Sesakti Sekijang menyeret tubuh si gadis masuk kedalam satu ruangan besar, yang seumpama dewan dan dipenuhi dengan tiang-tiang gadang tinggi. Cahaya lampu minyak menerangi ruangan tersebut. Sesekali makhluk kacuk manusia kijang itu berhenti dan mengeluh. Apalah nasibnya kena bersusah payah mengheret manusia ini semata untuk dibawa ketemu tuannya si Gedembai Sapurba.
Bukankah gergasi tua itu ada konco-konconya sendiri yang sasa dan gagah perkasa. Kenapa perlu dia yang membuat kerja renyah ini.
"Kau ini berakal pendek. Harap tubuh saja besar, harap kepala saja berwajah manusia." Bidas satu suara kecil yang nyaring.
"Berambuslah kau tikus mondok. Bukan urusan kau!!" Sesakti Sekijang membalas.
"Tikus dengan Sepintar Sekanchil pun tak tahu beza. Jelaslah kau tu makhluk tak berakal walaupun kacuk manusia."
Sepintar Sekanchil, seperti namanya adalah seekor kancil. Tubuhnya kecil dari nyapoh, berbintik garis perang pada bahagian belakang badannya yang putih. Berbeza dengan Sesakti Sekijang, Sekanchil ini haiwan sakti yang bukan kacukan manusia atau jin. Dialah Sang Kanchil, makhluk dongengan yang sering disebut-sebut dialam manusia sebagai penasihat Raja Sulaiman satu masa dahulu.
Bergentayangan Sepintar Sekanchil tatkala melihat Sesakti Sekijang bersungguh mengheret tubuh Natasha. Dia tak senang duduk kerana padanya ada saja cara mudah untuk selesaikan masalah yang dihadapi Sesakti Sekijang tetapi pada masa sama dia tak mahu tolong seterunya itu.
"Kalau kau tak mahu bantu, jangan sibuk. Duduk tepi." ujar satu suara garau disebalik tiang gadang.
Sepintar Sekanchil tergamam lalu melarikan diri, menyorok disebalik Sesakti Sekijang yang tersenyum sinis.
"Mari aku bantu kau Sekijang. Aku tengok kau bersusah payah dengan gadis manusia ini." kata Segala Sang Serigala.
Pantas, Segala Sang Serigala mengangkat Natasha lalu membawanya bertemu Gedembai Sapurba. Sesakti Sekijang dan Sepintar Sekanchil turut ikut sama, melewati dewan batu yang diukir oleh kalangan wangsa Gergasi. Ribuan tahun mereka tinggal di bawah pergunungan ini, melombong emas dan permata lalu dikumpul semua khazanah itu didalam satu perbendaharaan agung. Adapun wangsa Gergasi lamalah juga berdagang emas berkian dengan Srivijaya, sampai kaya-raya kedatuan itu hingga emas boleh dicampak saja ke jalanan dan ditimbun didalam tasik bila rajanya mangkat lalu diambillah semua harta itu rakyat kebanyakan sebagai pusaka mereka sendiri dan tidak habis sekelumit pun emas simpanan perbendaharaan Srivijaya.
Tapi semuanya berakhir selepas kemerosotan Srivijaya. Wangsa Gergasi tidak lagi berdagang emas berlian, mereka masih lagi melombong dan mengumpul khazanah tapi tiada yang mahu bertukar barang dagang bernilai tinggi itu bersama mereka.
Timbunan emas berlian yang ada tidak boleh ditukar ganti dengan hasil tani dari Srivijaya yang hanya wujud dalam prasasti purba lalu wangsa Gergasi pun turut ikut merosot.
Segala Sang Serigala lalu sampai dihujung dewan, berdiri tegak dihadapan pintu gadang bertatah berlian dan disalut emas suasa. Pintu gadang itu setinggi pohon tualang, selebar tujuh puluh depa dan selaknya besar dua pemeluk kayu belian.
Sepintar Sekanchil datang melilau dihadapan Segala Sang Serigala, sesekali mengelilingi lelaki bertubuh sasa, dengan lengan berbulu seakan benang perak. Segala menyeringai bila melihat telatah Sepintar yang tak reti duduk diam.
"Nah kau tunggu apa nyapoh, bukalah pintu ini."
Sepintar Sekanchil yang tadi ligat tiba-tiba diam. Dia menghadap pintu gadang itu lalu terkumat kamit membaca mantera :
Matahari empat bulan empat,
Bukakan kami tabir gemita alam,
Agar dapat masuk kami berempat,
Menghadap sang raja pendeta kalam,
YOU ARE READING
MALAPETAKA
Historical FictionNegara dikejutkan dengan penemuan julangan cahaya ditengah-tengah Laut China Selatan. Pelantar minyak musnah dan meletup ditengah laut. Kapal kargo tiba-tiba hilang, kemudian ditemui dalam keadaan yang mengerikan. Bandar pesisir pantai timur semenan...