KOTA Singa menjadi saksi pertemuan pertama dua insan yang bagaikan langit dan bumi. Tuah yang sudah biasa menyendiri sejak kecil menyulam rasa tidak senang apabila hidupnya dicerobohi Teja, gadis tekad dalam segala hal dan becok tak kisah orang suka...
Oops! This image does not follow our content guidelines. To continue publishing, please remove it or upload a different image.
Bagi tujuan promosi, saya akan bagi bab lompat2 ya selepas 12 bab awal. ;)
********
"Bila kau balik?" Tanya Dhan dengan suara yang serak. Rokok yang terkepit di jari dibawa ke mulut dan dihisap dalam-dalam. Sekali dia menghembus, hampir mahu sesak nafas Tuah yang berada betul-betul di depannya.
Tuah pejamkan matanya sesaat, cuba menahan pedih asap yang ditala ke mukanya.
"Beberapa bulan lepas."
Dhan diam saja. Rokok di tangan yang baru separuh terbakar terus dipenyetkan ke dalam bekas habuk rokok di atas meja antara mereka.
Tuah gosok-gosok kedua tangannya perlahan. Buntu. Soalan apa lagi mahu ditanyanya? Dia bukan pernah 'berkasih-sayang' dengan lelaki bergelar ayah di depannya ini.
"Jack cakap, kau buka kedai di pasar seni." Mata mereka bertentang.
Tuah angguk.
"Galeri. Galeri lukisan." Dibetulkan bicara Dhan.
Dhan pandang ke luar balkoni. Diam lagi. Dihela nafas dalam sebelum dilepaskannya.
Tuah pandang sekeliling. Entah kenapa, rumah ini terasa lain macam selepas 10 tahun dia tidak jejakkan kaki ke sini.
"Mana... orang lain? Aku nampak Jack je?" Tanya Tuah berbasa-basi.
Dhan kerling wajahnya sekali lalu sebelum dia menggaru lehernya yang bertatu. Dengan pandangan malas, dia melirik wajah Tuah lagi.
"Jack tak cakap? Dia kapak semua."
Tuah terkedu mendengar jawapan itu.
Apa maksud Dhan?
Satu persoalan besar terbentuk dalam mindanya, tapi Tuah tak sanggup meluahkannya. Sesaat itu, dia seolah-olah terlihat riak sesal terpamer di wajah Dhan, walaupun sekejap cuma.
"Jack memang dah buktikan dia mampu kendalikan bisnes ni." Tiba-tiba Dhan menambah lagi.
Tuah masih menumpukan sepenuh perhatiannya kepada Dhan yang kini seperti sedang berfikir dalam, termenung jauh.
Kini lebih banyak persoalan yang timbul, tetapi Tuah masih tak berani melontarkannya. Akalnya menegah. Lebih banyak dia tahu, lebih tak tenang hidupnya nanti. Atas prinsip itulah, dia memilih untuk menjalani hidupnya sendiri sementelah Dhan tidak memaksanya juga untuk menyertai gengnya.
"Aku rasa aku pun dah tak lama dekat sini." Dhan tidak terus menyambut ayatnya.
Diambil sebatang rokok, dicucuh apinya sebelum dihisapnya dalam-dalam. Dhan bangun, menuju ke balkoni. Diayun tangannya, masih dengan lagak malas, mengajak Tuah mengekorinya. Tuah akur tanpa suara. Mereka berdiri bersebelahan. Kala ini, Tuah lega apabil angin bertiup dari arahnya.