" Pada 15 April 2018, sekitar jam 0300H waktu Malaysia sebuah kapal sokongan luar pantai milik syarikat tempatan telah mengesan cahaya yang datang dari dalam laut. Ini adalah foto-foto awal yang diambil oleh kalangan anak kapal tersebut. Dari laporan awal ia menerangi kawasan didalam air." Komander Nurfaiqa memulakan taklimat.
Kumpulan cendekiawan yang terdiri dari saintis dan kalangan pakar pelbagai bidang turut serta bersama-sama Natasha yang duduk disebelah Doktor Fadhlan.
Beberapa orang pegawai memerintah kapal dan komander pasukan khusus turut serta dalam taklimat tersebut. Slaid yang memaparkan foto pembentukan cahaya didalam laut itu ditukar dengan foto lain.
"Ini adalah foto yang diambil oleh pekerja pelantar minyak Angsi. Foto ini diambil dari jarak 25 batu nautika. Anda boleh lihat bagaimana cahaya yang tadi didalam slaid pertama menjulang tinggi ke langit. Ini berlaku sejam selepas foto dari kapal tadi diambil."
Kalangan yang hadir saling berbisik antara satu sama lain. Komander Faiqa meneruskan taklimat dan menukar slaid seterusnya.
"Julangan cahaya ini menurut data yang kita terima dari satelit milik Jabatan Ukur dan Pemetaan - JUPEM memperlihatkan ukur lilit kawasan sekitar 3 kilometer."
Satelit yang digunakan JUPEM untuk mencerap cahaya tersebut adalah satelit LCS-SARX yang bertujuan untuk pemetaan dan pencerap lautan yang dibangunkan dengan usahasama universiti tempatan dan digandingkan dengan Jabatan Meteorologi untuk mengumpul data suhu Laut China Selatan.
Satelit itu dilengkapi sistem pengimejan resolusi tinggi serta radas saintifik lain seperti radar sintetik berfasa X-Band untuk pemetaan dasar laut dan pemetaan kawasan pesisiran pantai.
Bilamana cahaya yang muncul dari laut itu menjulang naik, satelit tersebut sedang melintasi kawasan pantai timur Semenanjung Malaysia untuk cerapan waktu malam menggunakan imejan inframerah seperti yang dijadualkan.
Imej yang dipaparkan dihadapan kalangan cendekiawan itu adalah imejan satelit pertama yang merakamkan fenomena, atau apa sahaja yang sedang berlaku.
"Baiklah, setelah imej-imej dan foto ini diambil dan dikumpulkan, Kementerian Pertahanan dan Angkatan Tentera Malaysia telah diarahkan untuk melaksanakan pemantauan dan menghantar dron untuk menilai keadaan sekeliling kawasan bercahaya ini."
Imej baharu dipaparkan dihadapan layar. Kali ini ia adalah video. Mulanya ia agak gelap, memandangkan keadaan dibawah permukaan lautan sememangnya kelam dan cahaya matahari tidak dapat menembusi, malah pada kedalaman lebih 30 meter lautan sudah menjadi gelap gelita bagaikan malam yang pekat tanpa satu bintang pun. Kemudian perlahan-lahan rupa bentuk dasar lautan kelihatan apabila lampu limpah yang melengkapi ROV dipasang, kedengaran suara pengendali sedang bercakap.
Video tersebut berterusan selama 10 minit tanpa ada apa-apa yang berlaku melainkan ROV tersebut bergerak mengikut datum yang ditetapkan selari dengan tempat cahaya yang muncul.
"Kalau anda lihat keadaan didasar dengan carta disebelah kanan, ROV ini bergerak selari dengan kawasan yang bercahaya. Tapi..." Komander Nurfaiqa menghentikan percakapannya.
"Tak ada cahaya didalam laut itu sendiri. Aneh." Doktor Fadhlan kemudian tiba-tiba bersuara dengan nada perlahan. Natasha berpaling kearah sahabatnya itu. Bukan Doktor Fadhlan sahaja yang merasakan keadaan itu aneh, kerana hampir semua orang didalam ruang itu bercakap-cakap antara satu sama lain menyatakan keanehan tersebut.
"Apa yang sedang kita hadapi sekarang ini Komander?" satu suara dari bahagian belakang melontarkan soalan. Natasha melihat kearah suara tersebut dan terpandang satu susuk tubuh yang tegap lengkap dengan uniform.
YOU ARE READING
MALAPETAKA
Historical FictionNegara dikejutkan dengan penemuan julangan cahaya ditengah-tengah Laut China Selatan. Pelantar minyak musnah dan meletup ditengah laut. Kapal kargo tiba-tiba hilang, kemudian ditemui dalam keadaan yang mengerikan. Bandar pesisir pantai timur semenan...