Yeop memacu kenderaan tempur Gempita menuju kearah denai kemusnahan yang ditinggalkan oleh Seri Gumum. Sesekali kenderaan tempur itu bergegar kasar dek permukaan tanah yang langsung tidak rata.
Ihsan memerhati keadaan sekeliing sambil memberi saran kepada Yeop yang memandu. Haizat berada dibelakang Ihsan yang bertenggek separuh badan dari kupola komander.
Peta topografi pada tangannya menjadi panduan. Hatinya kurang senang dengan tugasan baharu yang digalas. Asalnya dia mengharap akan berada diatas KD Raja Jarom – menikmati masakan panas dan ranjang yang empuk. Ternyata sangkaannya meleset.
Bilamana mereka ditemukan oleh pasukan penyelamat, KD Raja Jarom menugaskan mereka untuk meninjau laluan yang ditelusuri oleh Seri Gumum untuk membolehkan briged-briged Tentera Darat dari Sabah dan Sarawak diaturgerak dan mengepung naga purba itu.
Ia tugas yang boleh saja dilaksana oleh dron, tetapi tetap diserahkan kepada Ihsan dan pasukan kecil yang berkekuatan 6 orang dengan sebuah kenderaan tempur yang amat perlukan selengaraan kritikal.
Yeop tiba-tiba menekan brek. Dihadapannya, tanah yang telah dilalui oleh Seri Gumum.
Ihsan menggaru kepalanya. Dia terduduk setelah melihat aliran lahar dari pejera panoramik. Laluan yang pada mulanya dianggap mudah kini menjadi sukar.
Seri Khambuja menyusur lalu menuju Banjaran Titiwangsa dengan kesan kemusnahan diserata tempat. Jejak naga purba itu meninggalkan aliran lahar gunung berapi yang panasnya mampu meleburkan kerangka keluli kenderaan tempur mereka.
Senja berlabuh dan sinar aliran lahar didepan mereka kian jelas. Warnanya jingga berbara bersela dengan hitam pekat sambil meluap-luap menghambur isi perut bumi, disulam asap putih dengan bauan belerang yang menyesakkan.
"Kita takkan dapat lalu sini."ujarnya.
Haizat membelek peta topografinya sambil dijengah dari belakang oleh Mat. Koperal Yeop bingkas bangun dari tempat duduk pemandu lalu menuju kebelakang, dan cepat-cepat bersandar kepenatan setelah seharian memandu lalu dia diganti pula oleh Rey.
"Jadi apa tugas yang Komander Faiqa bagi dekat kita sebenarnya?" Ihsan menyoal.
"Patutnya kita ikut Seri Khambuja. Tapi kalau macam ni gayanya memang kita takkan dapat nak jejak naga tu." sambungnya lagi.
Mereka semua buntu.
"Kenapa tak hantar naning je pi kejar naga tu?" soal Yeop yang masih memejamkan mata. Dalam dia cuba melelapkan mata, telinganya masih dapat menangkap bual bicara pegawai-pegawainya.
Ihsan dan Haizat saling berpandangan kemudian berkalih muka kearah Yeop.
"Apa benda naning tu Yeop?" mereka berdua serentak bertanya.
Yeop membuka sebelah mata, sambil tangannya bersilang gaya seorang tauke syarikat terkemuka dengan kaki menjulur dan kepala masih tersandar.
"Naning tu dron la, Tuan. Istilah Bahasa Melayu kita panggil naning. Saya tengok dekat Twitter hari tu. Dekat Indonesia mereka panggil dron pesawat nirawak, jadi kita pulak panggil naning" ujarnya.
Ihsan menyelak peta topografinya kembali sambil tersenyum dan menggelengkan kepala. Haizat kembali menyua kepala keluar dari kupola komander bersama teropong inframerah.
"Kau agak-agak berapa suhu permukaan tanah tu kalau imej dalam teropong tu dah putih. Dah tu silau pulak tu." Haizat menambah dan memulangkan semula teropong tersebut kepada Ihsan.
Ihsan meneka dalam julat ratus darjah Celsius.
"Aku tak faham sebenarnya Ihsan. Kenapa kita pulak yang kena kejar naga tu. Padahal diaorang boleh je hantar dron. TUDM pun boleh hantar pesawat apa. Kenapa kita pulak yang kena bersusah payah?" ujar Haizat yang tidak berpuas hati.
Mereka benar-benar buntu bilamana Aliff menyampaikan berita kurang enak. Radio yang mereka bawa tidak lagi berfungsi. Bunyi statik panjang sahaja yang kedengaran, tiada suara disebalik ganggang setelah Aliff cuba menyampaikan berita kepada KD Raja Jarom.
Lepas satu halangan, ditambah lagi dengan satu halangan baru. Hari yang mereka lalui semakin panjang dan Haizat tidak nampak pilihan lain.
"Kalau setakat nak suruh kita tala laser kat naga tu, dron pun boleh buat tuan." Aliff mencelah.
