BAB 4

780 42 1
                                    


MAK SIAH membantu Huda mengemas katil bayi yang majikannya sempat sediakan buat bayi kecil Huda itu. Anak matanya melirik pada Huda yang sedang menyusukan bayinya.

Selesai mengemas serba sedikit, Mak Siah melabuh duduk di sisi Huda yang baru saja sudah menyusukan Naira.

"Berapa bulan?" Soal Mak Siah memulakan perbualan. Dia nampak Huda masih kelihatan canggung dengannya. Tak banyak cakap. Kalau dia tak menyoal. Huda pun diam saja.

Pipi si kecil Naira dicuit dengan hujung jari telunjuk. Comel... tapi apa agaknya yang berlaku pada Huda sampai tak ada arah tuju.

"Nak masuk 3 bulan dah." Bibir Huda mencarik senyum nipis. Perlahan dia bangkit berdiri dan meletakkan Naira di dalam babycot. Bayi itu sudah lena pulas.

Huda tunduk mengucup pipi Naira. Maafkan bonda sayang... terpaksa lalui semua ini dengan bonda. Melihat wajah comel dan mulus itu Huda tersenyum nipis. Mujurlah Naira baik-baik saja biarpun mereka sempat berhujan sebelum ini. Anak bonda memang kuat. Terima kasih sayang...

"Maknanya Huda baru sangat lepas pantang ni... patutlah tumpah darah. Dah berurut?" Mak Siah pandang belakang tubuh Huda yang kurus. Nampak masih lemah pada pengamatan mata tuanya.

Huda mengalih pandang pada Mak Siah dan duduk semula di birai katil. Dia menggeleng kecil. Nak berurut apanya, sedangkan masa pantangnya juga sendirian.

"Ya Allah.. kamu kena berurut. Baru badan kamu pulih macam biasa. Nanti Mak Siah panggil tukang urut ya." Mak Siah sentuh kekura tangan Huda dan menepuknya perlahan.

"Tapi Mak Siah... Huda tak ada duit nak bayar tukang urut." Huda gigit bibir bawahnya. Segan nak mengaku mulanya. Tapi memang betul dia mana ada duit nak bayar upah mengurut.

"Ish, tak payah fikir nak bayar macam mana. Mak Siah dulukan duit Mak Siah. Kamu rehat dulu sekarang ni.. esok Mak Siah tanya."

"Tapi.."

"Jangan tapi-tapi. Mak Siah pernah beranak. Mak Siah tahu sakitnya badan tu macam mana. Mak Siah keluar dulu, nak siapkan makan malam. Kamu tidurlah sementara anak kamu tidur." Mak Siah bangkit berdiri dan menepuk lembut bahu Huda.

Mak Siah tahu bagaimana lemahnya badan bila tak berurut selepas bersalin. Tapi itulah kadang-kala budak muda sekarang tak fikir semua itu. Mereka fikir tubuh mereka sihat. Tapi kedepan hari nanti mereka tak tahu kesannya tak menjaga pantang dengan baik.

"Huda tolong ya?" Huda berura-ura untuk bangkit menolong Mak Siah. Seganlah dia nak berehat-rehat.

"Eh... tak payah. Rehat dulu, nanti puan sri marah Mak Siah pula. Dah-dah. Jangan banyak fikir. Pulihkan badan kamu dulu baru tolong Mak Siah." Mak Siah menahan Huda dari mengikutnya. Puan Sri Marini ada pesan pada dia biarkan Huda pulih sepenuhnya dulu, barulah ibu muda itu mula bekerja. Tak mahulah Mak Siah memandai-mandai.

Mak Siah mengerdip mata pada Huda dan berlalu keluar dari bilik.

Huda melabuh duduk semula setelah bayang Mak Siah sudah tidak kelihatan. Pandangannya mengitari ruang bilik yang disediakan untuk dia dan juga Naira itu

Menghela nafas, Huda meraup muka. Kuatkan hati kau Huda. Jangan fikir masa lalu lagi. Kau kena kuat untuk anak kau. Huda beri semangat pada diri sendiri. Tuhan hadirkan orang-orang baik untuk dia. Jadi, dia takkan sia-siakan peluang yang Allah beri ini.

