23

63 9 1
                                    

Sebaik Natasha melangkah masuk ke ke dalam gerbang Gerbang Selangkah Sedaya Seru, terserlah keseluruhan isi dalam pohon Sepetir itu yang rupanya seakan sebuah kota siluman yang terbentuk dari ratusan pohon dipterokarpa dan berakar banir yang berselirat serta melilit antara satu sama lain.

Natasha menghadap kearah satu ruangan luas yang diteduhi rimbunan pohon Banyan yang dahannya menjulur lalu membentuk seakan pintu gerbang. Kesatria Bunian dihadapannya berjalan tegak sambil diikuti oleh Noh,Hud dan Soleh dibelakangnya.

Wangsa Bunian berdiam dan membina kota didalam pohon Sepetir purba itu, dan didalam pohon itu ada lebih banyak pohon dipterokarpa yang kecil sedikit tetapi jika diamati oleh kalangan pembalak rakus, ia bernilai dan cukup lumayan untuk ditebang. Setiap dari pohon yang ada besarnya lebih dari sepuluh pemeluk.

Akar banir yang berusia ribuan tahun dan ukurannya lebih besar dari sebuah bas sekolah,mencengkam tanah manakala terdapat julangan batang pokok yang lebih kecil dari pohon asal menjulang tinggi seperti menara tinjau. Diantara julangan itu terdapat dahan gadang yang tebal, menghubungkan antara satu sama lain seakan jambatan.

Cahaya berwarna putih yang redup, terhasil dari juraian pokok janggut yang hidup bergantungan pada dahan-dahan yang lebih kecil menerangi kota wangsa Bunian ini.

Ditengah-tengah ruangan tersebut, terdapat anjungan berukiran aneh terbina didalam salah satu pohon berakar banir yang lebih besar dari yang lain. Anjungan itu terletak molek aturannya diatas dahan gadang dengan akar pohon liana dan juraian pohon janggut menyelirati dahan tersebut sementara pohon itu menjulang tinggi menggapai langit malam.

"Anjung Seri Jagat Raya, disitu Sang Sepetir bersemayam mentadbir Rimba Seru sejak sekian lama," ujar Kesatria Bunian kepada Natasha.

Natasha perasan akan satu sosok berjubah suasa putih kemilau dengan rambut berwarna keemasan berdiri diatas anjungan tersebut memerhatikan Natasha yang berjalan bersama kumpulannya diiringi kesatria-kesatria Bunian menuju kearah anjung tersebut.

Mereka berjalan menaiki tangga yang mengelilingi pohon banir menuju ke anjungan tersebut.

Tidak syak lagi, sosok itu merupakan Sang Sepetir. Matanya tajam dan raut wajahnya halus mulus tidak dimamah oleh usia walaupun diketahui usianya lebih ribuan tahun. Rambutnya yang berwarna keemasan membalikkan cahaya putih yang menyinari anjungan tersebut. Dia memegang cokmar berwarna hitam, yang mempunyai ukiran seakan sulur pohon menjalar yang berselirat. Sosok itu tidak berpaling kepada Natasha.

"Kau datang menyeru namaku dan menyebut nama Gedembai Sapurba. Sudah sekian lama namaku dan Sapurba disebut oleh wangsa manusia, apatah lagi datang ke Rimba Seru. Kali terakhir,Dapunta Hyang Srivangsaraja yang datang kemari," kata Sang Sepetir.

"Siapakah gerangan kalangan wangsa manusia ini Angkasha?" selajur Sang Sepetir berpaling kepada mereka yang sedang menghadapnya. Kesatria Bunian mahu menjawab pertanyaan tetapi Natasha pantas mencelah, memperkenalkan diri serta pengiringnya.

"Saya datang dengan hasrat mendapatkan Si Batu Belah seperti yang diinginkan oleh Gedembai Sapurba, untuk membuat pasungan kepada Seri Gumum dan Seri Khambuja." Nada Natasha tegas.

Raut wajah Sang Sepetir berubah bilamana nama dua naga durjana terpacul dari mulut Natasha. Dia lekas berjalan menuju ke balairong seri, dengan mulut kumat-kamit dan sesekali menggelengkan kepalanya.

"Benar ta'akulanku. Ada yang tidak kena dengan jagat kita. Ada kedurjanaan kembali muncul dan membuat onar." Sang Sepetir lantas duduk diatas peterana yang seakan rimbunan dahan dan akar yang berselirat sambil berteleku. Matanya terpejam.

"Ribuan kesatria Bunian tewas ditangan Seri Khambuja, dan ribuan lagi tewas dek wewenang Seri Gumum yang tidak peduli akan nyawa yang tersangat berharga. Kini keduanya kembali dan apakah ini benar Ratna Natasha?" soal Sang Sepetir.

Natasha mengangguk.

"Tapi siapakah anda dan mengapa aku Raja Wangsa Bunian perlu menuruti hasrat anda untuk mendapatkan Si Batu Belah, ibu batu gunung Titiwangsa?" sambung Sang Sepetir lagi.


"Anda bukan sesiapa. Hanya seorang manusia, seorang gadis muda yang tidak terkait dengan apa sahaja yang terkandung didalam sarwajagat Suvarnabhumi. Jadi hasrat anda tidak perlu aku turuti." Sang Sepetir bingkas bangun dan seraya kalangan kesatrianya juga berkalih tempat mengepung Natasha dan kumpulannya.