"Ya aku tahu. Kita ni nampak macam buat kerja bodoh. Tapi nak buat macam mana. Dah arahan. Arahannya, kita kena jadi peninjau. Cari jalan paling baik untuk briged kita kepung naga tu." Ihsan melipat kembali peta topografi dan menyelitkan ia didalam poket seluar. Dia membakar sebatang rokok setelah itu. Ruangan kabin kenderaan itu semerbak dengan bau tembakau seludup.
"Dah. Dari kita dok bertingkah baik kita gerak semula. Aliff, cuba lagi radio tu dan panggil KD Raja Jarom sampai dapat."
Tidak semena-mena, satu ngauman kuat menggegarkan seluruh kawasan. Satu jasad hitam legam sedang menuju kearah Banjaran Titiwangsa, dengan asap hitam dan bara api menyelubungi udara.
"Seri Gumum!" jerit Haizat. Dia cepat-cepat menutup pintu kupola.
"Rey, matikan enjin." teriak Haizat.
Seri Gumum mengaum lagi dan terbang merentasi dataran tanah pamah yang terbakar. Naga purba itu mengikut denai laluan Seri Khambuja menuju ke Banjaran Titiwangsa sambil membawa puing rumah kayu dan bara api berserta angin hangat membakar. Keadaan didalam ruangan kenderaan tempur Gempita menjadi sangat panas. Mereka semua jadi tak senang duduk. Bahagian yang diperbuat dari keluli langsung tidak boleh disentuh dan kasut mereka seakan mencair lalu melekat pada lantai.
"Kita kena gerak sekarang. Kalau tidak masak kita dalam ni." jerkah Ihsan.
Seraya Rey menghidupkan semula enjin, dan dengan pantas dia memasukkan gear undur untuk keluar dari kawasan tersebut.
Seri Gumum terlihat kelibat kenderaan tempur mereka sedang bergerak seraya maga itu terbang meluru kearahnya. Ihsan dan Yeop lekas-lekas mengendali tenggekan senjata dan mulai melepaskan tembakan kearah Seri Gumum. Bertali arus muntahan laras meriam 30mm membedil naga tersebut. Ihsan tidak melepaskan jarinya dari picu senjata. Matanya tertancap rapat pada pejera dan dia tidak melepaskan pandangannya dari naga purba itu.
Sepantas Seri Gumum terbang membawa bahang haba melintasi kenderaan tempur itu, sepantas itulah keenam-enam anggota dan pegawai tentera didalam kenderaan tersebut diseksa dengan bahang yang teramat panas.
Nasib tidak menyebelahi mereka semua. Tayar kenderaan tempur itu langsung tidak mencengkam tanah, malah kelapan-lapan gandar kenderaan itu juga tidak berfungsi. Suasana didalam kenderaan tersebut menjadi sangat panas. Yeop dan Mat meraung kepanasan, tak henti menjerit nama Tuhan. Tubuh mereka melecur seperti disimbah dengan air panas menggelegak. Panasnya tidak tergambar dek kata-kata. Kulit mereka mulai melepuh.
Haizat yang duduk di kupola komander maut serta merta, kulit tangannya tertanggal dan melekat pada dinding, manakala Rey yang berada ditempat pemandu masih cuba untuk gerakkan kenderaan tapi ia sia-sia. Dia menjerit, menyebut nama ibunya sampai terkeluar anak tekak. Makin lama jeritannya semakin perlahan dan akhirnya dia senyap.
Ihsan masih lagi menembak naga itu menggunakan sisa kudrat yang ada. Seri Gumum masih berlegar, terbang bagai burung pembangkai yang menunggu mangsanya menghabiskan sisa nafas.
Keluli yang menjadi bahan binaan kenderaan tempur buatan Pekan itu mulai berubah warna menjadi kemerahan, lapisan cat yang menyaluti kenderaan tersebut merekah lalu hangus terbakar manakala keluli pula meleding kemudian melebur.
Ihsan menjadi anggota penghabisan yang tewas. Tangan masih mencengkam picu meriam. Saki baki peluru yang masih tersimpan didalam kenderaan tempur mereka mulai mendidih, kemudian meledak satu demi satu bagai mercun papan. Tubuh yang sudah tidak bernyawa kini dirobek pula oleh ledakan peluru senjata, bagai tidak cukup jenazah diseksa dengan bahang api yang tidak terjangkau panasnya.
Kenderaan tempur Gempita itu kemudian meletup.
Seri Gumum seraya terbang meninggalkan tempat itu dan kembali menuju ke Banjaran Titiwangsa.
YOU ARE READING
MALAPETAKA
Historical FictionNegara dikejutkan dengan penemuan julangan cahaya ditengah-tengah Laut China Selatan. Pelantar minyak musnah dan meletup ditengah laut. Kapal kargo tiba-tiba hilang, kemudian ditemui dalam keadaan yang mengerikan. Bandar pesisir pantai timur semenan...