-'⑱'-

150 34 127
                                    

Hyunjin membetulkan rambutnya yang ditiup angin sepoi-sepoi bahasa. Terik matahari yang memancar tidak menghalangnya untuk terus berdiri di situ. Dia memeluk tubuhnya sambil menikmati pemandangan pantai.

"Hyunjin... Nah." Ji Ah menghulurkan air. Dia pergi ke situ bersama Hyunjin selepas makan tengahari tadi. Dengan senyuman, Hyunjin mengambil minuman yang dibeli Ji Ah.

Sebatang kayu pokok yang tersadai di situ, menjadi tempat mereka berdua melabuhkan punggung. Ji Ah melihat jam tangannya dan masih ada lebih kurang dua puluh minit lagi sebelum masuk pukul 3 petang. Tentang Jeongin pula, Jinhyuk ada memberitahu yang Jeongin ada bersamanya dan akan pulang petang nanti. Jadi, sementara menunggu kepulangan Jeongin, Hyunjin ingin mengambil angin di situ.

"Erm.. Ji Ah. Sebenarnya saya nak minta maaf sebab awak terpaksa libatkan diri dalam masalah keluarga kita orang dan terima kasih sebab faham." Hyunjin mengemam mulutnya hingga lesung pipitnya kelihatan. Kedua tangannya pula digenggam erat.

"Janganlah macam tu... Sejak korang datang bercuti dekat sini, saya dah anggap korang macam keluarga sendiri. Kita banyak kali luangkan masa sama-sama. Lagipun, kita tak mintak pun semua ni berlaku." Ji Ah membalas. Tidak enak pula bila Hyunjin berkata demikian.

Hyunjin menghela nafas panjang. Percutian musim panas ini sepatutnya menggembirakan hati Jeongin sebaliknya melukakan lagi perasaannya. "Saya ni abang yang teruk, kan?"

"Tak, Hyunjin. Bagi Iyen, awak bermakna dalam hidup dia lebih dari siapa pun. Bahkan dari Mama dan Papa awak. Jadi, janganlah sedih. Mula-mula memanglah dia marah nanti dia okeylah tu. Tunjukkan pada Iyen yang awak sayangkan dia tanpa pedulikan status diri dia..," ujar Ji Ah seakan seorang kaunselor. Rasanya dia sudah boleh ambil kursus kaunseling kalau terus begini. Semalam dia memujuk Jeongin, hari ini giliran Hyunjin pula.

"Sebenarnya... Saya dapat tahu pasal ni pun secara tak sengaja. Masa tu, saya terdengar perbualan Papa dengan doktor semasa Iyen dimasukkan ke dalam wad. Sejujurnya saya terkejut tapi, tak lama lepas tu saya sedar yang semuanya tak bermakna apa-apa. Iyen tetap adik saya walau apa pun yang terjadi. " Hyunjin meluahkan rasa hatinya.

Ji Ah menyimpulkan senyuman. Kisah dua beradik ini sangat menyentuh hati. Cara Hyunjin dan Jeongin menunjukkan kasih sayang terasa berbeza daripada adik beradik yang lain. Jika sebelum ini, dia hanya mendengar cerita abang yang bersikap menyebalkan daripada kawan-kawannya, termasuklah Hwa Ra. Jeongin sangat beruntung dapat memiliki abang yang berhati lembut seperti Hyunjin dan mereka berdua memang sudah ditakdirkan sebagai adik beradik.





Han menyilangkan tangan sambil menyandarkan badannya pada pintu. Erika yang berdiri di depan pagar rumahnya dipandang dengan pandangan menyampah.

"Awak nak apa datang sini?" Soal Han sambil memutarkan matanya. Entah apa yang Erika mahukan lagi sampai datang ke situ.

"Saya datang nak ambik beg saya yang tertinggal dekat sini semalam... Boleh saya masuk?" Jelas Erika. Dia hendak ke situ malam tadi tetapi, tidak jadi disebabkan sibuk dengan penggambaran.

"Tunggu dekat situ... Biar saya ambik. Awak tu bukan boleh percaya sangat." Sempat Han memerli Erika sebelum masuk ke dalam rumah. Kemudian, dia muncul semula bersama beg di tangan.

Beg tangan sudah dipulangkan namun Erika masih lagi tidak berganjak dari tempatnya. Han yang mahu menutup pintu, mendengus geram bila melihat Erika yang masih tercegat di depan pagar.

"Apa lagi?? Jangan cakap duit awak hilang pulak," kata Han.

"Hyunjin ada? Saya nak bercakap dengan dia sekejap," ujar Erika. Dia mahu meminta maaf kepada Hyunjin tentang semalam.

Han menggerakkan mulutnya tanda tidak puas hati. Apa lagi yang minah itu mahukan. Tidak habis-habis dengan Hyunjin. Macamlah Hyunjin seorang saja lelaki yang wujud di muka bumi ini.

〖 𝓢𝓾𝓶𝓶𝓮𝓻 𝓗𝓸𝓹𝓮 〗|| ʸᵃⁿᵍ ʲᵉᵒⁿᵍⁱⁿ || ✓Where stories live. Discover now