Lebuhraya Pantai Timur dari susur keluar Gambang hingga ke Temerloh sesak teruk dengan segala jenis kenderaan yang cuba untuk keluar dari Kuantan setelah pihak angkatan tentera mengeluarkan arahan darurat dan menasihatkan agar semua penduduk dipindahkan dengan serta merta. Pentadbiran Kuantan telah diambil alih oleh Markas 4 Divisyen Mekanise, Tentera Darat Malysia dengan serta merta apabila Seri Gumum muncul di Beserah dan menjadikan pekan tepi pantai itu padang jarak padang tekukur sekelip mata.
Dari arah bertentangan lebuhraya yang menghala ke Kuantan, deretan kereta kebal, kenderaan tempur 8x8, kenderaan tempur 6x6 dan 4x4, trak yang menunda meriam dan ratusan lagi kereta perisai ringan membawa lebih ramai anggota tentera menyusur pantas. Diudara, helikopter milik Pasukan Udara Tentera Darat turut sama membawa sejumlah besar material perang dan anggota.Kehadiran tentera itu menerima sorak sorai orang awam yang sudah mulai bosan dan keluar dari kenderaan masing-masing memandangkan trafik langsung tidak bergerak. Anak-anak kecil melambaikan tangan mereka kearah deretan kenderaan tentera.
Puluhan ribu kenderaan persendirian memenuhi lebuhraya dan sesaknya melampaui keadaan sesak sewaktu musim perayaan.
Natasha, Doktor Fadhlan dan Leftenan Kamarul tidak berkata apa-apa apabila helikopter yang mereka naiki terbang diatas rendah berhampiran Lebuhraya Pantai Timur. Mereka hanya melontarkan pandangan kosong keluar tingkap pesawat. Apakah nasib orang-orang awam ini yang tidak ada kena mengena tetapi terpaksa menanggung susah sedemikian.
Kemudian Natasha terlihat sebuah trak besar, barangkali bersaiz 10 tan dam membawa sesuatu yang panjangnya 3 trelar serta dilitupi kanvas. Mengekori dibelakang trak itu lapan buah trak pembawa janakuasa milik Tenaga Nasional Berhad yang dikawal dengan rapi.
"ERG. Electromagnetic railgun.
Markas ATM bawa khas dari Gemas." Leftenan Kamarul memberi jawapan ringkas kepada Natasha apabila dia perasan yang Natasha seakan tertanya-tanya apakah disebalik kanvas tersebut.Helikopter mereka meninggalkan trak tersebut dibelakang dan terus menuju kearah Bukit Ibam. Dibawah, semakin ramai penduduk berjalan kaki meninggalkan kereta masing-masing. Jauh dibelakang mereka, kepulan asap hitam menjulang tinggi naik ke atmosfera, menandakan Seri Gumum berada tidak jauh dengan bandaraya Kuantan.
Beberapa puluh anggota tentera kelihatan berjalan sambil mengetuk tingkap kereta, menasihatkan agar orang awam keluar dan berjalan kaki membawa bersama barang yang penting sahaja menuju tempat berkumpul sebelum mereka akan dibawa menaiki pengangkutan yang disediakan pihak tentera memandangkan keadaan sesak dilaporkan tidak akan surut malah ia mengundang bahaya kepada penduduk awam jika sekiranya pertempuran melarat.
-------------------------
Kuantan sedang menanti ambang dibantai oleh Seri Gumum, makhluk purba kedua yang muncul selepas Seri Khambuja dari Laut China Selatan. Makhluk tersebut yang mulanya mendarat di Beserah dan memusnahkan pekan tersebut dengan sekali jurus kemudian menuju kearah Tanjung Gelang. Disana ia menurunkan malapetaka besar keatas Pelabuhan Kuantan. Kapal-kapal yang berlabuh didermaga dibaham lalu kemudian dilemparkan entah kemana. Maka melayang-layanglah kapal-kapal kargo tersebut mendarat dimana tidak siapa tahu. Tangki-tangki minyak dibakar sampai hangus manakala pangkalan tentera yang berhampiran tidak sempat pun bertahan, habis disembur dengan api sakti sampai lebur tak bersisa. Ratusan perajurit gugur serta merta tidak sempat pun melawan.
Roket artileri dan meriam 155mm dari Gambang melancarkan serangan bertubi-tubi cuba memperlahankan pergerakan Seri Gumum dengan tujuan memberikan ruang masa sebanyak mungkin untuk membolehkan penduduk awam dipindahkan. Tetapi segala peluru dan roket tidak lut pada Seri Gumum. Ia terus mara sambil memusnahkan apa saja yang dilihatnya.
Kapten Haizat memerhati kawasan sekeliling pusat perindustrian Gebeng yang sedang marak terbakar dari dalam kenderaan tempurnya. Sebuah kapal kargo, saiznya lebih kurang 170 meter tersadai diatas salah sebuah loji pemprosesan. Haizat fikir itulah penyebab kebakaran. Dia nampak kelipan lampu merah dan biru, barangkali pasukan bomba tapi tak dapat mengagak samada mereka selamat atau tidak. Kalau kalangan pasukan bomba itu selamat dan masih memadamkan kebakaran, Haizat perlu arahkan mereka keluar.
YOU ARE READING
MALAPETAKA
Historical FictionNegara dikejutkan dengan penemuan julangan cahaya ditengah-tengah Laut China Selatan. Pelantar minyak musnah dan meletup ditengah laut. Kapal kargo tiba-tiba hilang, kemudian ditemui dalam keadaan yang mengerikan. Bandar pesisir pantai timur semenan...