Keheningan pagi di Pekan Tanah Rata, Brinchang dan Ringlet terganggu dek deruman jet pejuang dan bunyi enjin jentera milik tentera dan suara-suara lantang kalangan pegawai waran memberikan arahan kepada anak buahnya. Penduduk dan pelancong sekitar Tanah Rata terpinga-pinga, masih berselubung dalam gebar kerana kesejukan bilamana mereka menyua muka dari jendela dan melihat apa yang terjadi.
Azan Subuh baru sahaja usai berkumandang. Setelah itu kalangan anggota tentera bersolat dimana yang mereka sempat secara berjemaah, sambil anggota yang bukan Muslim berkawal melindungi sahabat mereka.
Selesai solat Subuh, Operasi Kota Bravo dimulakan.
Satu demi satu rumah kediaman, bangunan hotel dan segala rumah tumpangan, kedai-kedai dan kebun-kebun sayur diterjah oleh kalangan anggota tentera, seraya mengarahkan para penghuninya keluar dan meninggalkan Cameron serta-merta. Semua orang dikerah untuk berpindah termasuklah pekerja-pekerja asing yang bekerja di ladang-ladang sekitar Cameron.Sementara itu di padang awam pekan Brinchang, Kor Jurutera sedang menyiapkan petak pendaratan sementara untuk pesawat pejuang dan helikopter.
Deretan demi deretan trak tiga dan lima tan memenuhi jalanraya dari Ringlet hingga ke Tanah Rata dari arah Tapah, manakala kenderaan tempur pula mulai masuk ke Brinchang dari arah Simpang Pulai. Ratusan anggota tentera turun dan mereka digantikan dengan ratusan orang awam yang diarahkan berpindah. Tiada seorang dari mereka dibenarkan membawa kenderaan persendirian untuk keluar. Ada pelancong dan penduduk yang ingkar dan cuba melawan, bertekak dengan pegawai tentera dengan memberikan pelbagai alasan untuk tidak menaiki trak tentera tetapi tidak diendahkan.
Orang ramai tidak puas hati dengan tindakan pihak tentera dan kerajaan yang secara tiba-tiba melaksanakan pemindahan besar-besaran tanpa ada sekelumit amaran atau maklumat awal. Penduduk Cameron, khususnya yang memiliki perniagaan dan ladang antara yang paling begau tidak mahu berpindah. Alasan mereka, pihak tentera tidak memaklumkan mereka dari awal.
Disebalik hiruk-pikuk yang berlaku, kedengaran libasan bebaling yang membidas udara dari kejauhan lalu memunculkan puluhan helikopter CH-47E melintasi pekan Brinchang. Helikopter kelas berat itu membawa meriam dan kelengkapan perang yang kemudian didaratkan di padang hospital dan padang kelab golf Brinchang. Faruq yang menerbangkan pesawat F-35C bersama ahli skuadronnya mengiring skuadron helikopter tersebut. Deruman enjin jet menggegarkan suasana pagi kawasan peranginan terkenal itu yang selama ini sunyi dan tenang.Dari kokpitnya, dia dapat melihat pergerakan pasukan tentera dan orang awam yang seakan-akan semut. Semua kenderaan tempur, meriam swagerak dan puluhan trak pembekalan merangkak masuk ke pekan Brinchang dari jalan Simpang Pulai, sementara deretan trak tiga tan yang membawa orang awam bergerak keluar menuju Tapah.
Faruq membawa pesawatnya pada altitud rendah dan bersiap-siap untuk mendarat.
"ATC Brinchang Tempo, disini Gasak-01 mohon kebenaran untuk mendarat di LZ. 03 hingga 08 akan ikut sekali."Setelah kebenaran diberi oleh Brinchang Tempo, dia mengubah mod pesawat dari terbang kepada terkatung. Enjin jet pesawat tersebut berkalih dari menujah kebelakang kepada tujahan kebawah. Faruq mengawal pesawatnya dan mendekati padang awam untuk mendarat.
Debu berterbangan disekitar kawasan padang awam bilamana pesawat tempur generasi kelima itu berada hampir dengan tapak pendaratan.
Kalangan anak-anak kecil yang berada didalam trak menjerit kegirangan sambil melambai-lambai apabila melihat pesawat yang dipandu Faruq terbang rendah lalu mendarat.
Krew teknikal berkerumum kearah pesawat, membuat pemeriksaan pasca penerbangan dan mempersiapkan pesawat dengan tambahan bahan api untuk terbang semula nanti. Faruq tidak keluar dari kokpit kerana dia perlu mengiring skuadron helikopter tadi kembali ke Pangkalan Udara Alor Setar.
Sepanjang malam, pihak tentera telah membanting tulang dan bersengkang mata mengatur gerak kelengkapan dan sumber manusia sekitar Tanah Rata dan Brinchang. Kubu pertahanan mulai didirikan sekitar tanah tinggi Cameron, sekatan jalanraya juga diatur untuk menghalang orang awam dari masuk ke Cameron.
Tujuan tentera diaturgerak ke Cameron tidak diketahui oleh orang awam, tetapi ada yang mendengar desas-desus bahawa pihak tentera sedang bersiap sedia untuk kemungkinan Seri Gumum dan Seri Khambuja muncul di tanah tinggi Cameron dan cuba merentasi Banjaran Titiwangsa. Ramai yang menyangka bahawa tentera diaturgerak di sekitar Karak kerana itu jalan utama masuk dari pantai timur ke pantai barat, namun jangkaan mereka ternyata meleset.
