13.

139 11 7
                                    

Faruq bingkas bangun apabila dia mendengar bunyi deruman enjin diesel yang menerjah telinganya. Entah berapa lama dia tak sedarkan diri. Pakaiannya basah. Dia terapung bersama payung terjun yang berselirat didalam air. Faruq memandang sekeliling, dan pesawatnya sudah tiada. Dia lantas menanggalkan helmet, melempar ia jauh.

Sayup-sayup kedengaran juga suara ramai memanggil-manggil dari kejauhan. Ada yang garau, ada yang nyaring. Sesekali bunyi hon panjang dan kuat menenggelamkan suara orang tadi.

Matanya tak berapa jelas tapi dia tahu yang datang kearahnya adalah perahu nelayan. Faruq masih lagi mamai, tapi dia gagahkan juga dirinya untuk berenang kearah perahu tersebut.

Beberapa orang berteriak, memberitahu juragan agar memberhentikan perahu agar tidak terlajak mahupun melanggar Faruq. Ada seorang dari awak-awak terjun kelaut lalu berenang kearah Faruq.

"Aok rilek je, koi tolong. Pegang boya ni. Jangan lepas. Kita bawok aok naik bot."

Faruq hanya mengangguk tanda mengerti.

Sebaik Faruq dibawa naik ke perahu nelayan itu semua awak-awak bersorakan. Si juragan lekas keluar dari anjungan dan menuang kopi kedalam cawan plastik lalu diberikan kepada Faruq dengan semberono.

"Aok pilot TUDM ya. Kawan aok pun ada sekali tu tapi dia tak bangun lagi. Patah riuk koi nengok tadi. Aok ok ke dop ni?"

Faruq tidak membalas. Dia nak saja meningkah,mengatakan dia bukan juruterbang TUDM tapi dia diamkan saja. Dia masih bingung. Kali akhir dia ingat seluruh skuadronnya bertempur dengan Seri Gumum sampailah pesawatnya dihayun oleh naga durjana dari alam lain itu. Dia masih ingat, sayap pesawatnya habis direpih, dan dia bergelut untuk lenting keluar dari pesawat. Kemudian pandangannya gelap. Entah berapa lama, baru sekarang dia sedar.

"Aok jangan bimbang. Kita bawok aokmer balik ke darat. Kita kabor doh ke polis merin. Nanti demer ambik aokmer bila kita sampai. Tak jauh mana doh." Kata si juragan sambil menepuk bahu Faruq.

Faruq hanya mengangguk tanda mengerti. Dia bersandar lalu melontarkan pandangannya kearah pantai. Awak-awak nelayan yang membantunya tadi turut duduk berhampiran Faruq. Salah seorang awak-awak, berumur separuh abad mula membuka cerita. Dia dan rakannya nampak sosok makhluk bersayap lebar muncul dari laut, tak jauh dari lubuk menangkap ikan dan bila ia terbang langit menjadi gelap. Kemudian dia nampak pesawat-pesawat pejuang bertempur dengan makhluk naga itu. Faruq tidak berkata apa, hanya mengangguk.

Orang tua itu terus bercerita, sesekali membetulkan semutar dikepalanya. Faruq fikir mungkin dia kepala awak-awak, melihatkan awak-awak lain yang sekadar berseluar senteng tak berbaju kebanyakannya sekitar umur awal dua puluhan. Mereka hanya diam mendengar cerita si tua.

"Aji..." Faruq menyapa orang tua itu.

"Ada rokok?"

Pantas orang tua itu mengerah salah seorang awak-awak untuk mengambil rokok.

Berkepul asap keluar seperti serombong kapal.

Si Juragan mencelah perbualan mereka. Semua orang sudah tahu, sudah diarah untuk pindah keluar dari kampung katanya. Kerana itu semua nelayan yang keluar berpatah balik ke pengkalan. Yang ada dikampung, sudah dikumpul semuanya oleh polis dan tentera.

Hati Faruq lega. Kalau mereka tak pindah, mungkin nasib buruk akan menimpa mereka semua sebagaimana yang telah berlaku keatas Kuantan.

Selang sejam, perahu nelayan mereka sampai ke pengkalan. Banyaklah juga perahu-perahu lain yang patah balik tak jadi kelaut. Sebuah ambulans bersama beberapa pegawai perubatan tentera sudah menunggu mereka. Mereka lekas memeriksa tahap kesihatan Faruq, kalau-kalau ada kecederaan dalaman. 

MALAPETAKAWhere stories live. Discover now