Teja bersiul senang tatkala dia menghampir galeri milik Tuah. Set breakfast McD yang baru dibelinya masih panas lagi. Dia mahu berkongsi berita gembira dengan Tuah.
Sebaik saja dia masuk ke dalam galeri itu, tersentak Teja apabila seorang wanita dalam baya umurnya sedang bersembang rancak dengan Tuah di hadapan sebuah lukisan.
Tuah yang tidak menyedari kehadiran Teja mengangkat muka apabila bunyi sesuatu jatuh ke atas lantai menyapa telinganya.
Di depan pintu galeri, dua cawan air panas yang dibawa Teja tadi sudah jatuh ke lantai, membasahi celah jubin yang ada. Tuah sedikit tergamam dan kaget. Selepas hampir dua minggu Teja tidak muncul, dia tak sangka Teja akan datang ke sini seawal pagi begini.
"Erm, awak tunggu kejap ya. Saya tengokkan dia kejap." Tuah meminta diri dengan suara yang lunak.
Dia mendekati Teja yang cuma terpacak di pintu dengan mata mencerlung ke arahnya. Lengan Teja dipegang, membuatkan Teja menentang matanya.
"Apa awak buat ni? Basah lantai ni," tegur Tuah dengan nada berbisik.
Teja ketap giginya.
"Awak buat apa? Curang bila saya tak ada?"
Berkerut-kerut dahi Tuah.
"Eh, apa awak merepek ni? Kita tak ada apa-apa hubungan."
Prang! Tuah terpempan apabila pasu yang berada di sebelah Teja ditolak dan sekali gus menyembah lantai lalu terhempas. Selamba saja tangannya bergerak tanpa perubahan mimik wajahnya yang juga tiada langsung riak bersalah.
Genggaman lengannya semakin kuat dek kerana terkejut.
"Teja! Apa awak buat ni?" Marah Tuah.
Teja tarik senyum sinis sambil mengarahkan lirikan matanya ke arah pelanggan wanita di depannya. Wanita itu juga kelihatan terkejut dengan tindakan Teja yang tidak dijangka itu.
"Kau tak reti nak blah lagi?" Bahasa kasar yang keluar dari mulutnya membuatkan Tuah semakin kalut.
Bila dilepaskan pegangan tangannya, pelanggannya sudah kalut mahu keluar dari galeri itu. Kelam-kabut Tuah mengucapkan selamat jalan dan juga meminta maaf kepadanya bersilih ganti.
Sebaik saja cuma tinggal mereka berdua di situ, Tuah terus tutup pintu galerinya dan menguncinya. Dia pandang pasu yang pecah beserta lantai yang basah dan wajah Teja yang beku di situ silih berganti dengan keluhan berat. Tuah raup wajahnya, bingung.
Teja turut membisu. Cuma desah nafas mereka saja yang bersuara saat itu. Tuah cekak sebelah pinggangnya.
"Apa awak nak daripada saya sebenarnya? Beritahu sekarang." Tanya Tuah dengan nada mendatar.
Teja pandang wajah Tuah dengan pandangan menikam.
"Saya nak awak."
Mata mereka bertentang beberapa saat sebelum Tuah melarikan matanya.
Dia terus ke bahagian tengah galeri, membelakangkan Teja.
"Susah sangat ke awak nak faham? Saya tak nak awak!" Kali ini, suara Tuah meninggi.
Teja menghampiri Tuah dengan langkah garang.
"Bohong. Awak bohong. Kenapa susah sangat untuk awak nak terima kenyataan bahawa perasaan awak itu ada untuk saya, ha?" Tekan Teja.
Tuah pusingkan tubuhnya pantas kerana berang. Tak semena-mena tubuh mereka berhadapan dengan jarak cuma beberapa inci.
"Apa awak sibuk sangat dengan perasaan saya, hati saya? Saya tersalah cakap, hari tu. Get a life, Teja! Move on! Saya dah tolak awak 10 tahun lalu dan saya tetap akan tolak awak! Susah sangat ke awak nak faham?" Tengking Tuah tepat ke wajah Teja.
Teja tidak membalas, sebaliknya dia berpatah balik ke pintu masuk galeri. Dengan hati yang rawan, Tuah sangkakan Teja memang akan pergi. Malangnya, Teja cuma berdiri saja di pintu masuk galeri itu sambil memandang Tuah. Wajahnya sudah berubah mendung.
"I'll come again. Nanti awak boleh bagi bil kerugian awak." Tuah mengerutkan dahinya, tidak mengerti maksud bicara Teja.
Bila tangan Teja bergerak, barulah Tuah mengerti tapi sudah terlewat.
Prang! Satu lagi pasunya menyembah lantai. Teja mencampakkan makanan di tangannya ke atas lantai begitu sahaja sebelum melangkah keluar.
Pang! Bunyi pintu dihempas hampir membuatkan jantungnya gugur. Dia tahu Teja berang. Tuah pandang kedua pasunya yang sudah berderai, dan lantai galeri yang kotor.
Diraup wajahnya bersama rengusan keras dan kasar.
"Argh! Stres! Stres aku macam ni!" Kalau ini bukan galerinya, mahu juga dia mengamuk macam Teja. Haish!

YOU ARE READING
Tuah Kasihnya Teja
RomanceKOTA Singa menjadi saksi pertemuan pertama dua insan yang bagaikan langit dan bumi. Tuah yang sudah biasa menyendiri sejak kecil menyulam rasa tidak senang apabila hidupnya dicerobohi Teja, gadis tekad dalam segala hal dan becok tak kisah orang suka...