Tuah sungguh tak faham macam mana orang boleh jadi pencuri! Menunggu Jack gergaji jeriji untuk buka pintu dapur begini saja pun, Tuah rasa macam nak terkencing-kencing!
Tuah melingaskan matanya ke sekeliling, bimbang ada yang melihat padahal memang tiada yang akan tahu mereka di situ kerana kedudukan dapur rumah itu agak terlindung. Lagipun, rumah ini memang senyap sunyi saja sekarang. Jiran-jiran pula sudah tidur agaknya. Gergaji Jack ni spesial juga. Tak berbunyi langsung. Macam mana la orang macam Jack tak susah nak pecah masuk rumah orang?
Prak! Sekejap saja, jeriji dan mangga sudah tercabut. Pintu sebelah dalam cuma bertombol biasa saja. Jack jolok dengan dawai sekejap saja, sudah terbuka. Tuah kelegaan.
"Dah boleh masuk ke?" Tanyanya berbisik. Jack tolak pintu itu, malangnya pintu itu tidak terbuka. Jack ketap giginya.
"Ada selak. Kejap." Jack sekali lagi menggunakan gergajinya. Selak itu lagi mudah untuk digergaji berbanding jeriji tadi.
Daun pintu ditolak dengan mudah. Tuah sekali lagi mengurut dada. Sudahlah gatal mukanya dengan topeng muka yang diberi Jack. Entah dari mana dia kutip. Nasib baik dia ikat rambutnya. Kalau tidak, mahu kelemasan dan kepanasan kepalanya.
Mereka terus masuk ke dalam bahagian dapur rumah yang asing buat mereka itu.
Tuah pandang Jack.
"Jadi, nak buat apa sekarang?" Tanyanya sedikit gelabah.
Jack tolak bahu Tuah perlahan.
"Wei, relaks. Kau pergilah tengok apa benda kau nak ambik. Aku nak pergi tingkat atas. Kau tengok bawah ni," arah Jack. Mereka berpisah haluan di depan tangga.
TEJA keluar dari tandas sambil mengelap mukanya dengan tuala muka di tangan. Gara-gara keretanya rosak, dia tak boleh ke rumah klien malam ini. Ibu pula masih belum pulang dari kelas mengajinya. Dia pula uzur dan diserang senggugut sejak petang tadi. Lepas makan malam, Teja terus tidur tak sedarkan diri.
Perut yang berkeroncong buatkan Teja tak jadi mahu sambung tidur bila sudah terbangun. Minum Milo panas secawan pun sedap ni.
Dia campakkan saja tuala kecil ke atas katil lalu menuju ke pintu. Sebaik saja pintu dibuka, dia terkejut apabila wajah seseorang yang bertopeng muncul di depannya. Dalam kalut, Teja terus menutup kembali pintu biliknya tetapi lelaki itu lebih pantas menahan.
Mereka bergelut di situ. Masing-masing menolak dan akhirnya Teja kalah juga. Dia tersungkur ke atas lantai, dan lelaki itu terus menariknya kasar supaya berdiri. Teja berpura-pura lemah, mengaduh perlahan sedangkan otaknya ligat memikirkan cara untuk melarikan diri atau menyorok bersama telefon bimbit di mana-mana, asalkan dapat dia menghantar pesanan kecemasan kepada Wafi.
"Wah, ada orang rupanya dalam rumah ni..."
Lelaki itu menyentuh wajahnya lembut. Teja sabarkan diri, cuba membiarkan lelaki itu leka walaupun dadanya ini berdebar kencang dek takut yang amat.
YOU ARE READING
Tuah Kasihnya Teja
RomanceKOTA Singa menjadi saksi pertemuan pertama dua insan yang bagaikan langit dan bumi. Tuah yang sudah biasa menyendiri sejak kecil menyulam rasa tidak senang apabila hidupnya dicerobohi Teja, gadis tekad dalam segala hal dan becok tak kisah orang suka...