SYAHMI Aqil memarkirkan kereta Audi R8nya di garaj sebuah rumah banglo tiga tingkat yang tersergam indah. Kemudian dia melangkah turun dari keretanya dengan membimbit plastik berisi buah-buahan yang sempat dibelinya tadi. Langkah kakinya diatur ke arah pintu dan dia mengetuk perlahan pintu rumah tersebut.
"Assalamualaikum." Syahmi Aqil memberikan salam kepada penghuni rumah tersebut.
"Waalaikummussalam. Angah!" adik perempuan Syahmi Aqil yang membuka pintu terus sahaja menyalam penuh hormat tangan Syahmi Aqil.
Syahmi Aqil berjalan beriringan masuk ke dalam rumah bersama adiknya, Salsabila. Plastik berisi buah-buahan tadi diserahkan kepada Salsabila sebelum dia melabuhkan duduk di atas sofa di ruang tamu.
"Adik, angah hauslah. Boleh tak tolong buatkan air Sunquick untuk angah? Angah nak yang perisa Mandarin tau."
"Ei angah ni! Mengada betul lah. Pergilah buat sendiri. Macam tak biasa. Ini pun rumah angah juga kan?" rungut Salsabila.
"Alaa tolonglah! Adik sayang angah tak? Nak jadi adik mithali tak ni?"
"Ya lah, ya lah! Tunggu sekejap, adik pergi buatkan. Sudah berkahwin ni bukan main lagi perangai mengada dia tu!"
Syahmi Aqil hanya tersengih mendengarkan bebelan adiknya. Kepalanya disandarkan kepada kepala sofa dan matanya dipejamkan sejenak cuba mengusir letih kerana baru sahaja pulang dari kerja seharian.
" Hai Syahmi! Seorang je ke? Mana Kayla? Dia tak datang ke?"
Syahmi Aqil membuka perlahan matanya dan tersenyum segaris kepada bapanya, Dato' Safwan. Tangan bapanya itu kemudiannya dicium penuh hormat.
"Seorang je lah, papa. Menantu kesayangan papa tu ada dekat New York. Macam biasalah busy dengan kerja dia tu. Memang kena selalu terbang ke sana sini."
"Ni papa nak cakap sedikit dengan kamu. Kamu tak cuba minta Kayla tu untuk berhenti kerja ke? Papa bukannya apa, dia terlalu sibuk dengan kerja dia. Kamu pun sama terlalu sibuk dengan kerja kamu. Kalau macam ini lah gayanya, bila papa nak dapat cucu sulung? Hanya kamu dan Kayla sahaja harapan papa. Lagipun kamu berdua sudah dua tahun berkahwin, takkan seorang cucu pun belum boleh berikan kepada papa? "
" Sudah banyak kali Syahmi minta Kayla untuk berhenti kerja. Tetapi papa tahu-tahu je lah menantu papa itu macam mana. Dia sangat sayangkan kerjaya modelling dia tu. Syahmi nak cakap apa lagi selain daripada restu pilihan dia. Lagipun Kayla kan menantu pilihan papa, jadi papa haruslah terima dia seadanya. Sebelum dia berkahwin dengan Syahmi pun, papa sudah tahu kan dia memang seorang model. "
" Papa sangkakan dia akan slow down kerjaya dia apabila sudah jadi isteri orang. Kamu cubalah berbincang dengan Kayla tu, minta dia lebih fokus kepada rumahtangga kamu berdua. Semasa kamu berdua masih muda ini lah elok untuk beranak pinak dan lahirkan cucu yang ramai untuk papa. Kamu berdua tak rasa sunyi ke tinggal berdua je di rumah yang besar tu? Papa hadiahkan rumah itu sempena perkahwinan kamu berdua dahulu dengan harapan kamu berdua dapat penuhi dengan cucu yang ramai tetapi tengoklah, seorang pun belum ada lagi. "
" Mungkin bukan rezeki Syahmi dan Kayla lagi kot, abang. Abang sabar je lah. Insya-Allah nanti ada lah tu rezeki abang nak bercucu. Lagipun Syahmi dengan Kayla kan baru je dua tahun berkahwin, masih awal lagi tu. " sampuk Datin Wardah yang sedari tadi mendengar sahaja perbualan dua beranak itu.
" Ya, betul cakap mama tu. Papa doakan je semoga ada rezeki Syahmi dan Kayla untuk timang anak nanti. Bukannya kami tak pernah berusaha pun, cuma rezeki belum memihak kepada kami. Kalau papa sudah tak sabar nak cucu sangat, papa suruhlah Kaklong berkahwin."
*****
RAISHA Imani menepuk perlahan tubuh anaknya, Shamina Raniah yang sedang berbaring di atas katil untuk menidurkannya. Bibirnya juga tidak berhenti-henti mengalunkan zikir. Beberapa minit kemudian, anaknya itu terus dijemput lena dan Raisha Imani menarik selimut rapat ke dada anaknya. Kemudian, dia tunduk mencium penuh kasih dahi dan pipi comel anaknya.
