TEJA tak percaya dengan apa yang dilihatnya. Dalam marah yang cuba ditahan, dia mendail nombor Tuah. Berdering sekejap saja sebelum dimatikan dari sebelah sana. Teja campak telefonnya ke atas tempat duduk di sebelah begitu saja dengan gigi diketap. Sakit hatinya!
Dia sengaja ambil angin di situ selepas men'sampah'kan koleksi peribadi Datin Norma. Kerana rindukan Tuah, dia datang ke sini, tempat di mana dia meluahkan isi hatinya pada Tuah dahulu. Mana mungkin dia lupa.
Tak sangka dia akan melihat Tuah bersama orang lain, dengan lebih tepat lagi, lelaki lain.
Teja bengang kerana Tuah membohonginya. Kata tidur waktu siang, alih-alih ada di sini. Tidur apa namanya? Melainkan Tuah tidur buka mata sambil berjalan, itu lain cerita. Masalahnya, Tuah tak tidur tapi keluar dengan orang lain, siap naik kereta orang tu lagi. Mana dia tak sakit hati.
Teja ikut saja kereta Honda Accord berwarna hitam itu sehingga ke tengah KL. Waktu-waktu begini, boleh tahan jam juga. Susah Teja nak pastikan kereta itu tak hilang dari pandangannya, tapi dia tetap tak nak mengalah. Berapa kali Teja kena hon oleh pemandu kereta lain kerana bawa kereta bagai orang gila, tiba-tiba menyelit sana-sini.
Waktu sudah menunjukkan senja, dan azan maghrib baru saja berkumandang. Syaitan pun suka menambahkan lagi sakit hatinya, meniupkan api amarah dan syak wasangka.
Bila kereta itu berhenti dan Tuah turun bersama lelaki tadi di hadapan sebuah kelab malam, syak-wasangkanya bertambah hebat. Tanpa berlengah, dia terus berhenti di tepi jalan. Lampu hazard ditekan dan keretanya ditinggalkan begitu saja. Teja terlewat sedikit, bila Tuah sudah masuk ke dalam.
"Saya nak masuk," ujarnya garang.
Dali dan rakannya berbalas pandang dengan senyum sinis.
Teja langkah ke hadapan lagi, tetapi Dali terus menghalang laluannya dengan wajah garang.
"Kelab tak buka lagi." Hakikatnya, malam ini memang kelab Giant Turf ditutup kerana operasi Dhan. Semua perlu berada di tempat urusniaga berlangsung, kecuali bouncer seperti Dali.
Teja cekak pinggangnya sambil tergelak tidak percaya.
"Kau ingat aku kebulur nak masuk kelab ni? Aku nak jumpa lelaki tadi. Aku nak jumpa Tuah."
Dali terdiam sekejap.
"Kenapa kau nak jumpa dia?" Sungguh Dali hairan. Sejak Tuah muncul di sini, ini kali pertama ada perempuan mencarinya. Itupun... bukan perempuan murahan. Sempat dia melirik Teja atas bawah. Dia yakin, wanita di depannya ini bukan pelacur.
"Melainkan kau pelacur, kau tak ada sebab nak jumpa dia."
Buk! Bukan tangan yang naik, tapi kaki Teja lebih laju singgah ke keting Dali. Terbongkok-bongkok lelaki itu memegang kakinya yang sakit.
"Aku cakap, aku nak jumpa dia. Setakat korang yang badan ketul-ketul macam ni, kau ingat aku heran? Sebelum korang kena belasah dengan aku, baik panggil dia. Sekarang. Kalau kau tak nak aku masuk, kau panggil dia keluar. Aku kira sampai lima je. Satu! Dua!"
"Nanti! Kejap." Dali terus menahan rakannya dari berkeras dengan Teja.
Dia bimbang Jack mahupun Dhan tahu mengenai Teja. Tak pasal-pasal dia kena buang kerja pula. Lebih baik dia uruskan Teja senyap-senyap. Dari gayanya, Teja tak boleh 'diuruskan' senyap-senyap. Dali angkat tangan depan Teja.
"Aku panggil dia. Jangan buat kecoh," pesannya pada Teja.
"Kau jangan bagi dia masuk. Nahas kita nanti," pesannya pada rakannya yang pantas mengerti.
Projek besar mereka malam ini sudah diatur. Kalau ada apa-apa masalah, susah mereka nanti. Jadi mereka perlu menjaga kepentingan satu sama lain, dan elakkan masalah ini diketahui Dhan.
YOU ARE READING
Tuah Kasihnya Teja
RomanceKOTA Singa menjadi saksi pertemuan pertama dua insan yang bagaikan langit dan bumi. Tuah yang sudah biasa menyendiri sejak kecil menyulam rasa tidak senang apabila hidupnya dicerobohi Teja, gadis tekad dalam segala hal dan becok tak kisah orang suka...