BAB 6

1K 59 3
                                    

SAMPAI hati Marini merahsiakan hal sebesar ini dari pengetahuan mereka. Dalam wajah ceria majikan yang sudah dianggap seperti kakaknya itu, Marini sebenarnya menanggung sakit sendiri.

Wajah lemah Marini, Huda tatap dengan sayu. Sedari tadi air matanya tak berhenti mengalir.

"Akak minta sesuatu dari Huda boleh?" Wanita itu menggenggam tangannya erat.

Huda mengangguk dalam tangisnya. Kenapa semua ini harus dilalui wanita itu? Wanita yang mengutipnya ketika dia dihumban bagai sampah ditepi jalan dahulu. Wanita yang memberinya satu kehidupan baru.

Allahu... Dia tak sanggup kehilangan wanita ini. Huda kucup tangan lemah itu berkali-kali. Tolong Ya Allah... Tolong jangan ambil orang yang aku sayangi lagi.

"Huda sanggup buat apa saja untuk akak.. Tolonglah bertahan akak. Kuat demi baby.. demi Ir. Demi tan sri.." Huda mendepa tangan memeluk tubuh yang terbaring lemah itu pula. Sesungguhnya dia tak kuat melihat keadaan wanita ini begini. Dia mahu Marini terus sihat dan ceria seperti selalu.

"Huda tolong jaga Irmal dan baby nanti ya. Kalau akak pergi, Huda susukan dia ya? Jaga mereka, sayang mereka macam Huda sayang Naira. Akak harap sangat... Boleh ya dik?" Tangan lemah itu naik menyapu air mata Huda. Huda tergamam. Kepala digeleng berkali-kali. Dia tak sanggup dengar permintaan sebegitu dari bibir pucat itu.

"Tak. Akak akan sihat. Akak akan selamat. Irmal dan baby perlukan akak. Bukan Huda..." Huda sudah mula mengongoi kuat. Tak mampu lagi menahan rasa sebaknya. Ya Allah.. Janganlah terjadi apa-apa pada majikannya itu dalam proses kelahiran bayi keduanya. Huda takut memikirkan sebarang kemungkinan yang bakal berlaku.

"Janji dengan akak Huda.. Tolonglah.. Janji dengan akak..." Ada air jernih yang mula turun dipinggir mata wanita itu. Luluh hati Huda melihatnya.

Huda angguk juga akhirnya. Sekali lagi, dia merangkul tubuh lemah itu dan menghambur tangis.

Tanpa Huda sedar. Ada mata yang memerhati pilu mereka berdua yang sedang berpelukan dari muka pintu.

Izhar pejamkan matanya seketika. Mengapa semua ini berlaku pada mereka? Tak mungkin dia mampu hidup tanpa suri hatinya. Ya Allah.. Jangan kau ambil nyawa isteriku.. Perlahan jatuh air mata lelakinya dari kelopak mata. Sesungguhnya dia tidak berdaya dan lemah.

"Kandungan isteri tan sri berisiko tinggi. Kita akan cuba menyelamatkan keduanya. Banyakkan berdoa."

Terngiang-ngiang suara doktor yang mengabarkan berita buruk itu.

'Ma.. kenapa awak rahsiakan sakit awak dari baba, ma? Kenapa mama buat keputusan begini? Ma tak kasihan ke pada baba dan Irmal?'

Sakitnya dada Izhar menelan kenyataan ini. Marini isteri kesayangannya. Marini pelengkap hidupnya. Teganya Marini merahsiakan tentang penyakitnya dari dia. Lemah Izhar menyandar ke dinding. Marini menghidap penyakit kanser hati tahap akhir dan kata doktor Marini menolak rawatan kerana bimbangkan bayi dalam kandungannya.

"Baba? Ayuu otey?" Ada tangan kecil yang mengoncang hujung jarinya. Menyoal polos dengan pelatnya. Cepat Izhar menyeka air mata. Lupa yang si kecil ada bersamanya.

"Baba okey son. Jom kita masuk jumpa mama ya." Izhar angkat anak sulungnya itu ke dukungan. Baru berusia 3 tahun tapi bijak sekali menegurnya. Seolah tahu yang babanya sedang kecewa dan sedih.

Izhar sedut nafas dalam-dalam. Mengumpul kekuatannya kembali. Dia tak mahu Marini nampak sisinya yang lemah. Dia mahu Marini tahu yang suaminya ini seorang yang kuat.

"Mama! Onde!" Ceria suara kecil milik Irmal menyapa apabila melihat ibunya dan juga pengasuhnya berada dalam bilik yang sama.

