Ketika Teja sampai di pekarangan rumah Wafi, jam sudah menunjukkan pukul 8:00 malam. Janji pukul 7:00 tapi nampaknya dia terlewat lagi. Dengan bungkusan plastik di tangan, menonong Teja masuk ke rumah selepas memberi salam.
"Cik su!" Jeritan anak sulung Wafi, Firasy, memecahkan gegendang telinganya.
Hadiah di tangannya terus ditarik Firasy yang berusia lima tahun. Teja jegilkan matanya seraya melutut di atas lantai.
"Haip! Salam cik su dulu, peluk cium banyak-banyak, baru cik su bagi hadiah hari lahir Firasy!" Pegangan tangannya dikuatkan, tidak mahu kalah dengan Firasy.
Wafi yang ke ruang tamu mendengar suara Firasy cuma ketawa kecil. Teja ni, dengan budak kecik pun tak nak kalah!
Dengan hati yang berat dan tidak rela, Firasy akur. Diciumi pipi dan wajah Teja bertalu-talu tanpa rasa ikhlas. Teja tersengih lebar.
"Nah, ni hadiah Firasy. Selamat hari lahir yang ke lima!" Satu beg plastik di tangannya bertukar tangan. Firasy terus berlari untuk membuka hadiahnya tanpa mempedulikan Teja lagi.
Teja berdiri kembali dengan wajah tak puas hati.
"Bertuah punya budak!" Omelnya geram.
Wafi ketawa.
"Hah padan muka. Ajar lagi budak tu kebendaan. Memang itulah yang dia belajar." Tegur Wafi seraya melihat wajah bengang Teja.
Wafi ambil beg plastik lain dari tangan Teja. Selepas tangannya kosong, barulah Teja menyalami Wafi.
"Mana ibu?"
"Tengah makan. Pergilah. Kak Nawal tengah susukan Farah sambil teman ibu," beritahu Wafi.
Teja terus atur langkah ke ruang dapur, diikuti Wafi di belakangnya.
Teja tarik kerusi di sebelah Dayana yang sedang makan. Dia mengucup dahi Dayana sekali lalu sebelum duduk.
"Hah, lambat sampai. Jom, makan dengan ibu. Kak Nawal masak ketam ni."
Kecur liur Teja melihat lauk di depan mata. Nawal tersenyum melihat adik iparnya itu yang ternyata sedang kelaparan. Selepas mereka bersalaman, Nawal mempelawa Teja makan sebelum meminta diri ke dalam bilik untuk menidurkan anak bongsu mereka yang baru berumur 4 bulan.
Teja, Wafi dan Dayana duduk di meja sambil menikmati masakan Nawal yang benar-benar membuka selera.
"Adik kerja macam mana? Okey?" Tanya Wafi sekali lalu.
Teja angguk saja tanpa suara. Ada perkara lain yang bermain di mindanya. Suapannya terus perlahan.
"Ibu..." panggil Teja perlahan.
Wafi dan Dayana sama-sama berhenti menyuap, memusatkan pandangan mereka kepada Teja yang kini cuma bermain dengan nasi dalam pinggan.
"Apa? Lain macam bunyinya tu?" Tegur Dayana dengan rasa hairan.
Sejak mula berdikari dan tinggal sendiri di rumah tinggalan arwah, mereka cuma bertemu bila Teja punya masa terluang saja. Kerja sepertinya yang lebih banyak mengikut masa klien dan projek pada masa itu, memang agak sukar untuk Teja mencari masa untuk bertemu, lebih-lebih lagi bila dia memulakan syarikat sendiri dengan May.
Dayana yang sudah pencen pula kini tinggal bersama Wafi. Semuanya gara-gara Teja mahu berpindah keluar selepas membeli sebuah apartmen dengan hasil titik peluhnya sendiri. Wafi bertegas supaya Teja sewakan saja apartmen itu, dan biar Dayana yang tinggal bersamanya. Sekurang-kurangnya, Dayana tak kesunyian. Teja terpaksa menurut. Lagipun, rumah keluarga mereka memang sayang mahu disewakan. Wafi berjanji untuk benarkan Teja keluar dari rumah itu bila dia sudah berkahwin.

YOU ARE READING
Tuah Kasihnya Teja
RomanceKOTA Singa menjadi saksi pertemuan pertama dua insan yang bagaikan langit dan bumi. Tuah yang sudah biasa menyendiri sejak kecil menyulam rasa tidak senang apabila hidupnya dicerobohi Teja, gadis tekad dalam segala hal dan becok tak kisah orang suka...