AKU mengundur beberapa langkah. Tanpa sedar kaki terlanggar sesuatu hingga jatuh terduduk. Tangan meraba di dalam gelap. Pencarian terhenti bila menyentuh sesuatu yang hangat. Lantas aku pusing lalu mengesot laju. Tak sedar telapak tangan sudah pedih terhiris dahan ranting kering yang ada di atas jalan.
Kepala tergeleng rakus sejurus ternampak sekujur tubuh terbaring kaku. Dalam kegelapan, aku nampak ada cecair yang mengalir di kepalanya. Perlahan-lahan aku merangkak. Seluruh tubuh mengigil teruk. Hembusan nafas juga tidak teratur.
Kurang setengah meter, aku berhenti. Tangan kanan cuba menyentuh jasad yang masih belum ada sedikit pun pergerakkan. Masih terbaring keras berlantaikan jalan raya.
"Bangun..." Hujung jari menolak tubuh wanita itu sebelum jari menjauh laju.
Dua saat berlalu, sepi.
"Tolonglah...Bangun." Aku mencuba sekali lagi bersama tangisan. Kali ini tubuhnya digoncang berkali-kali.
Dengan tangan terketar-ketar, aku tampar pipinya berkali-kali. Masih begitu. Masih tiada respon. Percubaan entah kali ke berapa untuk membangunkan wanita itu tidak membuahkan hasil. Bila terasa ada sentuhan dari belakang aku menjerit ketakutan. Spontan aku terduduk. Tangan melekap kuat di kedua belah telinga. Kepala ke kiri dan kanan.
"Pergi!" Jerit aku.
"Hei...Hei...Heera! Ni saya, Hilman." Kedua belah bahu aku dicengkam kejap. Memaksa aku pusing menghadap bayang yang baru muncul.
Aku celik mata. Bibir dikemam kuat. Kolam air mata sekelip mata penuh. Aku menerpa ke arah dia.
"Hilman...Hilman...Saya...Saya..." Aku sudah hamburkan tangisan. Sesekali tangan naik dan turun menunding belakang. Bayang Hilman jadi banyak. Bahkan tenggelam di sebalik air mata yang tidak ada tanda mahu mengering.
"Syhhh!" Hilman cuba meredakan tangisan aku.
"Macam mana saya nak diam Hilman! Dia dah mati! Dah mati, faham?!" Aku hilang pertimbangan. Aku marah besar. Tubuh Hilman ditolak menjauh. Bila dia kembali mendekat, segera aku berundur.
"Saya tak sengaja dah langgar dia." Tangisan aku yang hilang dua saat muncul kembali.
Hilman geleng kepala. Kerja-kerja menenangkan aku diteruskan tanpa peduli beberapa kali aku menepis tangan dia.
"Apa saya nak buat Hilman? Saya tak nak masuk penjara! Awak kena tolong saya." Kewarasan aku hilang sepenuhnya. Aku seperti kerasukkan. Meronta-ronta melepaskan diri dari Hilman.
"Heera...Heera..." Tangan kekar Hilman berpindah di kedua belah pipiku. Memaksa aku menatap dia.
"Tolong Heera. Bertenang. Plesae..." Pujuk Hilman separuh merayu. Air mata aku diseka dengan jari kasarnya.
Sepasang bibir aku mengetap kuat. Dengan segala kudrat yang ada, aku menolak Hilman menjauh.
"Saya pembunuh Hilman. Saya dah langgar dia sampai mati. Awak nak saya bertenang? Awak tak faham!" Hujung ayat aku ketawa. Ketawa yang jelas dibuat-buat.
"Saya nak serah diri dekat balai." Tangan aku rakus hapuskan air mata. Aku nekad untuk bertanggungjawab. Tak nak seumur hidup dikejar dosa.
"Awak dah gila Heera?!" Suara Hilman mengejutkan seisi alam. Bergema di setiap penjuru.
Aku mendesis perlahan bila merasakan cengkaman Hilman terlalu kuat. Tak jadi nak bangun bila sekali tarik aku terduduk semula.
"Lebih baik gila dari saya hidup penuh dengan rasa serba salah Hilman!" Aku merentap tangan kuat sehingga terlepas dari cengkaman Hilman.
Air mata aku payah dikekang lagi. Mengalir tanpa henti. Buat pertama kalinya aku tidak mampu melihat dengan jelas raut wajah kecewa Hilman.
"Atau awak boleh bunuh saja saya. Selesai semua masalah." Percakapan aku sudah jauh menyimpang. Lupa halal dan haram. Sengaja ambil jalan singkat untuk selesaikan masalah.
ANDA SEDANG MEMBACA
Hello Mr Freeze
Roman d'amourAntara kerja dan cinta, mana yang lebih penting? Cinta itu pelengkap kehidupan. Kerja pula demi nafkah untuk meneruskan sebuah kehidupan sementara. Runsing! "Kau dah janji, deposit pun kau dah ambil. Aku bayar. Bukan guna khidmat secara percuma Heer...
