11.

154 13 2
                                    

Bandar Kemaman sesak teruk semasa Seri Khambuja muncul. Proses pemindahan penduduk oleh pihak ATM sedang berjalan bilamana Seri Khambuja mendarat di Pantai Mok Nik. Seluruh kawasan kampung Geliga Besar dan Taman Seri Geliga musnah menjadi abu dibakar Seri Khambuja. Penduduk yang sedang berpindah tidak sempat menyelamatkan diri, habis dibakar oleh Seri Khambuja.

Api sakti ungu membakar hangus kampung dan taman perumahan dan ramailah orang yang mati. Kampung Geliga Cik Akob dan Kampung Geliga Kecil yang berada disebelah utara Teluk Mak Nik juga tidak terlepas dek kehancuran. Rumah kampung yang diperbuat dari kayu habis hancur bagaikan ditiup angin ribut. Pokok kelapa yang asalnya tersusun elok, tercabut dan terbang seolah orang mencabut lalang. Pasir pantai mencair menjadi kaca akibat suhu api sakti yang terlalu panas. Penduduk yang tak sempat melarikan diri, hangus menjadi abu.

Keadaan sangat tidak terkawal di Kemaman setelah kawasan Jakar dan Geliga menjadi padang jarak padang tekukur. Bilamana jalanraya telah sesak, masing-masing mula meninggalkan kereta dan berlari mencari perlindungan. Jerit pekik orang ramai kedengaran sangat jelas, masing-masing ketakutan yang amat. Orang saling bertolakan sampai yang jatuh dipijak orang ramai sampai mati, tidak peduli lagi pada sesiapa.

Yang suami tinggalkan isteri. Yang ibu tinggalkan anak. Yang muda tinggalakan yang tua. Masing-masing mahu selamatkan diri sendiri. Masing-masing takut mati. Tentera yang mulanya menjadi benteng mempertahankan nyawa orang awam juga berasa gerun melihat keadaan porak-peranda. Jegilan mata merah Seri Khambuja mencabut keberanian dari diri mereka.

Tangisan anak kecil yang ditinggalkan ditepi jalan, jeritan perit orang yang dihimpit, bunyi tulang retak dipijak sangat mengerikan. Manusia seolah tidak ada pedoman, terjerit terpekik ketakutan.

Seri Khambuja bergerak kearah pusat Bandar Chukai yang masih dipenuhi penduduk yang cuba lari. Melihat ribuan orang ketakutan menjadikan Seri Khambuja semakin galak. Dia terus menghamburkan api sakti keatas deretan kedai dan jujukan kenderaan persendirian yang ditinggalkan dibakar sampai hancur lebur. Ramailah orang hangus dibakar sampai tinggal tulang. Mereka cuba lari tapi api sakti naga durjana itu lebih pantas menangkap dan menghantar mereka ke alam barzakh.

Api sakti yang dihambur Seri Khambuja membakar marak sehingga ke pusat Bandar Kemaman. Kampung-kampung disekitar juga tidak terkecuali. Keadaan seluruh kawasan perbandaran Kemaman saling tak tumpah seperti kota Hiroshima yang diledakkan dengan bom atom semasa penghujung perang dunia dulu. Bangunan konkrit hancur lebur, jalan tar menjadi cair, kenderaan diatas jalan semua melebur, melekat diatas tanah. Tulang belulang manusia bertaburan, berselerakan merata-rata, diatas jalan, didalam bangunan yang runtuh, didalam kenderaan, ada di merata-rata tempat. Tiada secubit daging pun pada tulang-tulang itu.

Seri Khambuja terus menggila tidak henti-henti menghamburkan api saktinya. Maraknya api sakti itu sampaikan orang di Kerteh boleh nampak julangan api tinggi sampai keawan. Setelah puas menghambur api, Seri Khambuja mengaum nyaring, kemudian masuk kedalam tanah. Entah apa yang dibuat naga durjana itu tetapi habis tanah dalam daerah Kemaman dan Chukai digembur dan dirongkah seakaan tenggala mahu menyiapkan tanah sawah untuk menanam padi.

Bergegarlah seluruh kampung-kampung yang terselamat dari dibakar Seri Khambuja dek gempa bumi. Rumah orang kampung satu demi satu runtuh. Ada juga yang tenggelam seakan ditelan bumi. Pokok kelapa sawit dan pokok di dusun juga tumbang ke tanah lalu tenggelam dalam tanah yang mencair seakan selut.

Tidak jauh dari Kijal, briged armor mengatur kedudukan untuk menggempur Seri Khambuja yang sedang mengganas. Deretan krew kereta kebal dan kenderaan tempur infantri ACV300 dan AV8 Gempita menunggu arahan untuk membuat serangan balas. Masing-masing memeriksa alatan dan kelengkapan yang dibawa. Kelopak peluru disematkan pada rompi kalis peluru, pejera raifal dibetulkan, topi keledar dipakai rapi lengkap dengan set radio dan kacamata. Disatu sudut, kelihatan sekumpulan anggota tentera membuat satu bulatan dan membaca doa.

MALAPETAKAWhere stories live. Discover now