BAB 46

669 8 0
                                    

SYAHMI Aqil menentang pandangan mata kedua-dua bekas mertuanya dengan hati yang berdebar-debar. Pada hujung minggu itu, dia membawa Raisha Imani dan anak mereka ke Kuala Terengganu untuk sama-sama menziarahi pusara arwah Syamil Rizqin selain melawat ibu bapa Raisha Imani.

"Ada apa yang Syahmi nak cakapkan kepada abah dan ibu ni? Mesti hal yang penting kan." Encik Rashdan mula bersuara, wajah Syahmi Aqil di hadapannya dipandang.

"Sebenarnya Syahmi datang ke sini jumpa abah dan ibu ada tujuan. Pertama sekali, Syahmi nak mohon maaf kepada abah dan ibu sebab Syahmi gagal jadi suami yang baik buat Raisha dahulu. Syahmi tinggalkan Sha keseorangan sepanjang dia mengandungkan anak kembar kami. Kalaulah Syahmi tahu dan bertegas dengan papa, perceraian kami takkan terjadi. "

" Sudahlah Syahmi, benda sudah lepas pun. Buat apa nak dikenang kisah lama. Kita semua manusia yang tak pernah lari daripada melakukan kesilapan. Lagipun Syahmi kan masih muda dan belum matang dahulu. Abah pun faham Syahmi tersepit di antara mahu mendengar kata-kata papa Syahmi atau mempertahankan rumahtangga Syahmi. Jadikan kesilapan lalu itu sebagai satu pengajaran dalam hidup Syahmi, agar jangan diulang lagi kesilapan yang sama. Abah dan ibu pun sudah lama maafkan Syahmi. "

" Ya, betul cakap abah tu. Walaupun pada mulanya ibu sangat marah kepada Syahmi sebab tinggalkan anak ibu macam itu je, tetapi selepas Sha sudah terangkan perkara sebenar yang terjadi, ibu sudah dapat maafkan Syahmi. Ibu tahu tak guna kita saling bermusuhan antara satu sama lain. Walau apa pun yang terjadi, Syahmi tetap bapa kandung kepada cucu-cucu kami. "

" Terima kasih abah dan ibu sebab sudi maafkan Syahmi. Sebenarnya Syahmi ada satu lagi hajat yang sangat besar dan penting. "

" Apa dia, Syahmi? Cakaplah. "

" Syahmi nak mohon restu daripada abah dan ibu untuk kembali memperisterikan Raisha. Syahmi janji dengan abah dan ibu, kali ini Syahmi akan bahagiakan Raisha bersama anak kami, Mina. Syahmi janji akan jadi seorang ketua keluarga yang lebih matang dan jauh lebih baik daripada dahulu. Walau apa pun yang berlaku, Syahmi tak akan mudah menyerah kalah dan akan terus teguh pertahankan cinta dan rumahtangga Syahmi. "

" Syahmi betul-betul ikhlas sayang dan cintakan anak kami, Raisha ke? "

" Ya, abah. Syahmi betul-betul ikhlas cintakan Raisha dan Syahmi mahu dia yang menjadi pendamping hidup sehingga ke akhir hayat Syahmi. Syahmi akan lamar Raisha apabila sudah mendapat restu daripada abah dan ibu. Sebab Syahmi tahu restu ibu bapa adalah penting untuk membina sebuah ikatan perkahwinan yang bahagia dan diredhai Allah. "

Encik Rashdan dan Puan Ramizah saling berpandangan. Kemudian mereka berdua tersenyum lebar memandang wajah penuh mengharap Syahmi Aqil.

" Baiklah, kami berdua merestui dan tiada bantahan jika Syahmi ingin kembali memperisterikan anak kami, Raisha. Jika Syahmi adalah jodoh yang telah ditetapkan Allah buat Raisha dan menjadi pilihan hati Raisha, siapalah kami untuk menghalangnya. Kami sebagai orang tua hanya inginkan kebahagiaan buat satu-satunya anak kami. Syahmi pun tentu faham kan sebab Syahmi pun sudah ada anak. Jika Syahmi adalah kebahagiaan sebenar Raisha, kami terima dengan hati yang lapang. "

" Alhamdulillah, syukur Ya Allah. Terima kasih abah dan ibu. Syahmi janji kali ini Syahmi tak akan pernah sia-siakan lagi wanita yang Syahmi cinta dengan setulus hati Syahmi. "

*****

RAISHA Imani tersenyum memandang anaknya, Shamina Raniah yang kelihatan begitu seronok membina istana pasir di tepi pantai bersama ibu saudaranya, Salsabila. Mereka berempat, termasuk Syahmi Aqil telah memilih untuk bercuti di Pulau Redang selama tiga hari dua malam.

Pada mulanya, Syahmi Aqil hanya ingin bercuti bertiga sahaja namun Salsabila berkeras mahu mengikut abangnya. Menurut Salsabila, dia risau membiarkan abangnya bersama Raisha Imani, risau jika sesuatu yang tidak diingini berlaku. Maklumlah orang tengah hangat dilamun cinta katakan.

Alasan Untuk BahagiaWhere stories live. Discover now