Sekitar jam lapan pagi, deretan trak tentera yang dipenuhi orang awam mulai bergerak meninggalkan pekan-pekan utama Cameron. Kampung Raja antara pekan terawal yang dikosongkan kerana penduduk disana diberikan kebenaran untuk menggunakan kenderaan sendiri, diikuti dengan Terla dan Tringkap yang lebih dekat dengan jalan menuju Simpang Pulai dan Gua Musang.Kalangan orang awam yang tidak sempat dipindahkan dengan trak atau tidak mempunyai kenderaan persendirian, dibawa dengan bas ekspres dan bas kilang yang dikerah pengunaannya oleh tentera. Penduduk Brinchang dan Tanah Rata semuanya menaiki trak tentera.
Tidak semena-mena, langit disekitar Cameron mulai berubah menjadi gelap. Hawa udara yang kebiasaannya dingin bertukar teramat hangat. Debu seakan salji mula turun seolah baru sahaja berlaku letusan gunung berapi. Guruh mula berdentum dan kilat sabung-menyabung. Di balik deretan bukit dan gunung, ngauman bingit Seri Gumum dan Seri Khambuja sayup-sayup kedengaran.Faruq merasakan ada yang tidak kena. Dia lekas menyuruh krew teknikal dan anak-anak buahnya untuk berlepas dan meninggalkan Brinchang.
Seraya, Seri Khambuja muncul dari lerengan bukit yang menghadap lembah Brinchang, betul-betul ditengah Ladang Kea. Bongkahan batu dan kepulan debu tebal terhambur ke udara dan seraya naga tersebut melepaskan api sakti biru dan membakar sebahagian pekan Brinchang. Naga itu menyusur turun menuju ke pekan sambil memusnahkan segala benda yang berada dilaluannya.Trak-trak tentera yang penuh dengan orang awam habis dilibas melayang merata tempat. Orang-orang didalamnya juga terpelanting dan jatuh bertebaran seperti anak patung lalu jatuh dan serta-merta menemui ajal.Pendikit tujahan enjin ditekan habis oleh Faruq. Dia harus berlepas sekarang.
Suasana menjadi kelam-kabut. Orang awam mula bertempiaran lari. Kalangan anggota tentera yang entah berapa ramai mula menyuruh orang ramai mencari perlindungan.
Serta-merta bercemperalah segala laras senjata konvensional yang diatur pihak tentera memuntahkan peluru kearah Seri Khambuja. Dari sekecil raifal hinggalah sebesar meriam medan 155mm dan artileri roket, membedil Seri Khambuja sehabisnya.Naga itu melingkar ditengah-tengah pekan Brinchang, kemudian menerpa kearah pasukan-pasukan tentera dan kenderaan-kenderaan tempur yang diatur disekitar pekan Brinchang. Naga itu turut memusnahkan deretan kedai dan bangunan dengan libasan ekornya. Puing konkrit dan serpihan struktur bangunan bertebaran dimerata tempat, menghentam kedudukan pertahanan dan bangunan yang masih tegak berdiri. Orang awam yang bertempiaran habis dihempap timbunan bangunan.
Kemudian, Seri Khambuja membakar sebahagian lagi kawasan pekan Brinchang sehingga hangus tidak bersisa. Ramailah orang awam dan tentera yang maut dek pembakaran sang naga durjana itu. Sementelah, Seri Gumum pula muncul disebalik awan gelap yang bergulung diatas langit Cameron.
Faruq sedikit kaget melihat naga bersayap itu.
Seri Gumum inilah yang menyebabkan dia terhempas dan ramai anak buahnya terkorban tempoh hari. Kini takdir telah menemukan dia dengan Seri Gumum sekali lagi setelah dipertemukan lagi keduanya semasa pertempuran di Kuantan.
"Tiga kali jumpa bahana ni, memang nasib aku baik kalau aku hidup lagi!" Faruq bercakap sendirian.
Seraya dia membawa pesawat dan anak-anak buahnya menjauhi Brinchang, mengambil kedudukan untuk menyerang balas.
Naga bersayap itu berlegar disekitar padang kelab golf dan memusnahkan markas pemerintah tentera dengan satu jurus api sakti berwarna biru.Tubuh Seri Gumum yang hitam legam dan berbara itu kemudian mengeluarkan denyar haba lalu meletus dan membakar seluruh kawasan Brinchang. Segala pohon terbakar secara tiba-tiba. Begitu juga rumah yang diperbuat dari kayu-kayan. Deretan kenderaan persendirian yang terkumpul dengan banyaknya di tempat letak kereta meletup satu demi satu.
Setelah melihatkan tiada lagi asakan dan ancaman dari manusia, kedua-dua naga purba itu bergerak menuju kearah Gunung Brinchang.
YOU ARE READING
MALAPETAKA
Fiksi SejarahNegara dikejutkan dengan penemuan julangan cahaya ditengah-tengah Laut China Selatan. Pelantar minyak musnah dan meletup ditengah laut. Kapal kargo tiba-tiba hilang, kemudian ditemui dalam keadaan yang mengerikan. Bandar pesisir pantai timur semenan...