Komander Nurfaiqa menghempas ganggang radio. Hampir sahaja pecah ganggang itu akibat amarahnya yang sangat tak terbendung.
Putrajaya memaklumkan mereka hilang perhubungan dengan Kolonel Zafran. Battalion-battalion yang terlibat mempertahankan perimeter sekitar Kuantan juga senyap, tiada berita dari mereka semua.
Sementara itu, Seri Khambuja sedang mara dengan pantas kearah Banjaran Titiwangsa, meninggalkan kesan kemusnahan disepanjang laluannya. Hanya masa sahaja yang akan menentukan bilamana Seri Gumum akan bersama Seri Khambuja merentasi banjaran yang menyebabkan kemusnahan di pantai barat Semenanjung.
Komander Nurfaiqa menongkat dagu diatas meja carta. Matanya terpejam. Dia sudah habis akal. Apa saja senjata yang ada dalam simpanan angkatan bersenjata sudah digunakan dan ia tidak memberikan sedikit pun kesan kepada kedua naga durjana itu.
Selajur seorang pegawai datang kepada komander itu. Dia membawa laporan pergerakan terkini dua naga tersebut.
Komander Nurfaiqa merenung sedalam-dalamnya laporan pergerakan tersebut.
"Gunung Brinchang?" Dia menyoal. Pegawai tersebut mengiyakan tetapi masih belum tahu sebab musabbab kenapa naga-naga itu menuju ke sana.
Dia meraup muka. Kolonel Zafran sudah pasti terkorban setelah Seri Gumum terlepas dari kawah nuklear yang sebelum ini memasungnya. Natasha pula tidak dapat dihubungi dan kali terakhir pergerakan mereka dikatakan menghala ke Brinchang.
Kemudian dia tersedar.
Adakah naga itu sedang memburu Natasha? Adakah Natasha dan kedua naga purba sedang memburu sesuatu disana?
Pergerakan naga tersebut ke Brinchang, ditengah-tengah tanah tinggi Cameron pastinya bukan kebetulan.
"Tapi apa benda yang ada dekat Brinchang selain Natasha?" getus hati pegawai tentera itu. Dia menggelengkan kepala.
"OOD, cari apa saja petunjuk kenapa naga tu menghala ke Brinchang. Apa ada dekat sana? Carilah ikut mana pun, kita kena tahu apa sebab Brinchang jadi tumpuan Seri Gumum dan Seri Khambuja." ujarnya.
Dia berpaling kearah geladak penerbangan. Deretan helikopter kelas berat CH-47F sedang memanaskan enjin dengan tanjakan belakang diturunkan. Lebih seratus orang anggota tentera Marin sedang bersiap-siap, mungkin akan didaratkan di pesisir pantai Kuantan atau mungkin jauh ke Gambang di barat atau Beserah di utara untuk meninjau keadaan semasa.
Matahari mulai menunjukkan rupa. Kaki langit kembali terang. Perlahan-lahan alam mula muncul dari balik kegelapan malam. KD Raja Jarom membelah ombak dengan perlahan menuju kearah Kuantan. Kemusnahan Kuantan kini lebih jelas.
Tidak ada bangunan yang tegak berdiri. Semuanya rebah menjadi puing dan longgokan konkrit yang tidak ada rupa. Asap dan debu masih lagi menerawang diruang kotaraya tersebut. Api kebakaran juga masih ada. Kuantan benar-benar telah musnah. Keadaannya seperti didalam filem perang keluaran Hollywood, atau filem Kaiju yang berasal dari Jepun.
Operasi yang digalas Komander Nurfaiqa dan kalangan anak kapal KD Raja Jarom kini adalah misi mencari dan menyelamat. Siapa saja yang masih hidup, pasukannya akan bawa balik ke kapal dan dirawat. Mujur kalangan cendekiawan dan saintis yang ada dikapalnya sebelum ini telah dipindahkan ke kapal lain jadi ruang hangar penerbangan kembali luas dan kali ini, ia digunakan untuk menempatkan kalangan penduduk atau anggota pasukan keselamatan yang cedera jika mereka masih hidup.
Tetapi kebarangkaliannya sangat rendah. Nurfaiqa tahu kapalnya akan menerima jenazah didalam bungkusan plastik, itupun jika masih ada tersisa jenazah manusia untuk disempurnakan, selepas Seri Gumum mengamuk dan membakar seluruh Kuantan sehabisnya.
YOU ARE READING
MALAPETAKA
Ficción históricaNegara dikejutkan dengan penemuan julangan cahaya ditengah-tengah Laut China Selatan. Pelantar minyak musnah dan meletup ditengah laut. Kapal kargo tiba-tiba hilang, kemudian ditemui dalam keadaan yang mengerikan. Bandar pesisir pantai timur semenan...