Noh, Hud dan Soleh yang sedari tadi diam tidak berbicara dengan pantas mengacukan senjata dan melindungi Natasha. Kamarul sedikit lambat tetapi ikut sama meniru pergerakan tiga sekawan itu.

"Jangan buat apa-apa," bisik Natasha kepada Noh dan Kamarul.

Sekilas Natasha kembali ingat akan kata-kata Wijayamalasingha yang mana Sang Sepetir hanya memperakui dirinya dengan Vanua dan maka seseorang sang dapunta itu hanyalah pewaris keturunan darah tanpanya.

"Saya datang sebagai pewaris Bhumi Srivijaya, didalam pembuluh darah tubuh ini mengalir darah Dapunta Hyang Srivangsaraja dan para Dapunta selepasnya. Saya bersaksi kepada Sriksetra." ucap Natasha kepada Sang Sepetir yang baru sahaja mahu berlalu pergi.

Pergerakan Sang Sepetir terhenti apabila mendengar kata-kata Natasha lantas berjalan menghampirinya.


"Berani kamu bersaksi pada nama Sriksetra!. Beranikah kamu mengakui dikurniakan Vanua oleh tanah beradat ini sedangkan Bhumi Srivijaya sudah lenyap ditelan masa dan sudah tiada yang mentadbirnya lagi?" Sang Sepetir menjerkah.

"Kata-katanya benar wahai Sang Sepetir." Jawab satu suara lain dari belakang yang muncul entah dari mana.

"Ku kenal suaramu Hyang Indrawijayagraha." Sang Sepetir membalas.

Tok Puteh keluar dari balik tiang gadang yang diperbuat dari kayu Meranti dan disalut suasa.

"Ratna Natasha bukan semata waris darah. Dia telah dikurnia Vanua dari sekelian Dapunta dan Maharaja Bhumi Srivijaya atas perkenan seisi sarwajagat Suvarnabhumi. Aku saksinya dan aku bersaksi kepada Sriksetra," kata Tok Puteh sambil berjalan menuju kearah Sang Sepetir.

Sang Sepetir berlalu meninggalkan Tok Puteh sambil diiringi kesatrianya. Raut wajahnya kelat, seakan tidak mahu memenuhi hasrat yang dibawa Natasha dan tidak meyakini akan kata-kata Tok Puteh yang hanya hari ini muncul setelah sekian lama hilang menyepi.

Natasha berfikir tidak mudah untuk memuaskan hati Sang Sepetir. Gayanya tampak keberatan, tetapi berselindung dibalik sifat kebanggaan Wangsa Bunian yang terselah jelas. Natasha juga tidak lupa akan pesan Dapunta Hyang Srivangsaraja akan tuntutan pengeras sebagai galang ganti mendapatkan Si Batu Belah.

Cuma apakah pengerasnya, Sang Sepetir masih belum nyatakan.

"Wangsa Bunian sudah sekian lama hidup rukun damai tanpa adanya manusia. Walau rimba tanah beradat ini ditarah dan segala isinya dikaut hasilnya oleh manusia, kami tidak ikut campur tangan," ujar Sang Sepetir.

"Berfikiranlah dengan waras wahai Raja Wangsa Bunian. Kedurjanaan yang dibawa Seri Gumum dan Seri Khambuja keatas manusia tidak akan terhenti selagi kita semua tidak masuk campur tangan," balas Tok Puteh.

Sang Sepetir masih keberatan. Selama hayatnya, dia melihat banyak kerosakan yang telah dibuat manusia. Fikirnya, apa sahaja kedurjanaan dan malapetaka yang dibawa dua naga purba itu adalah balasan berat atas tindakan manusia sendiri. Dia tidak perlu ikut campur tangan.

Ribuan tahun sejak jatuhnya Bhumi Srivijaya dek kitaran masa, manusia tidak henti melakukan kerosakan keatas sarwajagat. Rimba yang berusia ribuan tahun ditarah habis dan digantikan dengan tumbuhan yang bukan asalnya. Margasatwa yang hidup berkeliaran diburu sehabisnya untuk memenuhi ketamakan.

Tanah dataran dibangunkan kota-kota industri yang menghasilkan bahan cemar. Udara diselubungi kabus beracun. Lembangan sungai menjadi tempat pengumpulan enapcemar.

Wangsa manusia tidak lagi berbaik dengan sarwajagat malahan memusuhinya. Sang Sepetir yang dulunya penghulu dan raja di rimba, tidak lagi berkuasa untuk menghalang ketamakan manusia dan berdiamlah dia di Rimba Seru yang masih tidak terusik dek kerakusan.

Sang Sepetir masih berkeras dengan keputusannya. Dia tidak mahu ada apa-apa penglibatan lagi dengan wangsa manusia. Lantas dia berkata:

Kihi teka ikakore enga whahakaputake ehi makukungia, ehi ikakore teka karakau e tupuhu.

---

Jika akar pohon tidak disiram, maka pohonnya tidak akan tumbuh.

Kerana itu tiada lagi Vanua yang dikurniakan kepada mana-mana manusia setelah Srivijaya lenyap. Wangsa manusia telah terpisah dari rumpun akar dan melupai leluhurnya.

"Jadijikalaupun benar kamu dikurnia Vanua wahai Ratna Natasha, kamu tidak layak," kataSang Sepetir seraya meninggalkan Natasha dan keluar dari balairongseri.






MALAPETAKAWhere stories live. Discover now