Natasha tidak dapat berkata apa-apa bila melihat Bukit Sembilan lesap didepan matanya. Ia musnah, menjadi debu dengan sekelip mata. Dia dan semua orang kaget. Jika sinaran ungu itu sedikit tersasar mungkin mereka semua akan mati hangus.
Kolonel Zafran yang berada disebelah Natasha bingkas bangun dan menarik gadis itu bersama.
"Masuk dalam kereta. Kita semua kesuntukan masa."
Dengan pantas kenderaan pacuan empat roda yang mereka naiki dipacu menuju kearah Bukit Pemandang. Dihujung landasan terbang pangkalan udara Bukit Ibam, pintu hangar keluli besar tersergam, menjadi pintu masuk utama yang ditebuk dengan mesin kerjuruteraan di Bukit Pemandang, alangnya dilapisi konkrit tebal dan entah siapa tahu apa isi didalamnya.
Penduduk sekitar memanggil pangkalan ini "Area 51" dimana kononnya pihak tentera menjalankan eksperimen rahsia dan berkaitan dengan makhluk asing seakan pangkalan udara milik Amerika di negeri Nevada.
Namun hakikatnya, rahsia yang tersimpan dibawah kompleks Bukit Pemandang adalah lebih berharga dan bukan bangkai makhluk asing atau pesawat UFO yang cuba disembunyikan oleh pihak tentera.
Sebaik kenderaan pacuan empat roda mereka memasuki hangar tersebut,terserlah saiz kompleks dibawah bukit itu yang amat besar dan luas, dengan deretan pesawat pengangkut strategik dan pesawat pengebom jarak jauh diparkir sebelah menyebelah dan masih tersisa banyak lagi ruang untuk kelengkapan perang saiz besar.
Bukan kali pertama Natasha menjejakkan kaki ke Bukit Ibam. Dizaman pengajiannya, dia adalah antara kumpulan elit sejarahwan yang dipilih kerajaan untuk ekskavasi Candi Bukit Ibam bersama-sama Doktor Fadhlan.
Bezanya, dahulu dia perlu meredah hutan banat, merangkak didalam gua yang gelap dengan berteman lampu suluh semata untuk sampai ke tapak candi. Candi Bukit Ibam berbeza dengan candi lain yang ada diseluruh nusantara kerana ia ditemui didalam kompleks gua yang tersembunyi jauh didalam Bukit Pemandang.
Dahulu penduduk kampung sekitar menemukan pintu masuk gua dan menyangka ia adalah kubu pertahanan era Jepun namun ekspedisi ke Bukit Ibam oleh pihak tentera menemukan kompleks candi pertama, menyangkal dakwaan Bukit Ibam sebagai kubu pertahanan Jepun.
Kini laluan ke gua yang dahulu hanya muat seorang sekali masuk berganti kompleks tentera mega yang memuatkan puluhan pesawat pengangkut tentera. Hangar besar didalam bukit itu hanya fasad untuk mengabui mata-mata yang cuba mengorek rahsia.
Kenderaan mereka berhenti diatas sebuah tanjakan hidraulik besar yang boleh menempatkan empat buah kereta kebal sekaligus. Natasha keluar dari kereta dan tanjakan tersebut mulai turun menyendeng, membawa kesemua mereka ke tingkat yang lebih bawah. Dia memandang kearah Doktor Fadhlan dan Kolonel Zafran.
"Setahun lepas, kita naiktaraf laluan ke candi tu. Dulu kita merangkak masuk, sekarang kita turun dengan lif hidraulik besar ni. Tapi jangan risau professor, doktor. Kawasan asal candi tak diganggu. Masih sama seperti asal. Kita tebuk laluan guna TBM dan besarkan laluan asal sebab tak jauh dari ruang gua yang ada candi tu, kita jumpa satu lagi kompleks gua yang kosong."
"Kompleks gua kosong?" Natasha menjeling Kolonel Zafran dengan sangsi.
"Kosong maksud saya tak ada binaan purba. Banyak artifak, tapi tim arkeologi tentera dah alihkan."
"Jadi ada berapa banyak gua dibawah bukit ni?" Leftenan Kamarul mencelah.
"Setakat ni kita jumpa enam kompleks gua. Kita berjaya masuk tiga sahaja. Yang lain tu memang tak boleh masuk sebab digenangi mata air dan sungai bawah tanah. Mungkin banyak lagi gua yang kita masih belum ketemu berdasarkan cerapan yang kita buat."
YOU ARE READING
MALAPETAKA
Historical FictionNegara dikejutkan dengan penemuan julangan cahaya ditengah-tengah Laut China Selatan. Pelantar minyak musnah dan meletup ditengah laut. Kapal kargo tiba-tiba hilang, kemudian ditemui dalam keadaan yang mengerikan. Bandar pesisir pantai timur semenan...