Komputernya segera dimatikan dan mejanya disusun kemas. Helaian kertas yang tidak lagi mahu digunakan digumpal olehnya dan dibuang ke dalam tong sampah yang berada berdekatan dengan meja kerjanya itu. Setelah berpuas hati dengan keadaan tempat kerjanya itu, beg bimbitnya diambil dan dia mula melangkah keluar dari bilik pejabatnya itu.
"Dato' Seri sudah mahu balik?" Setiausahanya bertanya apabila melihat lelaki yang merupakan bosnya itu berjalan ke arah pintu keluar. Lelaki itu hanya mengangguk.
"Kamu pula jangan terlalu lama bekerja. Rehatkan juga badan kamu tu." Dato' Seri Hamid berkata kepada setiausahanya. Wanita itu hanya tersenyum mendengar nasihat lelaki itu.
"Dato' Seri jangan risaulah. Sikit saja lagi kerja saya nak siap ni. Nanti saya balik." Wanita itu berkata dengan mesra. Dato' Seri Hamid hanya tertawa kecil sebelum meminta diri untuk pulang. Wanita itu segera bangun dan menundukkan badannya sedikit.
"Elok - elok balik rumah, Dato' Seri. Kirimkan salam saya dekat Datin Seri." Wanita itu berkata lagi sambil tersenyum. Bosnya itu hanya tersenyum sambil mengangguk sebelum mulai hilang di sebalik pintu kaca pejabat aras itu.
Wanita yang merupakan setiausahanya itu cukup senang dengan peribadi bosnya yang tidak sombong dan prihatin tentang pekerjanya itu. Tidak hairanlah sekiranya rezeki lelaki itu sentiasa terbuka luas dan berada di mana - mana.
Sambil mengeluh lemah, wanita itu kembali duduk di atas kerusi menyambung kerjanya. Lagi cepat kerjanya siap, lebih cepat dia dapat pulang ke rumahnya.
Setelah sampai di lobi bangunan pejabatnya, kelihatan sebuah kereta mewah buatan luar negara telah pun menunggunya di situ. Dato' Seri Hamid segera membuka pintu penumpang belakang dan segera melangkah masuk ke dalam.
Kereta itu mula bergerak apabila Dato' Seri Hamid kelihatan sudah selesa dengan kedudukannya di dalam kereta itu. Surat khabar yang berada di dalam poket bahagian belakang tempat duduk pemandu itu diambilnya. Tajuk utama akhbar itu dibacanya.
'SEORANG AHLI KOPORAT MATI DIBUNUH KEJAM DI KEDIAMAN SENDIRI'
Dato' Zabidi, 52, ditemui mati di halaman kediamannya sendiri oleh pekerja rumahnya pada 6:25 petang semalam. Mangsa merupakan seorang ahli korporat yang sedang mendadak naik sebagai salah seorang ahli korporat yang berjaya setelah berjaya mendapatkan pelbagai projek di dalam serta di luar negara.
Mangsa ditemukan dalam keadaan yang agak mengerikan dengan kelihatan pukulan di bahagian wajah mangsa serta kesan ikatan tali yang ketat pada pergelangan tangan dan kaki mangsa. Setelah bedah siasat dilakukan, mangsa disahkan dipukul sehingga menyebabkan tulang rusuk mangsa patah dan mencederakan organ dalaman mangsa, menyebabkan berlakunya pendarahan dalaman badan mangsa. Mangsa juga dikatakan diculik daripada pejabat milik mangsa dan hilang sebelum dijumpai di halam kediamannya sendiri.
Pihak polis masih lagi menjalankan siasatan terhadap kejadian ini dan berusaha untuk memberkas individu yang bertanggungjawab melakukan perkara tersebut. Pihak kami mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa. Semoga keluarga mangsa tabah menghadapi ujian ini.
Dato' Seri Hamid mula muram apabila membaca berita itu. Khabar kematian salah seorang kenalannya itu agak menghairankan dirinya. Seingatnya arwah tidak terlibat dengan pekerjaan yang bukan - bukan, tidak juga memberi rasuah atau sebaliknya. Orangnya juga peramah dan sangat professional dalam kerjanya, membuatkan dia menghormati arwah.
