Bab 16

98 10 2
                                        

Setelah puas soal siasat Hilman, aku bingung sendiri. Terlalu banyak cerita-cerita yang lompong. Yang tidak berapa nak memuaskan hati selepas serangan demi serangan. Yang meresahkan hati kerana mengenangkan diri masih terdedah dengan bahaya di luar sana.

Dua orang menjadi suspek utama. Salah seorang bangkang sekeras-kerasnya tuduhan aku. Penafian Hilman, buatkan rasa curiga aku cenderung kepada suspek kedua, iaitu Serina. Namun aku masih tetap belum berpuas hati. Masih mahu soal siasat dia.

"Saya tahu banyak yang awak tak puas hati dengan saya, Hilman." Aku cuba selami isi hati dia. Cuba heret dia ke dalam perbincangan yang damai.

"Saya akui perkara tu."

Telefon pintar aku pindahkan dari telinga kiri ke kanan. Panasnya tidak sepanas hati aku. Terlalu mudah Hilman mengakui tanpa sedikit pun rasa bersalah.

"Awak tahu kan, dah tiga kali saya hampir kehilangan nyawa." Dengan Hilman, bercakap perlu berhati-hati. Perlu juga berhemah dan lembut tutur bicara.

"Then?"

Aku tahan nafas. Nyawa aku tak bernilai di mata Hilman. Malah, tak penting juga. Kalau aku mati, tak hairanlah jika Hilman bakal mengadakan pesta meraikan kematianku.

"Saya rasa, ada yang merancang nak bunuh saya." Luahku. Sengaja nak pancing reaksi dia.

"Mungkin orang tu nak saya mati baru dia puas hati. Baru hidup dia aman." Kataku lagi bila pihak Hilman tiada suara.

"Jadi, awak nak tuduh saya?"

Sehabis baik aku bertenang walaupun suara Hilman mula menunjukkan tanda-tanda awal kemarahan. Tanda-tanda mahu bertengkar dengan aku. Boleh jadi sebentar lagi akan berlaku perang mulut.

"Saya tak tuduh awak, Hilman."

"Tapi cara awak macam menuduh saya. Macam saya sengaja cetuskan kemalangan supaya awak mati. Tak begitu?" Turun naik suara Hilman.

Mujur saja Hilman tiada di depan mata. Boleh jadi kami berdua bakal terlibat kemalangan buat kali ke dua. Hilman bukan boleh dicuit. Pantang cuit, dunia boleh terbalik.

"Dengar...Saya tak nak libatkan polis. Kalau saya libatkan polis, benda ni boleh cetuskan kekecohan. Dan semua orang terdekat dengan saya akan jadi suspek. Termasuk awak."

Sepi di hujung talian. Kemudiannya terdengar Hilman merengus. Sistem pernafasannya juga tidak teratur.

"Look..." Suara Hilman mula mengendur. Deru nafasnya juga tidak sekencang tadi. Besar kemungkinan dia akan berikan kerjasama penuh selepas ini.

"Saya mengaku, saya salah..."

Mengaku juga Hilman. Kenapa nak jadi jengkaut yang mengorek marah aku sedikit demi sedikit?

"Tapi saya dah menyesal. Kalau saya kaya sekali pun, tak guna kalau hidup tak tenteram."

Apa maksud Hilman? Kaya? Apa kehidupan Hilman tidak cukup kaya sekarang ini? Kereta mewah dua biji. Rumah ada dua biji. Belum kira lagi aset-aset lain.

Bukan aku tak tahu kekayaan dia kecapi. Ramai yang menjaja kisah kekayaan dia. Sayangnya, aku tak pandang kekayaan tersebut. Kaya tapi miskin dengan adab tak mendatangkan keuntungan pun.

"I'm sorry, Heera."

Sikit lagi aku merengus. Permohonan maaf Hilman itu tidak laku ketika ini. Apa dia tahu, hanya meminta maaf tanpa sebarang penjelasan. Dalam rasa geram pada dia menggunung, aku sabarkan jua hati dengan bicara dia yang seterusnya.

"Saya mengaku...Saya memang sengaja langgar belakang treler supaya awak kemalangan."

Sikit lagi rahang aku jatuh dengar pengakuan berani mati hilman. Telefon aku genggam kuat. Menahan segala rasa yang sedang bergolak hebat.

Hello Mr FreezeTempat di mana cerita hidup. Terokai sekarang