BAB 9

226 5 0
                                    

RAISHA Imani begitu tekun mendengar setiap penerangan daripada guru Kimianya, Cikgu Zahirah.

"Okay, hari ini kita akan belajar tentang tindak balas endotermik. Endo bermaksud dalam manakala termik bermaksud haba. Endotermik bermaksud haba yang diserap masuk ke dalam bahan hasil tindak balas. Oleh itu, suhu bahan tindak balas akan meningkat. Siapa tahu bagaimana tindak balas endotermik berlaku? Ada sesiapa yang sudah baca buku sebelum datang ke kelas saya? "

Raisha Imani pantas mengangkat tangannya. Sememangnya subjek Kimia merupakan subjek yang sangat digemarinya, jadi dia akan bersedia awal sebelum masuk ke kelas supaya subjek tersebut mudah difahaminya.

" Tindak balas endotermik berlaku apabila bahan kimia yang berlainan dicampur atau direaksikan untuk bertindak balas maka ini akan menyerap haba daripada persekitaran. Seterusnya suhu di pesekitaran akan menjadi lebih rendah daripada haba purata bahan-bahan kimia yang ditindak balaskan. Perubahan tenaga tindak balas endotermik ialah dari tenaga haba kepada tenaga kimia. " yakin Raisha Imani menjawab.

" Bagus Raisha. Betul jawapan awak tu. Okay yang lain-lain, apa contoh tindak balas endotermik? " soal Cikgu Zahirah lagi.

Syahmi Aqil berbisik sesuatu kepada Raisha Imani dan Raisha Imani cuma mengangguk. Kemudian, pantas Syahmi Aqil mengangkat tangannya untuk menjawab soalan tadi.

" Ada dua contoh, cikgu! Satu, tindak balas penguraian garam karbonat secara terma. Garam karbonat akan diuraikan menjadi oksida logam dan gas karbon dioksida. Satu lagi contoh adalah tindak balas pembakaran pada penunu Bunsen. Apabila api dihidupkan pada radas penunu bunsen, permukaan penunu bunsen akan terasa sejuk dan terdapat titisan stim atau wap air."

"Tepat sekali Syahmi. Kamu yang lain-lain ini macam mana? Saya sudah pesan kan baca awal-awal bab yang akan saya ajar supaya mudah difahami semasa dalam kelas."

"Maafkan kami cikgu!" rakan-rakan sekelas Raisha Imani dan Syahmi Aqil yang lain menyahut.

"Sha, thanks tau! Kalau kau tak paksa aku baca dahulu sebelum masuk ke kelas, confirm aku pun ternganga tak dapat nak faham apa yang Cikgu Zahirah ajar ni."

"Tak ada hal lah punya! Kita buat sistem barter lah weh. Kau ajar aku Add Maths, Fizik dan English. Aku ajar kau Kimia dan BM. Macam mana, deal?"

"Okay deal!" Syahmi Aqil melagakan penumbuknya dengan penumbuk Raisha Imani.

"Cantik! Kalau nak berjaya, kita berjaya sama-sama. Tetapi kalau nak fail, cukuplah kau seorang-seorang je." Raisha Imani sudah terkekeh ketawa.

"Hoi hoi hoi! Mana boleh macam itu! Kata kawan, susah senang kena harungi bersamalah weh!"

"Ya lah! Aku tolong kau, kau tolong aku. Tetapi kau jangan minta balasan pula! Pokai aku nanti!"

"Alaa paling kurang pun aku minta kau belanja mee sup dekat hujung kampung kita ini je. Baru RM3 semangkuk."

"Memanglah! Tapi kau kan makan sampai dua mangkuk! Badan je cekeding tapi makannya banyak!"

"Raisha! Syahmi! Ada cerita menarik ke yang korang berdua nak share dengan satu kelas?"

Mereka berdua tersenyum simpul dan memandang Cikgu Zahirah.

"Tak ada cikgu!"

*****

RAISHA Imani dan Syahmi Aqil mengulangkaji pelajaran bersama-sama memandangkan tidak lama lagi akan diadakan ujian. Mereka berdua memilih tempat yang agak tersorok di perpustakaan bagi memudahkan mereka lebih fokus pada ulangkaji.

Raisha Imani sedikit pun tidak berkutik, dari tadi dia begitu tekun menyiapkan karangan bahasa Inggerisnya. Syahmi Aqil di sebelahnya pula sibuk menyiapkan nota matapelajaran Sejarah.

Alasan Untuk BahagiaWhere stories live. Discover now