"Good night princess. Sleep well."
Raisha Imani berpaling apabila mendengar derapan tapak kaki seseorang menghampirinya. Dia lantas tersenyum kepada ibunya, Puan Ramizah.
"Mina sudah tidur ya, Sha?"
"Ya, ibu. Penat sangat kot hari ini seharian dia bermain dengan anak-anak maksu. Selepas itu tadi sibuk suruh Sha bercerita pasal dia dan arwah Syamil dulu. Suka sangat dia apabila Sha beritahu dia ada adik kembar."
"Kasihan Mina tak dapat membesar bersama kembarnya. Allah sudah jemput Syamil lebih awal daripada kita semua." Puan Ramizah mengelap tubir matanya yang mula berair.
"Sudahlah ibu, janganlah sedih lagi. Sha pun sudah redha Allah cuma pinjamkan arwah Syamil kepada Sha selama dua tahun. Sekurang-kurangnya Sha dapat tunaikan tanggungjawab Sha sebagai ibunya dengan berikan dia susu badan Sha sepenuhnya sepanjang hayat dia dahulu. Arwah Syamil memang seorang anak yang baik, sama macam Mina. Walaupun arwah Syamil sudah tinggalkan kita kerana penyakit kanser darah yang dihidapinya, sekurang-kurangnya kita masih ada Mina. Mina lah yang menjadi kekuatan Sha selama ini. "
" Ya, Sha. Alhamdulillah, kita masih ada Mina yang sangat comel dan petah berkata-kata ini. " Puan Ramizah tersenyum memandang wajah cucunya yang sedang tertidur pulas itu.
" Ni kenapa ibu tak tidur lagi? Ibu ada benda yang nak dibualkan dengan Sha ke? "
" Macam ini, Sha. Ibu pun tak tahu nak cakap macam mana. Tetapi hari itu, ada seseorang yang bertanyakan ibu tentang Sha. Dia merisik Sha untuk anak lelaki dia."
Raisha Imani sedikit terpempan. Wajah ibunya dipandang mencari kepastian.
" Siapa ibu? Sha kenal ke?"
" Isteri kepada imam baru dekat kampung kita ni. Sha mungkin tak kenal. Tetapi apa yang ibu tahu, anak lelaki dia tu berkerja sebagai doktor. Masih bujang lagi. Katanya anak lelaki dia tak kisah langsung tentang status Sha dan sanggup terima Mina macam anak kandung dia sendiri. "
" Habis itu ibu cakap apa? Ibu terima ke? "
" Ibu cuma beritahu ibu perlu berbincang soal ini dengan Sha dahulu. Lagipun yang nak berkahwin nanti adalah Sha. Ibu dan abah tak boleh memandai-mandai buat keputusan sebab ini soal masa depan Sha dan juga Mina. "
" Siapalah yang nakkan janda macam Sha ni, ibu. Lagipun Sha tak yakin akan ada orang yang boleh terima Sha dan Mina seadanya. Sha pun tak pernah terfikir dan bersedia pun untuk berkahwin buat kali kedua, ibu. Sha selesa dengan hidup Sha sekarang. Sha ada Mina dan Sha bahagia dengan adanya Mina, keluarga Sha dan kawan-kawan baik Sha. Sha tak rasa yang Sha perlukan seorang suami. "
" Tetapi Sha, Sha kan masih muda. Baru je 25 tahun. Takkanlah Sha nak menjanda sehingga ke tua? Sha cubalah beri peluang kepada diri Sha untuk kenal lelaki lain. Atau Sha masih tak dapat lupakan bapa kandung Mina? Sha masih cintakan dia ke? Sha, Sha sedarlah! Dia sudah lama menghilang tinggalkan Sha dan Mina tanpa jejak selama ini. Entah-entah sekarang ini dia sudah pun bahagia dengan keluarga baru dia. Takkan Sha je nak terus hidup dalam derita? Sha masih belum move on lagi ke ni? "
" Sha sudah cuba lupa dan padamkan nama, wajah dan segala-galanya tentang dia daripada hati dan ingatan Sha, ibu. Tetapi Sha tak boleh! Setiap kali Sha teringat kepada arwah Syamil atau pandang wajah Mina, Sha akan automatik teringat kepada dia, ibu. Sha bukannya taknak lupakan dia, tetapi Sha belum mampu. Jadi, Sha minta maaf sangat kalau Sha belum bersedia untuk mulakan hidup baru dengan mana-mana lelaki lain. Buat masa ini, cukuplah hanya Shamina sahaja yang buatkan hidup Sha bahagia. "
YOU ARE READING
Alasan Untuk Bahagia
RomancePertemuan di antara Raisha Imani dan Syahmi Aqil pada awalnya tidak bermula dengan baik apabila mereka sering sahaja bertengkar. Bagi Raisha Imani, pemilik nama Syahmi Aqil itu adalah seorang yang menjengkelkan dan merupakan musuh ketatnya. Namun di...