Natasha turun dari bot dan kemudian meranduk anak sungai Tembeling menuju ke tebing. Noh dan Soleh sudah bersedia dihadapan kumpulan, siaga mengacu raifal dan memerhati keadaan sekeliling. Hud membantu Doktor Fadhlan turun manakala Leftenan Kamarul menjinjing beg milik doktor separuh abad itu setelah menambat bot pada tunggul pohon yang tumbang.
Mereka mula berjalan merentas denai tak jauh dari tebingan sungai. Suasana hutan diawal pagi memang nyaman. Kabus nipis melitupi kanopi hutan yang menjulang tinggi dan teriakan unggas bersahutan memecah kesunyian.
Noh menyelempang raifalnya dan mengeluarkan parang, menebas juluran anak pohon yang menghadang denai. Kawasan hutan itu masih tidak terusik. Meranti dan Sepetir sebesar empat pemeluk masih wujud, melindungi anak-anak pokok hutan lain. Rotan menjalar liar, dan ada antaranya melintangi denai, betul-betul diatas kepala.
Setengah jam mereka mengikut denai itu, masing-masing hanya bersembang kosong. Natasha tekun mencerap tabletnya, meneliti tulisan pada prasasti-prasasti yang ditemui seluruh Nusantara, mencari perkataan vanua. Tempat yang mereka tuju adalah satu-satunya tempat yang memberikan petanda jelas berkenaan maksud vanua yang disebut oleh Tok Puteh semasa menemui Natasha di Bukit Ibam.
"Saya tak sangka dekat Ulu Tembeling ni ada candi purba." kata Hud yang berjalan dibelakang Doktor Fadhlan.
"Kita jumpa candi ni dalam 10 tahun lepas. JUPEM yang kesan tapak candi ni masa mereka buat cerapan dengan UAV untuk kaji kesan pembalakan haram di hulu sungai Tembeling dan sempadan Taman Negara. Kawasan ni tak terusik."
Penjelasan Doktor Fadhlan terhenti bila Hud dengan pantas menepuk bahu doktor itu lalu menyuruhnya duduk mencangkung. Raifal diacu dan mata Hud tertancap pada pergerakan Noh yang berada paling hadapan. Dia nampak Noh mara dengan tangan kiri diangkat keatas tanda waspada manakala Soleh pula siaga tidak jauh dibelakang Natasha dan Leftenan Kamarul yang masih terpinga-pinga.
"Candi ni ada orang jaga ke doktor?" Hud melontarkan soalan. Dia mengacu raifalnya pada kawasan sekeliling.
Doktor Fadhlan fahamlah apa yang dimaksudkan Hud. Mereka semua terkepung. Disekeliling mereka sekumpulan Orang Asli berdiri diam memerhatikan mereka dalam sepuluh ke lima belas kaki jaraknya. Masing-masing lengkap berparang, dan ada yang membawa sumpit buluh dan senapang patah.
"Kenapa kamu datang sini!?" Jerkah satu suara.
"Kamu semua ni pembalak nak potong pokok kami kan?!" Jerkah satu lagi suara dari arah lain.
Professor Natasha bingkas bangun dan menangkat kedua tangan tanda menyerah. Dia tahu dan kenal siapa gerangan orang-orang yang mengepung mereka.
"Kami bukan pembalak. Saya Natasha. Saya kenal Tok Batin Galah. Kamu semua orang asal sini. Asal bukit. Orang-orang suku Temiar."
Orang-orang Asli itu saling berpandang bila Natasha menyebut nama Tok Batin Galah seakan tak mengerti bagaimana orang luar ini tahu ketua mereka.
"Tok Batin Galah dah meninggal. Sekarang si Jagah anaknya yang sulung jadi Tok Batin. Kamu semua datang buat apa sini. Sini bukan tempat orang luar. Balik!"
Natasha menghulurkan tabletnya yang terpapar gambar candi kepada salah seorang kumpulan Orang Asli.
"Saya nak ke tempat ni. Tok Batin Galah pernah bawa orang-orang universiti kemari tak lama dulu."
Dalam keadaan tegang, tiba-tiba ada suara melaung dari kejauhan, mengarahkan semua yang ada turunkan senjata.
"Itu Doktor Fadhlan ke dibelakang tu?"
Natasha dan Leftenan Kamarul berpaling. Doktor Fadhlan terkesima seketika tapi dia semacam kenal dengan suara itu.
Noh dan Hud masih siaga didepan. Soleh semakin merapat kearah Doktor Fadhlan.
YOU ARE READING
MALAPETAKA
Historical FictionNegara dikejutkan dengan penemuan julangan cahaya ditengah-tengah Laut China Selatan. Pelantar minyak musnah dan meletup ditengah laut. Kapal kargo tiba-tiba hilang, kemudian ditemui dalam keadaan yang mengerikan. Bandar pesisir pantai timur semenan...