21

202 15 8
                                    

Kawasan berkabus hingga paras peha muncul dihadapan mereka, sama seperti apa yang dikatakan oleh Pak Samad.

Noh, Hud dan Soleh melongo melihat sekeliling mereka yang rupanya seakan taman larangan. Ia amat berbeza. Lantai hutan dan beberapa dahan pohon dipterokarpa pula bercahaya hijau menjadikan kawasan berkabus itu sedikit terang berbanding tempat dimana Natasha berdiri. Ada beza antara dua tempat didalam hutan itu yang menandakan ruang dan alam yang berlainan.

"Semua warna terang kehijauan tu datang dari kulat." ujar Kamarul.

Mereka semua berpaling kearahnya mahukan penjelasan. Kamarul sedikit terkedu dengan mereka tapi meneruskan cerita.

"Dulu masa saya di universiti, saya ambil biologi sebelum alih bidang dan masuk tentera. Kaji kulat dan cendawan.  Ada beberapa spesies kulat yang bersifat biolumens - keluarkan cahaya bila dah malam." jelas Kamarul.

"Tu yang hijau muda macam night vision atas dahan-dahan mati tu Mycena Chlorophos. Memang banyak dekat hutan Malaysia. Yang atas lantai hutan depan kita ni ada macam-macam :  Mycena gombakensis, coralliformis, illuminans, sinar, tangkaisinar, sublucens, silvalucens...." Kamarul tenggelam dalam penjelasannya sendiri. Dari jauh dia boleh kenal setiap satu kulat yang melata.

Noh mendekati Kamarul dan menepuk bahunya.

"Kamu ni salah bidang, tapi baguslah. Terima kasih untuk kelas Biologi malam ni." ujarnya.

Natasha hanya tersenyum pada Kamarul yang tersipu-sipu, tak sedar yang dia melalut walaupun sebenarnya dia memuntahkan pengetahuannya yang sudah lama dipendam.

"Ilmu yang kamu belajar dulu tak sia-sia. Ada guna jugak kan?" ujar Natasha.

"Nampak macam ada denai sepanjang cahaya biolumens pada lantai hutan tu. Mungkin tu jalan yang kita kena ikut sampai ke pokok besar dekat changkat tu." tambah Kamarul lagi.

Tak salah lagi. Itulah Rimba Seru, atau sekurang-kurangnya pinggir dunia wangsa Bunian. Mereka semua membuka langkah, melintasi sempadan alam.

Disebalik kabus yang rendah pada paras peha itu, tata alam hutan berubah serta-merta. Pohon-pohon hutan didalamnya lebih besar, lebih tinggi dan kelihatan lebih tua umurnya. Cahaya samar-samar dari lumut dan kulat yang melata pada lantai hutan dan pohon-pohon sekitarnya membuatkan keadaan gelap hutan di waktu malam yang sepatutnya tidak nampak apa-apa, menjadi terang. Kupu-kupu malam terus menerus berterbangan, sementara cengkerik dan riang-riang semakin rancak berpesta membuat bunyian alam. Berbeza benar dengan keadaan hutan yang bukan dibawah jagaan Bunian.

Sebaik Natasha menjejakkan kaki melintasi sempadan berkabus, dirinya terasa seakan ditarik masuk oleh satu kuasa sakti yang tidak dapat dilihat dengan mata. Jasadnya seperti direntap, cuba untuk memisahkannya dengan roh yang terkandung. Matanya berpinar dek asakan siluman tersebut. Dia tidak mampu bersuara, seolah anak tekaknya dicengkam oleh satu tangan yang dia sendiri tidak dapat lihat.

Hud dan Soleh kaget melihat Natasha yang dijulang tinggi seolah-olah seorang pelajar sekolah yang kerasukan oleh saka. Noh dan Kamarul pantas mengacukan raifal kearah Natasha tetapi tidak tahu samada harus mereka lepaskan tembakan atau tidak. Kemudian Noh ternampak kelibat pergerakan seperti ada orang pada kabus dari sebelah kiri dan kanan. Dia menunjukkan kelibat itu pada Kamarul yang kemudian mendapat arahan dari Noh untuk menuju kearah Hud dan Soleh. Dia bergerak kedepan dan menepuk bahu Hud dan Soleh yang masih tidak tentu hala, masih tidak tahu apa hendak dibuat.

"Kiri dan kanan, tembak!" jerkah Kamarul pada mereka berdua.

Seraya keempat-empat mereka melepaskan tembakan. Bertalu-talu peluru 5.56mm ditala kearah kelibat tersebut. Noh melepaskan tembakan sampai habis kelopak peluru, dan dengan pantas menggantikannya dengan kelopak baharu yang tersemat pada rompi kalis peluru yang dipakainya.

MALAPETAKAWhere stories live. Discover now