"HUDA tolong hidangkan makan kat abang ya. Akak tak laratlah nak teman dia." Marini menyandar ke kepala katil. Kandungannya yang sudah semakin besar, membataskan dia untuk bergerak ligat.
Huda letak air putih yang diminta Marini tadi. Sudah beberapa bulan dia bekerja di rumah wanita itu. Dan akhir-akhir ini dia nampak Marini kerap letih begitu.
"Akak tak pergi cek doktor ke? Muka akak nampak pucat." Huda duduk di birai katil. Tangan sejuk Marini, dia sentuh lembut. Risau juga Huda dengan tahap kesihatan Marini.
Marini mengoyak senyum nipis.
"Akak okey je. Biasalah baby aktif sangat dalam perut. Jadi letih dibuatnya." Telapak tangan Huda di bawa ke perutnya.
"See, dia tendang bonda dia pula ni." Marini tergelak kecil.
Huda tersenyum lebar. Terasa tendangan kecil dari bayi dalam kandungan Marini itu. Memang betul kata Marini. Aktif benar!
"Cute sangat! Tak sabar Huda nak jumpa dia." Huda usap lembut perut Marini.
"Akak pun... tapi tak tahulah sempat ke tak..." Marini menggumam perlahan.
"Apa kak?" Huda angkat muka. Tak dengar butir ayat Marini. Sibuk mengusap perut Marini yang asyik bergelombang dek tendangan si kecil dari dalam perut wanita itu.
"Tak ada apa, Huda temankan abang ya? Abang Har tu, kalau makan kena berteman. Kalau tak, tak habis makan. Nanti bagitahu dia, akak dah tidur." Marini menggeleng kecil sebelum menepuk kekura tangan Huda. Badan diturunkan ke bawah. Bantal ditepuk-tepuk lalu dia meletakkan kepala.
Huda cuma memerhati. Ada yang tak kena dengan Marini. Kata hati Huda merasakan begitu. Tapi seperti tadi, Marini asyik menafikan telahan Huda.
Melihat Marini sudah disambar lena. Huda menghela nafas dan berlalu ke dapur. Dia kena siapkan makanan untuk Tan Sri Izhar. Mak Siah bercuti ke rumah anaknya selama seminggu.
IZHAR mengitari ruang. Bayang isterinya tidak kelihatan.
"Huda... mana isteri saya?" Tanya Izhar mengambil duduk di kerusi meja makan.
Huda yang sedang mencedok nasi terhenti seketika.
"Puan sri dah tidur. Katanya tak larat. Baby aktif sangat." Satu senyuman kecil Huda ukir menjawab suami majikannya itu.
"Oh, Irmal?" Izhar tanya tentang anaknya pula. Dia terlampau sibuk dengan projek baru. Sampaikan balik rumah pun dia banyak habiskan masa di dalam bilik kerjanya. Fikir Izhar oleh sebab dia bakal ambil cuti lama selepas Marini bersalin nanti. Jadinya, dia kena siapkan projek itu dengan secepat mungkin.
"Irmal pun dah tidur tan sri." Beritahu Huda menyambung meletak nasi ke pinggan Izhar.
Izhar cuma mengangguk kecil mendengar jawapan Huda. Cawan berisi air kosong dia bawa ke bibir.
Huda serah pinggan berisi nasi pada Izhar. Kemudian, dia dekatkan mangkuk kuah kari ayam yang dimasaknya pada Izhar.
Melihat Izhar sudah mula makan, dia berura-ura mahu mengundur diri ke dapur basah semula.
"Eh, awak nak ke mana?" Belum sempat Huda melangkah, Izhar menegur dia.
"Ke dapur tan sri." Jawab Huda perlahan. Huda sebenarnya masih lagi kekok apabila berhadapan dengan Tan Sri Izhar itu.
Sudah beberapa kali Marini menyuruh dia memanggil lelaki itu dengan panggilan Abang Izhar. Katanya Izhar pasti tak kisah. Tapi sebagai pekerja, takkanlah Huda suka-suka nak panggil panggilan santai begitu pula.
"Duduk, makan sekali dengan saya. Sementara anak awak tu tengah tidur." Suruh Izhar sekadar memandang Huda sekilas.
"Err..."
"Duduk, Huda."
Mendengar nada berbentuk arahan Izhar, terus Huda melabuh duduk dan mengambil pinggan. Seterusnya, acara makan mereka terasa canggung bagi pihak Huda. Izhar pula selamba saja menyantap makan. Siap tambah dua pinggan nasi.
Sambil menyuap makan, sempat Huda menjeling suami kepada Marini itu. Makannya tertib, tulang ayam sedikit pun tak bersisa. Bersih sungguh, patutlah Irmal pun sama menurun perangai tertib bila di meja makan begitu. Kagum betul Huda.
