10 tahun kemudian...
Seorang lelaki tergesa-gesa keluar dari kedai serbanika 24 jam menuju ke keretanya. Dia terperanjat beruk apabila but keretanya dipenuhi dengan sampah sarap, mungkin dikutip dari tong sampah berdekatan yang tadinya melimpah-ruah isinya. Dia menyimpan dompet ke dalam poket seraya melingaskan matanya ke sekeliling, mencari-cari siapa pelaku kepada perbuatan yang sungguh kurang adab itu.
"Cari saya?" Seorang gadis berambut pendek muncul dari dalam sebuah kereta Toyota Vios di belakangnya. Terpempan seketika dia melihat gadis yang berblaus jalur warna-warni dan berseluar putih itu. Wedges setinggi 5 inci melengkapkan lagi penampilannya.
Lelaki itu menjegilkan matanya ke arah gadis itu yang tidak langsung mempamerkan riak gentar.
"Kau buat semua ni?" Tanyanya garang, mahu menggertak gadis itu.
Gadis itu memeluk tubuh sambil mengatur langkah ke arahnya.
"Kenapa? Siapa yang salah sebenarnya? Saya tunggu awak dalam kereta ni, dekat 15 minit tau. Awak dah halang kereta saya. Jadi, itulah balasannya," balas Teja dengan nada tenang.
Lelaki itu berhenti betul-betul dalam jarak lima langkah saja dari gadis itu. Wangian yang dipakai gadis itu membuatkan otaknya berhenti seketika.
Hairan! Perempuan ni tak takut langsung walaupun digertaknya. Teja angkat sebelah keningnya.
"Tunggu apa lagi? Saya tak nak buang masa lagi tunggu awak. Lain kali, kalau nak halang kereta orang dan pergi berejam-rejam, sila tinggalkan nombor di kereta. Jadi, sekarang saya dah balas perbuatan tak beradab awak dengan perbuatan tak beradab juga." Teja senyum segaris kepada lelaki itu, sinis.
"Biadab!" Marah lelaki itu, tetapi nadanya sedikit bergetar berbanding tadi.
Aura perempuan ni lain macam!
Tidak berkedip matanya memandang lelaki itu, mencabar tindakan lelaki itu seterusnya.
Seorang lelaki lain keluar dari tempat duduk dari sebelah pemandu kereta milik Teja. Dari tadi dia menunggu dalam kereta, berdebar pula dia bila Teja tidak masuk-masuk ke dalam kereta. Bukan dia risaukan keselamatan Teja, tapi lelaki yang sedang berhadapan dengan Teja sekarang ini!
May terus mendapatkan lelaki itu, menolaknya ke tepi sekali gus berdiri di tengah-tengah Teja dan lelaki asing itu. Dia menoleh ke arah lelaki itu yang melihatnya dengan penuh tanda tanya.
"Encik, encik, erm, maaflah. Kawan saya ni memang macam ni. Encik yang salah. Kami tunggu encik lama dah..." pujuk May dengan gaya lembutnya.
Lelaki itu menarik tangannya dari pegangan May. Jijik agaknya bila May yang sedikit lemah-lembut itu menyentuhnya. Yang perempuan rambut pendek, tapi yang lelaki rambut panjang macam perempuan! Dah terbalik ke dunia ni? Hish!
YOU ARE READING
Tuah Kasihnya Teja
RomansaKOTA Singa menjadi saksi pertemuan pertama dua insan yang bagaikan langit dan bumi. Tuah yang sudah biasa menyendiri sejak kecil menyulam rasa tidak senang apabila hidupnya dicerobohi Teja, gadis tekad dalam segala hal dan becok tak kisah orang suka...