateh di sebelahnya. Kanak-kanak itu yang sedari tadi memerhatikan Hannah serta merta mengalihkan bebola matanya.

Lantas tangan kiri Hannah menggenggam erat tangan Fateh. Dia yakin ada sesuatu yang mengganggu fikiran anaknya itu, "Kenapa Fateh? Tanyalah apa-apa pun. Kalau mama boleh jawab, mama jawab ya. Mama tak akan marah sayang pun."

"Betul ni mama tak akan marah Fateh?" Fateh meminta kepastian sekali lagi. Matanya tunak memandang Hannah.

"Ya Fateh..."

"Mama janji?"

"Ya, mama janji tak marah Fateh." Hannah mengangkat tangan gaya bersumpah untuk meyakinkan anaknya itu.

"Lelaki yang kita jumpa dekat kedai buku minggu lepas tu ayah Fateh kan mama?"

Hannah terpempan, tidak diduga soalan itu yang akan dikeluarkan dari mulut Fateh. Patutlah Fateh kelihatan begitu berhati-hati kerana dia tahu soalannya itu agak sensitif. Hannah sentiasa mengelakkan diri apabila Fateh mengutarakan soalan sedemikian. Dia tiada jawapan untuk itu dan dia juga tidak bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan yang bakal berlaku.

"Bukan, tu bukan ayah Fateh..." Hannah menidakkan. Mana mungkin dia menjawab soalan Fateh andai dia sendiri tidak pernah melihat walau sekali pun raut wajah milik lelaki yang mempunyai darah yang sama mengalir ke dalam diri Fateh.

Apa yang dia pasti, Mr.Black bukanlah ayah kandung Fateh kerana ayahnya yang sebenar sudah lama meninggal dunia. Namun, dia juga tidak pasti sejauh mana kebenaran itu.

"Jadi, mana ayah Fateh?"

"Ayah Fateh kan kerja... Ayah Fateh kerja jauh... Mama pun tak tahu bila ayah Fateh akan balik." Hannah paksa dirinya untuk melakar segaris senyuman buat Fateh sambil tangannya mengusap lembut ubun-ubun Fateh demi memujuknya. Itulah jawapan yang sering diberikan andai Fateh bertanyakan soalan sedemikian. Jika Fateh diberitahu bahawa ayahnya sudah meninggal dunia, sudah pasti dia tiada jawapan jika Fateh bertanya di manakah kubur ayahnya itu.

"Kenapa ayah tak nak jumpa Fateh? Ayah tak sayang Fateh ke?" Fateh teresak-esak kecil. Tangisan yang cuba ditahan sedari tadi akhirnya pecah. Hati Hannah turut dihambat rasa sayu. Jiwanya meruntun hiba melihat Fateh dalam keadaan begitu.

"Kawan-kawan di sekolah selalu cerita tentang ayah mereka. Ayah mereka jugalah yang selalu hantar dan jemput mereka dari sekolah. Dia orang selalu tanya Fateh mana ayah Fateh. Bila Fateh kata ayah kerja jauh, dia orang akan cakap yang ayah tak sayangkan Fateh. Ada juga orang cakap yang Fateh sebenarnya tak ada ayah." Tangisan Fateh semakin lebat. Akhirnya, dia menghamburkan segala yang terbuku di dada. Tidak pernah sekali pun Hannah tahu bahawa inilah yang dirasakan oleh Fateh selama ini. Wajahnya yang sentiasa tampak ceria bersama senyuman yang tidak pernah lekang dari bibirnya berjaya mengaburi kesedihan yang telah lama dipendam.

HER GUARDIAN ANGELWhere stories live. Discover now