1

504 27 8
                                    

1.

"Maka dititahkan baginda berbuat peti kaca, berkunci dan berpesawat dari dalam. Maka diperbuatlah oleh segala utas itu sebuah peti kaca seperti kehendak Raja Suran. Syahadan, diberi berantai emas sepuluh mutu."

"Setelah sudah, maka dibawanya kehadapan Raja Suran. Maka terlalu sukacita Raja Suran melihat perbuatan peti itu, maka baginda memberi anugerah akan segala hakim dan utas itu, tiada lagi terkira-kira banyaknya."

"Maka Raja Suran masuklah ke dalam peti itu, dan segala yang di luar semuanya habis kelihatan."

"Maka dikuncinya oleh baginda pintunya peti itu dari dalam. Maka dihulurkan orang kedalam laut ; maka peti itupun tenggelamlah. Maka Raja Suran itu jatuh ke dalam bumi yang bernama Dika."

-Sejarah Melayu-

Natasha melemparkan pandangan kearah laut. Dari tempat dia berdiri, didalam perkarangan Pangkalan TLDM Tanjung Gelang,dia dapat melihat dengan jelas portal cahaya lurus yang menjulang tinggi kelangit. Ia muncul secara tiba-tiba, mengejutkan warga dunia yang sebelum ini tidak pernah melihat fenomena sedemikian.

Kuantan tiba-tiba menjadi destinasi tumpuan segala penyelidik dan wartawan, nama bandar yang satu ketika dulu tidak pun diketahui warga dunia hari ini disebut hampir setiap minit dikaca televisyen, media sosial dan oleh semua orang serata-rata.

Warta berita dan akhbar bercakap-cakap tentang fenomena aneh itu dan masing-masing berspekulasi dan malah berkonspirasi. Segala macam pakar keluar bercakap memberi buah fikiran dan pendapat, samada yang bertauliah mahupun tidak.

Di laut, armada-armada kuasa besar dan negara serantau bertembung antara satu-sama lain, masing-masing cuba menunjukkan penguasaan dan kawalan keatas portal tersebut. Segala macam kapal perang mengelilingi portal tersebut, setiap darinya siaga menghadapi sebarang kemungkinan yang bakal keluar dari portal cahaya tersebut.

Ahli politik, petinggi tentera, saintis dan penyelidik saling bertelagah antara satu sama lain mengenai tindakan yang perlu diambil berikutan fenomena tersebut.

"Baca apa tu Ratna Natasha?"

Lamunan anak gadis kelahiran Kuantan yang berambut ikal terganggu dek sapaan seorang jejaka tinggi lampai dari belakangnya. Dia segak mengenakan sut juruterbang. Pada lengan kanannya tertampal jata skuadron pesawat tempur yang disertainya.

"Faruq?! Kau pun ada sini?"

Buku Sejarah Melayu terjemahan oleh Raffles tergenggam semasa Faruq menghulur tangan berjabat salam.

Natasha kembali berpaling kearah lautan lepas, membiarkan rambut dan wajahnya dibelai angin petang Laut China Selatan yang bertiup lembut.

Faruq merapati Natasha dan bersandar disebelah gadis 30an itu sambil membelakangi laut. Jejaka kelahiran Perak itu mengeluarkan pek rokok.

"Aku kat sini ikut skuadron aku. Sejak benda tu keluar kami semua diaturgerak ke Kuantan. Nampak tu sederet F-35B tu. Aku bawak pesawat tu sekarang. Kau tu? Apa kau buat kat sini?" Faruq melontarkan kembali soalan.

"MinDef hantar. Aku kena hambat dari rumah pukul 3 pagi. Aku tengah sedap tidur, askar datang ketuk pintu suruh aku datang Kuantan."

"Samalah kita. Tapi, Mindef tak ketuk pintu rumah aku la. Aku kan perwira negara."

Natasha menggelengkan kepala. Senyuman terukir. Faruq menghembus asap rokok keatas sambil memandang Natasha.
Soalannya masih belum terjawab, tapi dia dapat mengagak kenapa Natasha dibawa ke Kuantan.

"Mindef hantar kau datang sini mesti bersebab." ujar Faruq.

Natasha sendiri tidak tahu apa tujuannya.
Dia mahu senyum tapi senyumannya kelat

MALAPETAKAWhere stories live. Discover now