Bab 18

76 9 2
                                    

Aku bingung atau ada cerita yang terlepas pandang? Cerita mereka semuanya versi yang berbeza-beza. Sehingga sukar untuk aku percaya mana satu.

Jika tidak berjumpa dengan Serina tempoh hari, tentu saja aku akan percaya pada Raisha. Tetapi setelah satu jam lamanya mendengar segala penceritaan di pihak Serina pula, aku mula bolak balik. Hanya seseorang saja yang perlu aku cari untuk tahu sejauh mana kesahihan cerita tersebut.

Namun panggilan telefon aku tidak bersambut sejak dari tadi. Pesanan aku juga hanya dibalas dengan dua garisan kelabu. Gara-gara perkara tersebutlah, seharian aku resah gelisah. Hampir setiap minit telefon di tangan aku kerling.

Niat nak duduk terus batal sejurus terdengar bunyi telefon. Lekas telefon aku bawa melekap ke telinga.

"Mana awak Raid?" Tanpa salam aku terus bertanya. Tak sesuai nak bercerita di dalam telefon. Ada baiknya berjumpa empat mata. Biar aku dapat baca apa reaksi lelaki itu.

"Tunggu saya, lima belas minit saya sampai." Arahku.

Segera aku berlari ke dalam bilik, beg silang diraih. Kunci tergantung berhampiran pintu keluar aku capai. Kaki menyarung sandal tergesa-gesa lalu bergegas menghampiri kereta.

Seperti yang dijanjikan, aku sampai dalam masa tiga belas minit. Mujur saja Raid ada berhampiran dengan rumah. Tak perlu aku bersusah payah memandu jauh-jauh ke pejabat lelaki itu.

Dari jauh aku nampak Raid sedang bergelak ketawa sambil membersihkan baju dan kepala. Langkah yang laju sebentar tadi kian perlahan. Tanpa sedar mulut aku mengomel sesuatu.

"Macam budak-budak!" Itu komen aku bila ternampak mereka semua sedang melumurkan tepung ke muka dan kepala Raid.

"Kalaulah budak-budak ni tahu si Raid tu sebenarnya bapak budak, jangan haraplah Raid dapat merasa majlis perpisahan ni." Omelan kedua aku menyusul.

"Awak jangan lupakan kita tau."

Terhenti langkah aku dengar suara manja milik Alia, salah seorang murid sekelas dengan Raid.

"Ada apa, boleh call." Satu keping kertas dihulur pada lelaki itu.

Kalau sudah namanya lelaki, perempuan bagi apa pun diambil juga. Sempat lagi Raid tersengih disebalik muka yang mengalahkan maskot mcd sambil capai kertas tersebut.

"Raid!" Panggil aku. Tak tahan melihat lelaki itu dikerumuni pelajar perempuan.

Tak sangka, dalam diam ramai juga minat dengan Raid. Padahal, semasa dalam kelas, tak ada seorang pun berani mendekat. Apatah lagi berbual dengan lelaki itu.

"Cikgu!" cepat-cepat mereka semua bubar.

Sempat mereka tunduk ketika berpapasan dengan aku. Ada yang mencicit lari tanpa menoleh. Ada yang tersengih-sengih. Tahu-tahu sahaja, tinggal Raid yang berdiri tegak dengan keadaan sangat tidak terurus.

"Nak join?" tanya dia.

"Awak tak ubah seperti anak kecil, Raid." Getus aku sambil pandang keliling. Bersepah.

"Dia orang yang plan. Saya sendiri pun tak tahu menahu tentang majlis perpisahan ni." Bela Raid, tangan sibuk mengibas rambut yang putih.

"Habis, siapa nak kemas ni?" Muncung terhala pada bekas makanan ada tidak jauh dari sini.

"Tolonglah, Raid..." faham sangat dengan renungan Raid itu.

"Saya datang nak bincang, bukan mengemas." Kata aku lagi.

"Dia orang pun anak murid awak. Tak salah kalau awak tolong bagi pihak mereka."

Mengecil mata aku. Sejak bila Raid sudah berpihak pada mereka? Dan sejak bila Raid pandai mengarahkan aku pula?

Hello Mr FreezeWhere stories live. Discover now