BAB 2 - Terima kasih

895 49 3
                                    

KEPALA Huda terasa berat. Lemah tangan naik memicit kepala. Apa yang sedang berlaku ini? Berputar minda Huda cuba mencerna. Capai kewarasannya, dia bangkit mendadak.

"Naira?" Wajah Huda sudah bertukar pucat. Mana Naira? Mana anaknya?

"Naira! Naira! Mana Naira?" Menggelabah Huda mencari anaknya.

"Ehem!" Huda tersentak apabila seorang lelaki berdeham sambil berpeluk tubuh di kerusi pelawat.

Berkerut dahi Huda mencerun lelaki itu.

"Awak ni siapa?" Soal Huda kehairanan.

Orang suruhan ibu mentua dia ke? Mama suruh orang ambil anak dia ke? Tak! Mama tak boleh ambil anak dia!

"Mana anak aku?" Garang Huda menyoal lagi. Biarpun lemah, lututnya di turunkan dari atas katil. Dia cuba berdiri. Dia mahu cari Naira!

Pandangan Huda menjadi kelam akibat berdiri secara tiba-tiba. Lantas lengannya dipaut seseorang. Huda didudukkan semula ke katil.

"Aku nak anak aku..." Lemah Huda bersuara. Huda gerakkan lengannya. Walaupun siapa lelaki itu, dia tak patut pegang Huda.

Tapi, lelaki yang masih memegang lengannya itu cuma diam tidak bersuara. Masih kejap mencengkam lengannya.

"Olololo... Comelnya dia. Kita jumpa ibu ya..." Suara seorang perempuan menerpa ke halwa telinga Huda. Spontan Huda mengangkat muka. Sekali lagi dahinya berkerut tatkala melihat wajah asing yang masuk ke dalam kamar itu.

"Eh, baba. Kenapa ni?" Wanita itu menyoal hairan. Mungkin pelik melihat keadaan mereka.

Lengan Huda terasa longgar. Lelaki di sebelahnya telah melepaskan pegangan.

"Dia cari anak dia. Tapi tak sedar diri badan tu masih lemah." Suara garau itu memberitahu dengan nada dingin.

Huda menoleh ke arah empunya suara. Baru dengar suara. Tadi bukan main diam tak membalas soalannya.

"Baba ni!" Wanita itu mendekat dengan bayi di dalam dukungannya. Matanya terjegil seorang menegur si lelaki.

"Baby ada aje ni dengan akak. Akak bawak keluar kejap. Tadi dia merengek. Maaf ya... Akak tak tahu awak dah sedar." Bayi kecil di dalam dukungan wanita itu berpindah ke tangan Huda.

Lekas Huda memeluk erat bayi kecilnya. Terus cerah wajah Huda.

"Anak bonda.." Bertalu-talu Huda lepaskan kucupan ke pipi montel bayinya.

"Huda okey?" Wanita itu menyoal lembut. Telapak tangannya menyentuh bahu Huda.

Terangkat kepala Huda. Berkerut dahi apabila wanita itu menyebut namanya.

"Maaf, akak terpaksa ambil IC Huda masa nak daftar tadi. Tapi Huda jangan risau, semua kos rawatan suami akak dah bayarkan. By the way. Nama akak, Marini." Marini hulurkan tangan memperkenalkan diri. Bibir membentuk senyum manis buat wanita muda yang sedang keliru itu. Dia sempat melihat nama di kad pengenalan Huda. Sebab itu, dia boleh tahu nama Huda.

Huda meletak Naira ke dalam baby cot. Teragak-agak dia menyambut huluran tangan wanita berkulit cerah dan penuh aura kelembutan itu.

Sebagai mana orangnya, begitu juga lembutnya telapak tangan Marini. Tak seperti telapak Huda, keras dan kematu angkara banyak buat kerja berat sedari kecil.

"Terima kasih." Perlahan Huda menjawab.

Huda turunkan tangannya usai menyambut salam Marini tadi. Langsung dibawa ke bawah baju pesakit yang di pakainya.

Segan pula apabila mindanya kembali menangkap siapa gerangan mereka berdua itu. Salah dia yang berfikir yang tidak-tidak. Sedangkan mereka yang membantunya.

"Tak apalah. Huda rehat dulu. Abang dengan kakak tunggu kat luar. Baby nak susu agaknya tu." Marini tepuk perlahan bahu Huda.

"Jom ba.." Melihat Huda cuma menunduk segan, Huda menarik tangan suaminya supaya keluar dari bilik. Dia tahu yang Huda pastinya mahukan ruang peribadi untuk menyusu bayi.

IZHAR hela nafas. Tengah batang hidungnya ditekan perlahan. Badannya sudah terasa letih dan melekit. Dari tadi kehulur kehilir menguruskan wanita asing yang mereka selamatkan itu.

Tapi mengenangkan si isteri yang terlampau baik hati. Dia ikutkan saja kehendak wanita itu yang mahu menemankan perempuan yang baru dibantu mereka tadi.

"Baba penat ye? Baba baliklah rehat. Biar mama jagakan Huda." Marini usap lengan suaminya itu dengan lembut. Dia tahu Izhar terpaksa membantu. Tapi dia yakin jauh disudut si suami. Pastinya bersimpati juga pada wanita muda yang mereka bantu itu.

Izhar berpaling pada si isteri. Makin kuat nafasnya terhela. Payah betul punya isteri yang punya sifat empati yang tinggi. Entah itu satu kelebihan atau juga kekurangan.

"Perlu ke sampai macam tu Mar? Kesian kat Ir. Dia tunggu mama dia dari tadi." Izhar ingatkan Marini tentang anak mereka di rumah. Penat berkejar hantar entah perempuan mana itu ke hospital. Dia terpaksa bergegas pula hantar anak mereka, Irmal ke rumah dan kembali semula ke hospital. Ini Marini siap nak temankan wanita itu pula.

Marini gigit bibir bawah.

"Pihak hospital dah cuba cari informasi keluarga dia tapi tak dapat. Tunggu dia sedar dulu." Marini jelaskan pada Izhar. Sungguh dia kasihan pada Huda. Orangnya masih nampak muda dan remaja. Apatah lagi dengan bayi sekecil itu. Dia tak tega biar Huda terkontang-kanting sebegitu.

"Good. Dia dah sedar kan? Boleh kita balik? Baba penat ni ma...." Izhar harap Marini fahamlah tentang dia yang sedang letih ini. Mereka baru saja balik dari percutian satu malam di pinggir kota.

Dalam perjalanan balik, terjumpa pula wanita muda tadi.

"Ya. Mama tahu baba penat sebab tu mama suruh baba balik berehat. Pasal Irmal, baba janganlah risau. Kan ada Mak Siah tolong jagakan." Marini raih lengan suaminya dengan manja. Dia tahu akhirnya Izhar akan ikut cakap dia juga.

Izhar hembus nafas sedikit keras sebelum menarik hidung comel Marini dengan lembut. Geram dengan sikap degil si isteri. Dia memang tak boleh bangkang.

"Yalah! Nanti nak balik call baba. Baba datang ambil mama." Akhirnya mengalah juga Izhar dengan isterinya itu.

Marini tersenyum lebar.

"Iya.. Lepas waris Huda datang. Mama call baba ye. Bawa kereta hati-hati." Sempat lagi Marini berpesan sebelum menarik tangan Izhar dan mengucup lembut kekura tangan lelaki itu.

Izhar hanya mengangguk. 

PERAWAT HATI TAN SRI IZHAR (Cetakan Ke2)Where stories live. Discover now