Bab 2

76 13 0
                                        

Raisha melancarkan perang senyap. Dia lebih banyak membisu. Tidak lagi rancak berbual. Hanya aku yang beria-ia berlakon di depan Shida bahawa kami berdua baik-baik belaka. Takut ada ribut bertiup mengatakan kami bergaduh. Nanti akan ada yang ambil kesempatan mengapi-apikan keadaan. Terutamanya Serina.

"Rai..."

Raisha berjalan tidak menoleh belakang lagi. Tanpa kata, Raisha masuk ke dalam kereta. Belum sempat mengejar, kereta Raisha meluncur pergi meninggalkan aku sendirian di ruangan parking. Lima minit berdiri, tiada tanda-tanda Raisha akan berpatah balik. Dia nekad meninggalkan aku.

Tunduk kepala bila merasakan ada gegaran pada beg tote. Mata tertancap pada skrin telefon. Ada mesej baru diterima daripada Raisha.

+ Sorry...Aku balik dulu. Kau tunggu situ.

Panjang keluhan aku. Terpaksa lupakan hal Raisha terlebih dahulu. Sekarang aku perlu cari cara untuk pulang. Sedang mata melilau sekeliling ada sesuatu yang menggamit. Tidak jauh dari sini, aku nampak Hilman keluar dari dewan. Cepat saja aku pusingkan badan, membelakangi dia. Mengelak bertembung empat mata.

Belum sempat buka langkah, terasa bahu dicuit lembut dari belakanh.  Sejurus menoleh, pandangan aku bertaut dengan seseorang. Spontan mata sedikit meluas. Terkejut.

"Baheera?"

Kelip-kelip pandang dia.

"Rai minta saya hantar awak balik."

Laju aku menggeleng kepala. Aku lebih sanggup tumpang Hilman daripada satu kereta dengan Raid dan Serina.

"Saya boleh tumpang teman lelaki saya." Bohongku. Sepasang iris pura-pura pusing mencari Hilman kembali. Dalam hati sempat berdoa semoga Hilman sendirian supaya mudah aku mengelakkan diri dari menerima pelawaan Raid.

Sayang seribu kali sayang, berjarak tiga meter dari sini aku menemukan Hilman sedang bergelak ketawa dengan seorang perempuan. Perempuan itu memaut lengan Hilman erat, tindak balasnya, Hilman mencuit dagunya sebelum kelibat dua orang manusia itu hilang di dalam perut kereta.

"Teman lelaki awak nampak tak kisahkan awak. Siap boleh curang lagi."

Mengetap sepasang bibirku mendengar ayat Raid. Kedengaran menyindir pun ya. Terpaksalah aku pusingkan badan, berdepan dengan dia kembali.

"Curang tu pilihan dia. Sekali pun curang, saya tak kisah. Dan saya tak cemburu." Luahku sebal. Perasaan itu sudah pun mati sejak bertahun-tahun dahulu

"Tapi awak nampak kecewa."

Nampak gayanya, Raid seperti mahu memanjangkan perbualan. Ini tidak sepatutnya terjadi. Takut kepala aku akan tumbuh tanduk. Nekad nak rampas Raid daripada Serina. Biar perempuan itu meroyan. Dendam lama aku pun terlunas.

"Lebih baik tuan balik. Tunang tuan mesti dah lama tunggu tuan dalam kereta." Sengaja aku tekankan perkataan tunang. Nanti apa kata Serina bila nampak kami berdua-dua di sini. Takut aku dituduh cuba menggoda tunang dia pula.

"Saya akan balik selepas hantar awak." Raid berpeluk tubuh memandang aku.

"Jawapan saya masih sama. Saya akan pulang sendiri." Aku tetap dengan pendirian untuk menolak sekeras-kerasnya tawaran dia.

"Tuan boleh bohong pada Rai yang tuan telah selamat hantar saya pulang. Rai tak akan tahu." Kataku lagi.

"Seumur hidup saya tak pernah berbohong." Potong Raid dengan muka serius.

"Bohong sunat tak salah, tuan."

Bibir atas dan bawah Raid terpisah. Sebelum Raid bersuara, aku lebih dahulu mencantas.

Hello Mr FreezeTempat di mana cerita hidup. Terokai sekarang