Kini dia hanya mampu berdoa yang baik - baik sahaja untuk arwah serta keluarganya. Pasti isteri dan anak - anaknya agak terkejut dengan berita itu. Mujur sahaja hidup mereka sekurang - kurangnya mempunyai kewangan yang kukuh untuk meneruskan hidup. Jika tidak silapnya, anak tunggal lelaki arwah yang telah mengambil alih pengurusan syarikat milik arwah itu.
Dato' Seri Hamid mengeluh perlahan sebelum melipat kembali dan meletakkan kembali surat khabar itu di tempatnya kembali. Dahinya diurut perlahan apabila lelaki itu merasakan kepalanya mula berdenyut sedikit.
RING! RING!'
Bunyi deringan telefonnya itu membuatkannya sedikit tersentak. Telefon pintarnya segera diambil dan panggilan itu terus diangkat tanpa melihat terlebih dahulu nama si pemanggil itu.
"Hello?" Dato' Seri Hamid berkata setelah panggilan itu diangkat olehnya. Matanya melirik ke arak suasana di luar tingkap keretanya. Dahinya berkerut apabila dirinya sendiri tidak mengenal pasti kawasan yang sedang dilaluinya itu.
"Hello Dato' Seri. Saya minta maaf tapi saya tak jumpa Dato' Seri sekarang ni. Dato' Seri ada di mana, ya? Tadi saya tunggu di lobi tapi setiausaha Dato' Seri beritahu yang Dato' Seri sudah turun ke lobi. Sudah lama saya tunggu Dato' Seri dekat sini. Dato' Seri ada dekat bahagian tempat parkir ke?" Kedengaran suara cemas pemandunya, membuatkan Dato' Seri terkaku.
"Hello? Hello Dato' Seri?" Masih kedengaran suara pemandunya di hujung talian. Namun Dato' Seri Hamid tidak membalas apa - apa, dia terlalu kaget dengan situasinya sekarang ini.
"Siapa kamu? Apa yang kamu mahu dengan saya?" Dato' Seri Hamid cuba menyelesaikan perkara itu dengan pendekatan yang lembut namun daripada pantulan cermin pandang belakang itu, Dato' Seri Hamid dapat melihat pertanyaannya hanya dibalas dengan satu senyuman sinis daripada penculiknya.
"Dato' Seri duduk sahaja di situ diam - diam. Nanti kita akan sampai ke destinasi kita, ya Dato' Seri? Dato' Seri tenang saja." Mendengarkan jawapan 'pemandunya' itu, Dato' Seri Hamid semakin cemas. Telefonnya segera diletakkan semula ke telinganya.
"Razman! Kamu kena tolong saya! Saya berada di-" Sebelum sempat Dato' Seri Hamid menghabiskan kata - katanya, penculiknya mengambil tindakan untuk membrek secara mengejut, menyebabkan tubuh lelaki itu tersentak ke hadapan dengan kuat akibat tidak memakai tali pinggang keselamatan. (Lain kali pakai seatbelt anak ii sekalian)
Pintu kereta bahagiannya tiba - tiba dibuka dan tubunya diheret keluar sebelum dimasukkan semula ke dalam kereta yang lain. Akibat usianya yang sudah separuh abad, Dato' Seri Hamid tidak dapat meloloskan dirinya daripada pegangan ketat penculik - penculiknya.
Setelah lelaki itu dicampak masuk ke dalam kereta itu, kereta itu terus meluncur laju menjauh daripada kawasan itu. Kereta mewah tadi hanya dibiarkan di tepi jalan begitu sahaja.
"Dato' Seri?! Dato' Seri?!"

ANDA SEDANG MEMBACA
Secret Identity : SILHOUETTE [BOOK 3]
Novela Juvenil[Sequel daripada Secret Identity : MEMORY (2)] Setelah mereka berjaya menumpaskan sindiket yang berbahaya itu, kejadian lain pula yang berlaku menyebabkan kekecohan di Bandar Putra. Pembunuhan beberapa orang koporat yang misteri menjadi menyebabkan...