Bab 12

38 8 0
                                    

Genap lapan jam aku pengsan.

Sejurus melihat dunia, aku mengimbas seluruh tubuh setelah bersusah payah bangkit dari perbaringan. Tiada kecederaan yang serius. Setakat dahi berbalut dan pipi calar-balar sedikit bukan masalah besar. Kaki pun masih mampu bergerak-gerak, kira bersyukur sangat-sangat. Masih mampu bergerak ke sana dan sini tanpa memerlukan sebarang bantuan.

Luka yang nampak menyakitkan mata adalah tangan kanan yang berbalut hingga ke paras siku dan tergantung dengan tali yang diikat pada leher. Kurang pasti sama ada terseliuh atau ada mana-mana tulang yang patah. Tunggu nanti kemunculan doktor, baru aku bertanyakan dengan lebih lanjut.

Aku pandang sekeliling. Bangunnya aku, tiada sesiapa di dalam bilik. Sedang aku menganalisa keadaan, baru sedar akan Hilman. Bagaimana keadaan lelaki itu? Apa Hilman masih hidup? Apa kecederaan Hilman itu lebih parah dari aku?

Tergesa-gesa aku ingin turun dari katil. Diabaikan segala rasa yang menyengat. Setidaknya, aku perlu tahu keadaan Hilman. Belum sempat kaki jejak lantai, bunyi pintu ditolak dari luar menggamit. Lantas aku angkat muka. Tersentak dengan kemunculannya.

"Awak dah sedar?" Sapa Raid.

Langkah Raid sangat tenang menghampiri. Di tangan lelaki itu ada beberapa bungkusan plastik lalu diletakkan atas meja berhampiran. Barulah dia memberi seluruh tumpuan pada aku.

"Nak pergi mana?"

Terkebil-kebil aku diajukan soalan. Lupa niat asal yang mahu mencari tahu keberadaan Hilman.

"Saya..." Aku mati ayat. Mati akal juga.

"Duduk dan rehat. Nanti saya akan panggil doktor untuk periksa awak."

Maaf. Ada pembetulan di sini. Yang berhak mengatur dan buat keputusan bagi pihak adalah ahli keluarga aku. Bukannya Raid. Makanya, jangan pandai-pandai panggil doktor.

"Atas arahan Tuan Azman. Bukan dari pihak saya."
Raid bijak membaca apa yang dalam fikiranku. Penerangan dia lebih pantas daripada niat aku yang baru ingin bertanya lebih lanjut.

"Makan dulu, cas semula tenaga awak yang dah hilang. Sementara tunggu Tuan Azman dan Mus balik solat."

Dan aku faham cerita selepas itu. Tugas Raid adalah pantau keadaan aku semasa ketiadaan mereka berdua. Tak perlu lagi lelaki itu bercerita.

"Tuan..." Aku teragak bertanyakan perihal Hilman.

"Otak tak mengalami sebarang gegaran. Andomena dalaman juga sihat walafiat. Memori, masih sama. Masih mampu ingat saya. Apa yang mampu saya rumuskan, tiada yang serius. Hanya tangan terseliuh dan mungkin awak akan rasa bisa-bisa badan kesan daripada hentaman yang kuat." Berjela penjelasan dari doktor tidak bertauliah.

"Oh...Okey." Hanya itu mampu aku sebut. Memori aku gagal menyusun kosa kata.

Keadaan menjadi canggung. Ekor mata aku hanya mampu memerhati segala tindak-tanduk Raid. Sesekali aku memikirkan cara bagaimana mahu bertanya kepada Raid perihal Hilman.

"Mama awak?" Lain pula yang terluah dari mulutku.

"Mama dah balik dengan Rai."

"Oh..." Sekali lagi aku memberi reaksi yang sama. Canggung.

"Tapi Rai akan datang sini semula."

Terima kasih di atas perkembangan semasa ke semasa yang disampaikan. Sayangnya, penyampaian tersebut belum memenuhi tuntutan soalan aku. Ada nama yang belum disenaraikan oleh Raid. Nama Hilman.

"Makanlah."

Cekap Raid buat kerja tanpa aku sedari. Tahu-tahu saja, pinggan terisi dengan nasi dan sedikit lauk kari ayam terhidang depan mata bersama segelas air milo panas.

Hello Mr FreezeWhere stories live. Discover now