"Saya pergi tengok Marini. Terima kasih sebab temankan saya makan. Sedap kari ayam awak." Puji Izhar tak semena-mena sebelum bangkit berdiri.
Huda terdongak mencari figura majikannya itu. Sudah habis makan rupanya. Ralit sangat dia mengelamun sampai lelaki itu siap makan pun dia tak sedar.
Huda mengangguk laju sambil mencarik senyum segan selepas itu. Tak pernah Izhar memuji. Hari ini dia dapat pujian. Rasa bangga pula!
Nafas ditarik lega usai Izhar berlalu pergi. Dia kembali mengemas meja.
"Nasiblah aku sempat belajar masak dengan Mak Siah. Tidak, mati kutu aku nak masak apa." Huda tersengih sendiri. Mana dia tak lega, dulu dia mana pandai masak.
Maklumlah, tak sempat belajar masak dengan opah, opah dah pergi tinggalkan dia. Masa bergelar isteri kepada Faiz pula. Mereka makan apa yang ada aje. Paling sedap telur goreng kicap. Patutlah Faiz putus asa hidup dengan dia dan balik kepada famili dia. Tak ada untungnya bernikah dengan Huda yang serba kurang.
RAMBUT YANG sedikit basah, di lap dengan tuala kecil. Sambil itu dia menjeling si isteri yang sedang terlena pulas. Dia baru saja sudah membersihkan diri sebelum mahu merehatkan badan di sebelah si isteri.
Izhar nampak dahi isterinya dihiasi rintik peluh. Tak lama, Marini mula berkeluh kesah. Izhar mula cemas. Tuala di campak ke lantai. Lekas dia mendapatkan wanita itu.
"Mama, are you okay?" Izhar elus rambut Marini.
"Sakit ba..." Nafas Marini tercungap-cungap.
"Sakit? Perut sakit? Kaki cramp?" Cemas Izhar menanya.
Marini menggeleng. Tangannya naik mencengkam baju pagoda putih Izhar. Sakitnya kian mencengkam.
"Sakit..." Sebelah tangan Marini mencengkam dada sendiri pula. Nafasnya terasa tersekat-sekat ibarat ada batu yang menindih.
"Kita ke hospital ya?" Tak menunggu jawapan Marini, Izhar terus masukkan tangannya ke bawah tubuh Marini dan mencempung isterinya itu.
"Huda!" Jerit Izhar kuat.
Huda yang baru mahu terlena, terus terjaga. Kelam kabut dia berlari keluar dari bilik apabila mendengar jeritan majikannya itu.
"Ya, tan sri. Allah! Kenapa dengan Kak Mar ni tuan." Anak mata Huda terbeliak besar melihat Marini yang sedang mengerang dalam pelukan Izhar.
"Tolong ambil kunci kereta saya dan bukakan pintu. Lekas!" Izhar membawa Marini ke muka pintu.
"Ba.. baik." Sepantas mungkin Huda membuka pintu buat Izhar. Lincah tangannya mencapai kunci kereta yang tersangkut di tepi dinding.
Berlari anak, Huda tolong bukakan pintu kereta buat Izhar.
"Kak... kenapa ni kak?" Huda rasa mahu menangis melihat keadaan Marini saat membantu Izhar meletakkan wanita itu di tempat duduk penumpang.
"Awak jaga rumah dan anak-anak. Apa-apahal saya maklum kemudian. Doakan Marini." Izhar capai kunci kereta dari tangan Huda. Dia tak ada masa mahu menjawab soalan Huda sekarang ini.
Huda mengangguk laju.
"Hati-hati bawa kereta tan sri. Akak... bertahan kak. Ya Allah..." Air mata Huda turun ke pipi. Dia benar-benar takut melihat keadaan Marini. Dia dah agak pasti ada yang tak kena dengan Marini apabila melihat kemerosotan kesihatan Marini akhir-akhir ini.
Ya Allah... walau apapun yang terjadi. Kau lindungilah wanita yang penyayang itu.
Huda berdoa syahdu melihat kereta Izhar yang sudah berlalu pergi.
YOU ARE READING
PERAWAT HATI TAN SRI IZHAR (Cetakan Ke2)
Romance🧡 PERAWAT HATI TAN SRI IZHAR 🧡 Takdir menemukan Huda yang tidak berdaya dengan pasangan suami isteri, Tan Sri Izhar dan Puan Sri Marini yang berjiwa murni. Tiada arah untuk dituju, Huda menerima pelawaan Marini untuk menjadi pembantu rumah di ked...