Pangkalan Udara Kuantan hingar bingar dengan bunyi siren panjang.
Dari jauh ramai anggota berlari kearah deretan pesawat tempur F-35B yang ditempatkan di apron. Beberapa buah kenderaan sokongan teknikal juga menderu kearah deretan pesawat tersebut, masing-masing membawa muatan peluru berpandu. Kalangan krew teknikal yang merupakan anggota dan pegawai TUDM tangkas menyiapkan pesawat untuk berlepas. Peluru berpandu udara ke darat dan peluru berpandu anti kapal permukaan dipasang pada pesawat, menandakan operasi kali ini adalah operasi sebenar. Negara sedang menghadapi ancaman dari serangan musuh dan TUDM adalah tonggak utama pertahanan udara yang menggalas tanggungjawab melawan segala bentuk angkara murka yang mengancam kedaulatan negara.2 skuadron pesawat, keseluruhannya 36 buah pesawat tempur generasi kelima yang membentuk No.3 Skuadron "Halilintar" dan No.6 Skuadron "Petir" merupakan pasukan utama yang mendiami Pangkalan Udara Kuantan.
Kemudian sayup-sayup deruan enjin jet bergema dan satu demi satu pesawat tempur berlepas keudara dengan kelajuan tempur. Penduduk sekitar pangkalan tersebut yang baru saja selesai solat Subuh saling berpandangan antara satu sama lain dan tertanya-tanya apa yang sedang berlaku. Atap rumah bergegar, apabila satu demi satu pesawat melintasi kawasan perumahan pada altitud rendah, sesuatu yang jarang sekali dibuat oleh juruterbang TUDM. Hanya bunyi dan tujahan api dari enjin jet berwarna merah sahaja yang kelihatan.
Kesemua pesawat tempur tersebut meluru pantas kearah laut, menuju ke lokasi medan minyak yang sedang marak terbakar. Tetapi arahan untuk menyerang balas masih belum diterima.
Dari kejauhan, kalangan juruterbang pesawat tempur menyaksikan satu lembaga besar sedang amuk. Sesekali ia menghamburkan api sakti membakar apa sahaja yang melintas dihadapannya. Kemudian ia menghempas tubuh kedalam laut, dan muncul semula lalu dengan ngauman yang membingitkan seperti guruh. Ia sedang memusnahkan pelantar minyak Tapis, lembangan minyak mentah terbesar negara. Satu demi satu pelantar dibakar dengan api sakti. Kemudian ia meratah segala keluli pelantar dan kapal yang ada berhampiran.
Mentari pagi mulai terbit.
Lalu terserlahlah rupa sebenar makhluk tersebut yang gadang dan menakutkan, melingkar seperti ular besar, bersisik warna keemasan dan dilapisi permata lapis lazuli, dengan cula seakan tanduk badak sumbu dihadapan kepalanya yang bagaikan diukir oleh pandai kayu tradisi, dan deretan giginya yang tajam mampu menghancurkan keluli paling kuat yang ditempa manusia. Empat matanya yang merah saga dibalik selubung malam mulai terserlah. Tajam dan menggerunkan.
Suaranya garau apabila berkata-kata, menggentarkan jiwa dan hati setiap manusia bernama lelaki. Bagaikan panahan petir makhluk tersebut melaungkan namanya - Seri Khambuja dan seraya itu mulutnya yang besar menghamburkan api sakti berwarna biru membakar dan meleburkan apa saja. Ia kemudian menyeru nama Srivangsaraja, mahu menuntut bela dan membalas dendam.
Sedang makhluk itu mengganas, angkatan laut negara berada tidak jauh namun seakan kaku tidak ketahuan bagaimana untuk bertindak.
Natasha berdiri didalam anjungan KD Raja Jarom bersama kalangan pegawai awasan dan anggota. Disebelahnya Komander Nurfaiqa. Peluh jantan mengalir pantas dipipinya walaupun penghawa dingin menghembus angin sejuk. Dia kaget, sebagaimana kalangan kakitangan anjungan yang lain. Semua terdiam dan kaku seolah dipukau oleh makhluk tersebut. Mereka tidak tahu apa yang perlu dibuat. Bukan ini musuh yang mereka perlu hadap seperti mana didalam latihan yang mereka laksanakan sebilang masa.
Kemudian Natasha bersuara.
"Itulah Sri Khambuja, naga dalam lagenda Tasik Chini yang terkenal di negeri Pahang. Prasasti yang kita temui kelmarin adalah pasungan yang merantainya dari keluar dan berbuat durjana keatas alam kita."
Komander Nurfaiqa menoleh kearah Natasha.
"Tapi itukan hanya cerita dongeng. Mustahil."
"Puan, kita semua tak bermimpi serentak. Apa yang ada didepan kita itu bukan lagi mitos tapi realiti. Nama makhluk tu disebut pada prasasti yang kita temui dan barangkali akan ada satu lagi yang akan muncul." Natasha membalas.
YOU ARE READING
MALAPETAKA
Historical FictionNegara dikejutkan dengan penemuan julangan cahaya ditengah-tengah Laut China Selatan. Pelantar minyak musnah dan meletup ditengah laut. Kapal kargo tiba-tiba hilang, kemudian ditemui dalam keadaan yang mengerikan. Bandar pesisir pantai timur semenan...