Huda cepat tegakkan tubuhnya apabila mendengar suara halus milik anak majikannya itu. Air mata di kesat laju dengan hujung baju t-shirt lengan panjangnya.

"Anak mama.. " Marini menyambut lemah Irmal yang mencelapak disisinya diatas katil pesakit itu.

"Lambat sampai?" Tanya Marini dengan senyum manis buat Izhar. Tangan suaminya itu dicapai perlahan. Mengucup lama seolah itulah kali terakhir dia lakukan semua itu.

Izhar menahan sebak. Perlahan bibirnya jatuh pada ubun-ubun isterinya.

"Baba bawa Irmal ke tandas dulu tadi," balas Izhar perlahan. Pipi Marini diusap lembut sebaik mengambil duduk di kerusi. Merenung sayu wajah lesu isterinya itu.

'Berapa lama awak menanggung semua ini sayang? Kenapa saya langsung tak perasan?' Ingin Izhar bertanya semua itu. Tapi sayang, semuanya dikulum dalam hati. Dia tahu Marini bagaimana. Marini seorang yang ceria. Tak pernah sekalipun wanita itu merungut apa-apa. Ah! Marini isteri paling sempurna.

Huda berpaling ke sisi. Dia tak sanggup melihat dua jiwa yang sedang dalam kesakitan itu. Dia pernah merasa kehilangan. Dia tahu sakitnya bagaimana.

"Baba tak bagi Irmal pakai pampers terbalik lagi kan?" Usik Marini dengan tawa lemah.

Izhar menggeleng kecil dengan senyum nipis. Pastilah Marini maksudkan tentang dia yang kekok menguruskan anak. Pernah dulu dia cuba membantu Marini. Sudahnya, dia salah pakaikan lampin pakai buang Irmal.

"Baba kena belajar urus Irmal. Mak Siah dan Huda mesti sibuk dengan Naira dan baby nanti..." Lembut Marini memberi pesan sambil mencium kepala Irmal yang sedang memeluk erat.

Kata pesanan Marini itu makin membuat hati Izhar parah berdarah. Marini bercakap seolah yakin yang dia akan pergi meninggalkan mereka.

"Mama ajarkan baba nanti ya?" Serak suara Izhar melayan sembang Marini.

"Ish! Mana boleh. Baba belajarlah dari Huda nanti. Baba kena tolong Huda tau. Kesian Huda, nak jaga Naira dan baby lagi."

Izhar sudah tidak mampu menahan perasaan. Kepalanya ditundukkan ke bawah. Menggenggam erat tangan sejuk isterinya.

Huda yang mengerti, mendekati mereka.

Irmal diambil dari dalam pelukan Marini. Dia mahu memberi peluang untuk pasangan suami isteri itu meluahkan isi hati mereka. 

"Kita pergi makan aiskrim ya sayang?" Huda peluk erat Irmal yang sekarang berada dalam dukungannya.

Izhar hela nafas. Hidungnya yang mula berair dikesat dengan hujung jari.

Mengangkat muka, Izhar memandang ke arah Huda.

"Mak Siah ada bawakan bekal untuk awak. Pergi makan kat kantin. Malam ni, biar saya yang jaga Marini. Awak bawa balik Irmal nanti. Naira pun dah tercari-cari awak."

"Baik tan sri."

Huda mengangguk mendengar arahan lelaki itu.

Menghilangnya Huda dan Irmal dari sebalik pintu. Izhar bangkit berdiri sebelum naik ke atas katil. Kepalanya diletakkan di celah lengan isterinya itu.

Perut besar Marini dipeluk erat.

"Anak baba sihat kat dalam tu?" Soalnya perlahan.

"Anak baba kuat. Baba jangan risau ya.." Marini cium lembut kepala suaminya itu. Dia tahu Izhar bersedih. Dia tahu Izhar memendam perasaan. Maafkan Mar, abang..

Air mata Izhar kembali mengalir. Wajahnya di sembam ke dada Marini.

"Please.. please don't leave me.." Tersedu sedan Izhar menghambur tangisannya.

Marini hanya membiarkan lelaki itu melepaskan kesedihannya dengan hati yang ikut sendat dengan rasa sebak dan akhirnya mereka saling menangisi membayangkan apa jua yang bakal terjadi.

++++++

Saya up bab penuh sampai takat ni je ye. Lepas ni saya bagi teaser2 dari bab-bab seterusnya saja okeh. 

Terima kasih yang baca, vote dan komen. 

PERAWAT HATI TAN SRI IZHAR (Cetakan Ke2)Where stories live. Discover now