"Ada apa Rai?" Lama aku merenung Raisha. Mencari tahu apa punca dia ke sini secara mengejut. Ini bukan Raisha yang aku kenal.
Senyuman terlebih dahulu menjawab pertanyaan. Lebih menghairankan, senyuman itu nampak seperti terpaksa. Demi melegakan hatiku.
"Aku tak dapat contact kau."
Ya. Aku lupa untuk beritahu Raisha nombor baharu aku. Rungutan dia aku terima dengan lapang dada.
"Kau sibuk?" Tanya Raisha. Sempat mata dia meliar. Aku geleng kepala. Kebetulan sesi mengajar baru saja selesai.
"Kita bincang dekat luar."
Biarpun hairan, aku menurut tanpa bantah bila mengenangkan betapa seriusnya Raisha. Seolah-olah ada perkara penting yang mahu dia sampaikan dengan kadar segera. Tak boleh tertangguh.
Sekarang aku sudah pun duduk semeja. Berdepan dengan Raisha yang sejak dari tadi asyik melarikan pandangan matanya. Sepuluh jari meramas sesama sendiri.
"Ceritalah..." Aku masih mampu bertenang. Masih waras dan bebas dari segala unsur-unsur mendesak.
"Tentang Seri."
Dua patah perkataan meluncur dari mulut Raisha berjaya buatkan aku tak senang duduk. Setelah membasahkan tekak, tumpuan aku kembali pada dia. Menanti dengan sabar cerita seterusnya.
"Aku ada dengar cerita kau kena serang."
Turun naik kepala aku. Boleh jadi penyampai berita tersebut adalah Raid. Maka tak perlulah aku merasa terkejut.
"Nasib baik kau okey, Heera."
Syukur Alhamdulillah. Allah panjangkan usia aku. Masih mampu bernafas walaupun diuji mental dan fizikal. Terima kasih Allah kerana tiga kali mengutuskan Raid sebagai penyelamat.
"Aku dah siasat siapa dalangnya."
Tak sangka, adik Raid juga ada bakat besar dalam menyiasat. Mujurlah Raisha memilih untuk meneruskan legasi perniagaan bapanya. Menyiasat mungkin hanya kerja sampingan demi mencari tahu penjenayah yang berani menyerang aku selaku sahabat baik dia.
"Silap besarlah dia serang kau. Dia belum kenal aku siapa. Aku sanggup habiskan beribu cari dia sampai ke lubang cacing."
Tanpa sedar aku tersenyum. Adik beradik R sering dahulukan aku tanpa mengira waktu. Gadai nyawa pun mereka sanggup asalkan aku selamat. Dan ketaksuban mereka harus dicegah sebelum kian melarat. Lebih parah jika ketaksuban mereka berjangkit pada yang lain.
"Aku bukan anak jutawan Rai. Setakat anak yatim. Bapa aku pun dah tunggu masa nak pencen. Ada seorang abang yang selalu jadi hero dari jauh. Tak perlu kau susah diri. Jangan bazirkan duit demi aku."
Ada riak tidak puas hati Raisha tayangkan.
"Berbalik pada Seri." Aku terlebih dahulu bersuara sebelum Raisha lancarkan protes. Protes dia bukan biasa-biasa. Sarat dengan segala ancaman.
"Apa dia buat kali ni? Jangan cakap dia kena cekup khalwat dengan orang lain." Sekiranya perkara tersebut terjadi, maka separuh nyawa Raid bakal melayang. Serina itu nyawanya.
Raisha jeling gara-gara mulut lancang aku. Jelingan dia tak memberi kesan langsung. Elok saja aku ketawa biarpun berkali-kali diserang dengan jelingan.
"Dialah yang rancang nak bunuh kau."
Lenyap terus ketawa aku. Terkejut dengar cerita Raisha. Namun rasa terkejut bertahan tak sampai seminit sebelum aku ukir senyuman tipis.
ANDA SEDANG MEMBACA
Hello Mr Freeze
RomanceAntara kerja dan cinta, mana yang lebih penting? Cinta itu pelengkap kehidupan. Kerja pula demi nafkah untuk meneruskan sebuah kehidupan sementara. Runsing! "Kau dah janji, deposit pun kau dah ambil. Aku bayar. Bukan guna khidmat secara percuma Heer...
