25

126 10 7
                                    

Seluruh Rimba Seru bercempera setelah ada beberapa orang kesatria datang membawa berita yang kurang enak. Ramai kalangan bunian mula bersiap-siaga menghadapi sebarang kemungkinan.

Natasha, Kamarul dan Tok Puteh memandang antara satu sama lain.

"Ada tetamu. Tapi bukan musuh. Mereka bersama kita, tapi lelah dek pertempuran," kata Tok Puteh.

Noh, Hud dan Soleh yang tadi bersandar pada tiang gadang juga bingkas bangun.

"Ada apa yang tak kena?" Soal Noh. Natasha hanya mengangkat bahu tanda tidak tahu.

Sang Sepetir berjalan masuk ke balairongseri diikuti kesatria-kesatrianya. Kelakunya tampak tidak senang bila dia berlalu dihadapan Natasha dan menuju ke anjungan. Natasha dan yang lain menuruti kesatria Sang Sepetir dari belakang, turut mahu tahu apa yang sedang berlaku.

Dihadapan Gerbang Selangkah Sedaya Seru kelihatan beberapa rupabentuk bercahaya tetapi ia bukan cahaya yang datang dari mantera kalangan wangsa Bunian. Ia seakan cahaya api kimpalan arka, berbentuk garisan menegak. Cahaya itu kemudian membuka beberapa ruangan, menyerlahkan satu ruangan berbeza dari persekitaran Rimba Seru.

Selajur, satu sosok berbatu keluar dari ruangan tersebut. Natasha mengenali sosok itu kerana ia adalah Gedembai Sapurba. Kemudian, raja wangsa gergasi itu diikuti oleh Sesakti Sekijang, Segala Sang Serigala, Sepintar Sekanchil dan ratusan kesatria gergasi yang datang dalam pelbagai rupa dan bentuk.


Sang Sepetir menghentak cokmar ditangannya, selajur anjungan tempat mereka berdiri bergerak bilamana dahan-dahan yang menanggungnya bergerak menyusur kearah perkarangan Gerbang Selangkah Sedaya Seru.

"Beribu tahun wangsa gergasi berdiam jauh dipergunungan dan melupakan wangsa bunian. Kenapa hari ini anda semua datang kemari?" titah Sang Sepetir.

Gedembai Sapurba berjalan kehadapan menuju ke anjungan. Pergerakannya seakan pincang, dan terlihat jelas pada tubuh gergasi berbatu itu kesan-kesan serpihan dan calar. Natasha berpaling kepada Tok Puteh dan lelaki berjubah putih itu mengangguk mengiyakan persoalan Natasha walaupun keduanya tidak melontarkan sepatah kata.

"Kami datang dengan rendah hati, memohon pertolongan dan perlindungan dari anda raja wangsa bunian." Gedembai Sapurba hampir saja terjelopok tetapi sempat dipapah oleh Segala Sang Serigala.

Selaksa kesatria gergasi bertempur dengan Seri Khambuja dan Seri Gumum sehingga habis nyawa. Kota dan lombong-lombong dibawah gunung yang didiami kalangan wangsa gergasi dibongkar dan dihancurkan oleh Seri Khambuja. Seri Gumum pula membakar habis lerengan dan perbukitan sekitar Gunung Tahan sehingga tidak meninggalkan sisa.

Naga purba itu dikatakan mencari makara pasungan yang ditempa Gedembai Sapurba. Habis seluruh Gunung Tahan diselongkar pelusuknya. Tetapi usaha kedua naga itu tidak berhasil. Kerana tidak menjumpai makara pasungan, naga-naga itu meninggalkan tempat berdiam wangsa gergasi dan menuju ke Rimba Seru.

"Kini Seri Gumum dan Seri Khambuja sedang menghancurkan tempat wangsa manusia bermukim. Tungga masa saja keduanya sampai didepan gerbang ini wahai Sang Sepetir," Gedembai Sapurba menghabiskan kata-katanya dengan nada yang agak lemah.

Tok Puteh dan Natasha tahu masa kian suntuk. Jika Sang Sepetir masih berkeras tidak mahu membantu, maka hayat ketiga-tiga wangsa akan habis dimamah kebobrokan Seri Gumum dan Seri Khambuja.

"Anda masih tidak yakin Sang Sepetir?" ujar Tok Puteh.

Raja wangsa bunian itu memejamkan matanya. "Apa lagi yang bisa kita buat wahai Dapunta Hyang Indrawijayagraha. Kekuasaan aku semakin sirna dan aku bukanlah raja kesatria seperti sewaktu Bhumi Srivijaya berada pada puncak keunggulannya."

"Sarwajagat telah menentukan bahawa ketiga-tiga wangsa ditemukan dengan bersebab. Anda, Gedembai Sapurba dan Ratna Natasha," tingkah Tok Puteh.

Ketiga-tiganya penguasa wangsa, para dapunta wangsa gemilang Bhumi Srivijaya yang sama menundukkan wangsa naga satu masa dulu. Adapun sesuatu yang berlaku itu takkan terjadi dengan sengaja dan telah ditetapkan aturannya.

Natasha menghampiri Gedembai Sapurba lalu berbisik.

You've reached the end of published parts.

⏰ Last updated: Oct 27, 2022 ⏰

Add this story to your Library to get notified about new parts!

MALAPETAKAWhere stories live. Discover now