Cincin di jari manis entah ke berapa kali aku renung. Beberapa kali itu jugalah mengundang keluhan demi keluhan. Tak terhitung banyaknya. Dalam waktu yang sama, ada rasa menyesal mula datang bertandang. Rasa yang menguli sebati semua emosi.
Sedang sibuk meratapi nasib, bunyi telefon menyedarkan aku ke alam nyata. Kepala segera menoleh melihat nama si pemanggil. Melihat nama yang tertera buatkan aku was-was mahu jawab. Secara tiba-tiba badan merasa seram sejuk biarpun cuaca panas berdenting tengahari buta ini.
Dalam sangsi, telefon tersebut diraih. Jari meleret ikon hijau lalu telefon di bawa melekap ke telinga.
"Lambat jawab?"
Memang aku sengaja jawab lambat. Sengaja nak mengelak. Sengaja nak dia putus harapan. Tetapi itu perkara yang sangat mustahil. Boleh jadi si empunya suara muncul di depan mata dalam masa beberapa minit jika aku terus-terusan melancarkan provokasi. Perkara itu pernah terjadi dua hari yang lepas.
"Sejak bertunang, awak kerap mengelamun."
Aku tarik nafas panjang. Apa kata dia benar belaka. Perbualan kami selalunya lebih kepada sebelah pihak. Di pihak aku lebih banyak diam dan mendengar. Akhirnya, aku terlepas semua minit mesyuarat.
"Seminggu pun agak payah saya nak dengar suara awak."
Memanglah payah pun. Sejak bergelar tunang Raid, aku masih belum dapat sebarang petunjuk mahupun jawapan berkenaan Raisha. Wajarlah aku melancarkan perang psikologi.
"Tentang Raisha..." Aku masih belum jemu mengingatkan dia agenda sebenar kami. Punca kami sepakat untuk bertunang dan berkahwin dalam waktu yang singkat.
"Saya ada kerja dekat luar kawasan."
"Tu kerja awak, bukan kerja saya." Seperkara yang aku sedar sejak menjadi tunangan Raid, aku jadi baran. Jadi tidak menyabar. Paling teruk, segala percakapan Raid itu hanya menjemput amarah. Sadis sungguh.
"Saya faham...Dan saya tak marah. Saya anggap ini dugaan orang bertunang."
Dia memujuk demi meredakan marah. Demi mengusir jauh segala aura negatif di antara kami. Begitulah Raid sejak kami bertunang.
"Sorry." Pinta aku bila sedar diri. Bila sedar bahawa marah itu tidak seharusnya mengetuai perbualan.
"Kalau awak tak ada apa nak cakap lagi, saya letak dulu." Suara aku kembali mengendur. Mula bercakap santai biarpun masih ada sisa rasa memberontak.
"Sayang..."
Jeda.
Tanpa sedar aku menggenggam kuat telefon. Sebutan itu terlalu lancar. Terlalu sedap didengari. Mengalahkan orang angau bercinta.
"Saa..."
"Raid." Pangkah aku sebelum Raid terbang jauh ke bulan bintang, ada baiknya aku sedarkan dia.
"Awak tak nak pergi bercuti? Boleh jadi awak mengalami tekanan layan anak murid awak yang macam-macam perangai." Usul Raid.
Murid-murid aku elok saja perangai. Yang tidak elok itu adalah disebabkan Raid. Dia pencetus segala yang tidak elok. Itu gara-gara dia yang paling bermasalah di antara mereka semua.
"Saya bukan jenis yang suka bergaduh hal remeh, Raid. Tapi part sayang tu..." Hujung ayat aku mengeluh. Masih tercari-cari ayat yang mampu menyedarkan Raid dari alam ghaib. Yang mampu sedarkan Raid dari mimpi ngeri.
"Ada apa dengan sayang? Saya okey je." Suara Raid mula menunjukkan gejala orang sedang kepanasan. Boleh demam jika dibiarkan.
"Terpulang." Mengalah merupakan ubat paling mujarab bagi mengekang sakit Raid dari menular.
YOU ARE READING
Hello Mr Freeze
RomansaAntara kerja dan cinta, mana yang lebih penting? Cinta itu pelengkap kehidupan. Kerja pula demi nafkah untuk meneruskan sebuah kehidupan sementara. Runsing! "Kau dah janji, deposit pun kau dah ambil. Aku bayar. Bukan guna khidmat secara percuma Heer...