Tuah perhatikan burung yang bebas berterbangan di depannya. Nampaknya kali ini Teja benar-benar marah dengannya. Gadis itu terus menyepi sejak peristiwa beberapa hari lepas di sini. Dia melepaskan keluhan panjang.
Kalaulah dia bebas seperti burung-burung itu, alangkah bagusnya. Apalah guna bernyawa tetapi tidak hidup.
Pap! Bahunya ditepuk kuat tiba-tiba. Tuah terus membuka jurus silatnya lalu dikilas tangan yang berada di bahunya sekejap tadi ke belakang badan empunya tangan.
"Woi! Woi! Akulah! Aku! Jack!" Jerit Jack kesakitan.
Tuah merengus perlahan seraya melepaskan kilasan tangan Jack. Sudahlah kita tengah kecewa tertonggeng-tonggeng! Padan muka!
Jack mengaduh-aduh sakit sambil mencerlungkan matanya ke arah Tuah. Tuah kembali melayan menungannya, seolah-olah Jack tidak wujud di sisinya.
"Kau apasal? Emo je aku tengok," Tegur Jack selepas sakitnya berkurangan. Macam mana dia boleh lupa yang Tuah ni pantang disergah? Diam-diam Tuah, dia sudah khatam mempelajari ilmu silat sejak sekolah menengah lagi.
Kerana dia tahu Tuah mampu pertahankan diri sendiri, dia kerap culas dari tugasnya. Buat apa nak jaga orang yang reti jaga diri sendiri? Aku sendiri pun tak ada seni pertahankan diri. Gaduh ikut feel je.
"Kau nak apa ni? Lama tak nampak?" Soalan berbalas soalan.
Jack garu dahinya yang tak gatal.
"Saja je. Dah lama tak tengok kau. Kang kantoi dengan Dhan pula. Kau apa cer?" Tanya Jack berbasa-basi.
Tuah tidak menjawab, sebaliknya dia melepaskan keluhan pendek. Dia benar-benar tiada mood mahu berbual sekarang. Fikirannya penuh dengan wajah Teja, walaupun sudah puas dia menghalau wajah itu dari benaknya. Berapa banyak kanvas yang dipenuhi wajah Teja di rumahnya, usah dikatalah.
Jack berdeham perlahan.
"Wei, aku ada pelan." Tiba-tiba Jack berkata.
Tuah dengar tak dengar saja.
"Wei, kau dengar tak ni?"
"Hmm..." Tuah menggumam malas.
"Aku dah fikirkan apa kau cakap. Betul cakap kau. Aku tak ada langsung benda yang boleh dibanggakan dengan Dhan. So, aku dah buat pelan. Aku kenal seorang polis ni yang selalu kacau kerja Dhan. Aku dah tahu dia tinggal di mana. Aku nak pergi langgar rumah dia," ujar Jack penuh tekad.
Kali ini, dia berjaya memancing perhatian Tuah. Tuah menoleh ke arah Jack dengan dahi berkerut.
"Kau nak langgar rumah dia? Kau gila? Dhan tak suka kita cari pasal sembarangan. Kau jangan buat gila la. Kang kena tendang keluar geng, bukan dapat naik pangkat," tegah Tuah tak bersungguh.
Apa yang Jack buat, tak ada kaitan dengannya pun.
Jack sengih kambing.
"Eh, aku tahulah apa aku nak buat. Aku nak pergi tengok-tengok je rumah dia. Lagipun aku dah perhati rumah tu. Ada masanya rumah tu kosong. Sekarang mak dengan adik perempuan dia je yang ada di rumah tu," jelas Jack lagi.
Tuah tongkat kepalanya. Malas mahu mendengar lagi.
Jack lirik Tuah lagi.
"Wei, jom ikut aku."
Tuah toleh dengan wajah hairan.
"Kau gila ke? Sudahlah kau nak pergi langgar rumah orang tanpa pengetahuan Dhan. Ajak aku pulak. Dengan aku-aku sekali kena tendang keluar geng nanti! Tak nak ah!" Tolak Tuah keras.
"Alah. Kalau kau tak ikut aku pun, ada Dhan kisah apa kau buat? Hidup kau? Kau mati kejung dekat rumah tu pun, bukan dia tau!" Tingkah Jack, sama keras dengan nada Tuah, membuatkan Tuah terdiam.
Dia akui kebenaran kata-kata Jack. Dhan mana kisah dengannya pun. Melihat Tuah terdiam, Jack tahu umpannya mengena.
"Jomlah. Kita masuk tengok-tengok je. Kau tak pernah langgar rumah orang kan? Kita masuk dan keluar baik punya. Bukan aku nak merompak. Pergi mencuri apa yang patut je. Aku nak tengok rumah polis tu macam mana. Untung-untung dapat maklumat untuk Dhan. Boleh aku jual nama aku dekat dia," pujuk Jack lagi. Lagipun, dah lama dia tidak pecah masuk mana-mana.
Tuah taup kedua tangannya, berfikir sendiri. Sedikit demi sedikit, kata-kata Jack mula masuk ke dalam benaknya.
"Bila lagi kau nak tunjuk dekat Dhan yang kau pun boleh jadi macam dia? Kau anak dia, tapi dia tak pernah benarkan kau jadi macam dia. Alah, kau bukan jual dadah pun. Dalam hidup Dhan, pecah rumah orang tu dosa paling kecik la. Tak da hal pun kalau dia tau!" Jack menambah lagi.
Tuah terus-terusan diam.
"Bila kau nak masuk rumah tu?" Tanya Tuah akhirnya. Dia pun bosan. Apa salahnya? Boleh juga dia usaha lupakan Teja walaupun sekejap.
Jack tersenyum kemenangan.
"Malam esok."
l5NlJg6НJ/C
YOU ARE READING
Tuah Kasihnya Teja
RomanceKOTA Singa menjadi saksi pertemuan pertama dua insan yang bagaikan langit dan bumi. Tuah yang sudah biasa menyendiri sejak kecil menyulam rasa tidak senang apabila hidupnya dicerobohi Teja, gadis tekad dalam segala hal dan becok tak kisah orang suka...