SUASANA DI meja makan terasa canggung. Huda rasa macam mimpi. Tiba-tiba saja dia berada bersama sebuah keluarga asing.

"Tak kena selera Huda ke masakan Mak Siah ni? Huda nak makan apa?" Marini menegur ibu muda itu. Dari tadi Huda cuma menguis makanan.

Huda angkat muka.

"Eh.. sedap kak. Pandai Mak Siah masak." Laju dia menjawab. Memang masakan Mak Siah sedap. Cuma dia yang tak ada selera.

"Habis tu, kenapa tak makan? Jangan malu-malu. Huda kena makan, kena sihat sebab nak jaga baby." Marini menyedok sayur sawi dari dalam piring kuah dan meletakkan ke dalam pinggan Huda.

"Sayur sawi ni baik untuk ibu yang baru melahirkan anak. Baik untuk pelawasan jugak tau." Marini tahu Huda pastinya tak mendapat penjagaan yang baik sebelum ini. Tengok sajalah wajah pucat dan lesu Huda. Tubuh Huda pun kurus sahaja. Entah bagaimanalah pemakanan Huda selama ini.

Huda tersenyum pahit.

"Terima kasih kak." Terasa perit tekak Huda menahan sebak. Ini pertama kali ada orang asing yang mengambil berat tentang dirinya.

Huda anak yatim piatu. Ibu bapa Huda sudah meninggal dunia sejak Huda kecil lagi. Huda tinggal dengan nenek selepas itu. Tapi tuhan ambil juga nyawa nenek di saat dia baru saja tamat SPM. Masa itulah, Faiz ajak dia bernikah biarpun usia mereka masih muda.

Tapi pernikahan mereka ditentang hebat. Faiz dibuang keluarga kerana dia. Kalau difikirkan balik ibu bapa manalah yang suka anak lelaki mereka memilih perempuan seperti Huda untuk dijadikan isteri. Tambah lagi Faiz juga masih remaja seperti dia.

Namun begitu, dia sempat merasa bahagia dengan Faiz sebelum Faiz mula berubah. Ternyata bernikah di usia muda dengan kewangan yang belum kukuh buat hubungan mereka sering berantakan. Faiz mula tunjuk rasa kesalnya yang meninggalkan kemewahan demi Huda.

Faiz mula balik ke rumah mamanya. Malah sedikit demi sedikit Faiz mula percayakan hasutan mamanya itu. Faiz tuduh Huda ada lelaki lain. Malah, Faiz tak mengaku bayi dalam kandungannya waktu itu anak Faiz.

Hinggalah Faiz terlibat dalam kemalangan jalan raya bersama abangnya. Kemalangan itu meragut nyawa Faiz dan meninggalkan Huda terkontang-kanting dengan anak kecil mereka. Huda tebalkan muka minta bantuan ibu mentuanya. Huda sudah sehabis daya apabila dia dihalau dari rumah sewa.

Tapi, malang nasib Huda. Sedangkan Faiz masih hidup pun ibu mentuanya itu tak mengaku dia sebagai menantu. Inikan pula bila Faiz sudah tiada. Apatah lagi, bagi ibu mentuanya Huda punca Faiz dan abang iparnya kemalangan. Mereka ketika itu dalam perjalanan mencarinya di rumah sewa. Itu apa yang Huda dengar dari mulut pembantu rumah ibu mentuanya.

"Baba dah habis makan?" Suara Marini membawa Huda kembali ke dunia nyata.

Huda mengerling suami Marini. Lelaki itu tak banyak cakap. Tak seperti Marini yang begitu ramah. Sangat kontra perwatakan suami isteri itu.

"Hurm... " Lelaki itu bangkit berdiri dan menuju ke sinki.

"Suami akak tu memang tak banyak cakap. Tapi dia baik. Dia yang susah payah angkat Huda tau." Marini mengoyak senyum. Seolah tahu apa yang ada dalam benak Huda saat ini.

Huda membalas senyum Marini dengan nipis. Ya, dia tahu lelaki itulah yang menolongnya tempohari. Sampai sekarang Huda masih teringat deru nafas mengah lelaki itu waktu mengendongnya. Untung pasangan itu. Mereka nampak saling melengkapi...

PERAWAT HATI TAN SRI IZHAR (Cetakan Ke2)Where stories live. Discover now