18.

156 11 2
                                    

Seri Gumum masih lagi meronta ganas didalam kawah ledakan nuklear, semahunya cuba melepaskan diri dari rentangan ratusan wayar keluli yang menghalangnya dari bebas.

Entah berapa banyak lagi wayar keluli yang sudah putus. Seri Gumum menggunakan segala macam cara. Terbang dan menghentam, kemudian mengunyah wayar-wayar keluli tersebut malah cuba membakar dengan denyar haba yang meletus untuk keberapa kalinya. Jelas halangannya terlalu banyak. Bermacam cara naga itu cuba meleraikan rentangan wayar keluli dan jelas usaha naga itu semakin membuahkan hasil.

Kolonel Zafran melihat keadaan kawah nuklear itu dengan gusar. Seri Gumum takkan biarkan dirinya terus dipasung sebegitu. Naga terus mengganas dan tidak akan berdiam sahaja. 

Berapa banyak lagi gulungan wayar yang masih belum diguna, yang sedang digantikan dan yang sudah putus. Kolonel Zafran perlu tahu semua itu kerana masa sangat suntuk dan dia perlu merencana satu rancangan lain sebelum Seri Gumum kembali bebas. Bila-bila masa Seri Gumum bisa terlepas dan akan membawa lebih banyak kemusnahan keatas tempat tinggal manusia di Pantai Timur Semenanjung, atau mungkin lebih parah naga itu merentasi Banjaran Titiwangsa lalu membawa malapetaka keatas kota-kota besar di Pantai Barat Semenanjung.

Seraya Kolonel Zafran dipanggil kerana ada panggilan dari Natasha. Ya, gadis itu perlu berikan dia jawapan tentang usaha mistiknya yang masih belum nampak samada akan jadi atau tidak. Kolonel Zafran memang menantikan berita dari gadis itu, mahu tahu apa hasil usahanya.

"Natasha! Macam mana?" pegawai tentera itu menguap rambutnya kebelakang sebaik berdiri depan komputer.

"Kami dalam perjalanan ke Gunung Brinchang. Ada satu benda lagi kami kena buat, lepas tu baru kita boleh tahu samada cara saya ini boleh mendatangkan hasil atau tak." Jawab Natasha.

Kolonel Zafran jadi lagi runsing. Jalan yang diambil Natasha memakan masa yang lama dan belum tentu akan berjaya. Rencana mistik yang dia sendiri tak boleh terima dengan akal sihat. Tapi rencana yang tidak mistik, menggunakan senjata nuklear malah ribuan tan senjata konvensional pun tidak membuahkan hasil setakat ini. Jalan penyelesaian masih belum ditemui. Jadi Kolonel Zafran terpaksa juga akur dengan cara Natasha.

"Kamu tahu, Seri Khambuja dah menghala ke Banjaran Titiwangsa. Kami berjaya hadang Seri Gumum saja di Kuantan. Itu pun, tak tau berapa lama boleh tahan."

Natasha hanya mengangguk faham. Dia perlukan lebih banyak masa tetapi Kolonel Zafran sedang berlumba dengan masa. Masa tidak menyebelahi mereka semua.

"Saya sejujurnya tak yakin dengan apa yang kamu buat. Tapi kita semua sudah buntu. Kalau kena pakai mantera sihir sekalipun, pakailah Prof." Kolonel Zafran menekup muka. Dia kepenatan. Tidurnya juga tidak nyenyak sejak dua menjak. Pandangan matanya jelas menampakkan dirinya yang sudah tidak bermaya, tapi dicuba juga untuk sorokkan perasaan tersebut kerana dia tidak mahu nanti anak buahnya juga turut terkesan.

Kolonel Zafran masih mematikan panggilan. Dia dan pasukannya masih mencari jalan untuk sekurang-kurangnya memastikan Seri Gumum tidak terlepas dari kawah nuklear. Di tapak-tapak win gergasi yang menahan gulungan wayar, Rejimen Jurutera Diraja tidak henti-henti bekerja. Mereka memastikan wayar keluli didalam gulungan dram tidak putus.

Kemudian tidak semena-mena Kolonel Zafran terdengar jeritan dari satu arah. Natasha yang berada dibalik skrin juga hairan. Ada hiruk-pikuk diluar. 

"Pastikan kamu berjaya Natasha. Kita dah tak banyak masa dah ni." lalu Kolonel Zafran berlalu pergi. Natasha masih terpinga-pinga, mahu juga tahu apa yang sedang terjadi.

Sebaik keluar, puluhan anggota tentera dan kalangan pekerja kejuruteraan awam sedang berlari. Kolonel Zafran nampak sebab musabbabnya.

Diudara, sebuah kapal OSV sedang menuju kearah pos pemerintah, melayap seakan terbang. Kolonel Zafran kini tahu kenapa semua orang cempera melarikan diri. Kapal yang sepatutnya ada di laut kini melayang di udara dan menuju kearah pos pemerintah. 

MALAPETAKAWhere stories live. Discover now