Teja menggeliat kecil, meluruskan kakinya yang terasa lenguh. Dia melontarkan pandangan ke luar tingkap kapal terbang. Yay! Dia sudah sampai ke negara jiran, Singapura. Sudah lama Teja ingin backpacking ke luar negara bersendirian. Tapi, Wafi dan ibunya bising betul bila mengenangkan dia satu-satunya anak dara. Akhirnya, dia boleh merealisasikan impiannya! My wishlist!
Sebaik saja kapal terbang mendarat di Changi Airport, Teja terus membuka buku notanya yang menyimpan segala itinerary yang dirancangnya sejak di Malaysia lagi. Sekarang, ke hostel dulu.
Sambil beratur untuk menjalani pemeriksaan imigresen, sempat Teja mengambil beberapa keping gambar dengan kamera digital di tangannya.
"Sir, you have to remove your scarf and your sunglasses."
Teja pandang depan. Lelaki di hadapannya yang melilit mafla yang juga dipanggil scarf berwarna merah terang di leher dan berkaca mata hitam itu diliriknya dengan penuh rasa ingin tahu. Amboih. Macam pergi Korea padahal Singapura je. Teja menggeleng sambil mencebik. Atas arahan pegawai itu, lelaki itu terpaksa menanggalkan mafla dan kaca matanya. Sempat Teja mengerling sekali lalu.
Selepas itu, malas Teja mahu peduli lagi. Dia sambung kembali aktivitinya sebentar tadi, sambil membelek gambar yang baru diambilnya dengan kamera digital pemberian ibunya itu.
"Miss, please step forward." Pegawai imigresen yang tadinya menegur lelaki di depannya sudah memanggilnya.
Teja pamer sengih lalu menggantung kamera itu di lehernya, sama seperti telefonnya.
"Good morning," sapa Teja spontan.
Pasport dan pas kemasukannya diserahkan kepada pegawai wanita yang tidak senyum langsung padanya.
"Why are you here?" Soal pegawai itu.
Teja sengih lagi.
"Holiday."
"Where are you staying?"
"A hostel in Lavender Street," balasnya yakin.
Kenapa perlu takut kalau dia tidak salah? Lagipun, dia tahu Singapura merupakan negara yang berperaturan ketat. The Fine City yang bererti negara yang suka menyaman orang! Teja sudah buat kajian sebelum datang ke sini. Menurut satu blog yang dibacanya, Singapura merupakan antara negara yang selamat untuk diterokai bersendirian.
Antara sebabnya ialah, Singapura negara yang sangat kecil. Dari hujung ke hujung negara itu, cuma mengambil masa selama 45 minit saja dengan kereta. Atas sebab itu, pelaksanaan undang-undang lebih mudah. Antaranya, jika ada orang yang buang sampah merata-rata dan ditangkap oleh polis atau pegawai penguatkuasa, orang itu akan terus disaman! Atas sebab itulah, keychain kenang-kenangan dari Singapura pasti ada tagline itu, iaitu The Fine City, yang bererti Negara Saman. Dari situ, kesimpulannya, selamat untuk Teja berjalan di Singapura seorang diri.
Pegawai itu tidak bertanya apa-apa lagi. Dia terus menyerahkan kembali pasport Teja lalu memanggil orang seterusnya.
Teja maju ke langkah seterusnya. Baggage tak perlu ambil kerana dia bawa semua bersamanya. Tiada checked in baggage. Dengan bantuan pegawai di kaunter pertanyaan, Teja berjaya membeli tourist pass yang boleh digunakan bagi semua pengangkutan awam di Singapura, khas untuk pelancong. Memandangkan Teja akan berada di Singapura sehingga hari Ahad, maka dia perlu membayar SGD30 saja untuk memiliki pas yang berupa seperti kad touch N go itu. SGD10 depositnya yang akan dipulangkan jika Teja pulangkan semula pas itu kelak.
Dalam tempoh setengah jam, dia sudah berdiri menunggu MRT untuk ke Lavender Street. Bestnya! Tiba-tiba, satu deringan berkumandang kuat. Teja belek telefonnya yang tergantung di leher. Langkah keselamatan, dan supaya mudah dia mencapainya jika diperlukan. Dia mengemaskan gantungan beg sandang ke bahunya yang sudah mula terasa lenguh.
YOU ARE READING
Tuah Kasihnya Teja
RomanceKOTA Singa menjadi saksi pertemuan pertama dua insan yang bagaikan langit dan bumi. Tuah yang sudah biasa menyendiri sejak kecil menyulam rasa tidak senang apabila hidupnya dicerobohi Teja, gadis tekad dalam segala hal dan becok tak kisah orang suka...