"Hey! Oh all the single ladies, all the single ladies. Put your hands up!"
Terkejut Tuah apabila bunyi bingit tiba-tiba menerpa telinganya. Dia kerling jam di tangan. Rambutnya yang berjuraian di wajah diselaknya ke tepi dengan kasar, berang kerana tidurnya diganggu. Baru pukul 9:00 pagi! Tuah selak langsirnya geram. Dilihatnya Teja sedang menari-nari senang sambil mengeringkan rambutnya yang pendek dengan tuala.
"Woi! Agak-agaklah! Aku nak tidur ni!" Marah Tuah tak bersimpan lagi.
Teja angkat sebelah tangannya pada Tuah diikuti senyum lebar.
"Good morning! Jom, pergi breakfast di pantry!" ajaknya terus.
Tuah duduk dengan rasa sebal. Dia menggosok kepalanya kasar, sekali gus mengusutkan rambutnya yang sememangnya sudah kusut. Dia pandang kembali gadis itu dengan riak meminta simpati.
"Kau tolong jangan kacau aku, boleh tak? Grrr!" Tuah terus tarik langsirnya kembali, dengan harapan gadis itu akan mengerti.
Teja cemikkan bibirnya, langsung tidak peduli. Lagu Single Ladies nyanyian Beyonce yang berkumandang dari speaker telefonnya terus dinyanyikan dengan sepenuh hati. Sebenarnya Teja gembira kerana semua orang sudah tiada. Tinggal mereka saja dalam bilik ini.
Jadi, bolehlah dia buat suka hatinya. Tuah? Ah pedulikan. Lagipun, dah pukul 9:00 pagi. Takkan tak reti-reti nak bangun kut?
Tuah tahan saja sakit telinganya, cuba untuk tidur kembali.
"Tuah, bangunlah... jomlah breakfast di pantry sebelah. Bukan selalu. Datang negara orang, ada ke patut tidur aje. Buang masa tahu!"
Bebelan Teja menambah lagi sakit hati dan sakit telinganya. Perempuan ni tak tahu malu ke? Dah aku kata tak nak, tak reti-reti nak mengalah? Apa pasal la aku jumpa perempuan gila macam ni? Hish! Menyesal!
Tuah batukan dirinya, biar Teja tahu dia benar-benar tak mahu diganggu. Dia mahukan tidur yang aman! Sudahlah semalam dia pulang pukul 1:00 pagi. Sengaja dia ambil angin bersendirian di Merlion Park selepas ruang pameran ditutup. Aman hidupnya tanpa bebelan si Teja.
"Awak... jomlah..." panggil Teja lagi.
Tuah bekukan dirinya.
"Awak..."
Tuah ketap giginya.
"Awak..."
"Huwarrngggg!" Jeritan keras Tuah buat Teja tersentak. Apabila Tuah menyelak langsirnya, Teja sudah kaku di depan katilnya, mendongak memandangnya dengan riak tak bersalah.
"Kau memang tak reti bahasa ke, hah? Kau tak reti diam? Aku nak tidur! Kau faham tak? Faham tak?" Tempiknya sekuat hati.
Teja lurut rambutnya perlahan dengan jari sambil menentang wajah Tuah.
YOU ARE READING
Tuah Kasihnya Teja
RomanceKOTA Singa menjadi saksi pertemuan pertama dua insan yang bagaikan langit dan bumi. Tuah yang sudah biasa menyendiri sejak kecil menyulam rasa tidak senang apabila hidupnya dicerobohi Teja, gadis tekad dalam segala hal dan becok tak kisah orang suka...