Langkah disusun santai menuju ke bangunan empat tingkat yang berada tidak jauh dari bilik guru. Tanpa sedar, bibir mengorak senyuman. Setelah sekian lama berkerja secara sambilan di syarikat keluarga sendiri, akhirnya aku mula bekerja di tempat baru. Baru dua minggu lepas aku mendapat tawaran. Dan hari ini merupakan hari ketiga aku mulakan kerja.
Tetapi itulah, ketenangan aku baru saja diragut dengan berita mengejut dari pengetua semalam. Berita perihal pelajar baru yang akan melaporkan diri pada hari ini. Dan pelajar tersebut bakal menjadi pelajar aku. Wajarlah merasa gugup, aku pun baru saja berkhidmat. Bak kata pepatah, baru setahun jagung.
Dalam hati sempat berdoa, semoga pelajar baru itu elok perangainya. Elok juga rupanya. Lebih elok jika orangnya berbahasa. Mudah kerja aku mencurahkan ilmu di dada yang tak seberapa.
"Semua bangun!"
Suara ketua kelas berbunyi sebaik saja aku jejak kaki dalam kelas.
"Tak perlu Irfan...Semua duduk."
Memandangkan hari ini ada pelajar baru, sesi pembelajaran hari ini akan bertukar sesi perkenalan dan santai-santai saja. Biar pelajar tersebut biasakan diri. Supaya dia tidak merasa dipulaukan.
Satu persatu pelajar duduk di depan mata aku renung. Tercari-cari gerangan pelajar baru tersebut. Seminit berlalu, namun raut wajahnya belum aku temui. Hairan! Aku yakin tak salah dengar. Hari ini, bukan esok atau lusa.
"Saya lambat..." Muncul satu figura tinggi lampai dari pintu belakang. Sontak semua tertumpu kepadanya.
Tak tahu berapa besar bukaan mataku ketika ini. Bibir bergerak-gerak mahu bersuara namun tidak terluah. Akhirnya, aku hanya mampu memandang tindak-tanduknya. Sesekali nafas ditarik dalam-dalam. Cuba menenangkan diri.
"Saya, Raid Zubari melaporkan diri...Cikgu." Cara Raid perkenalkan diri seolah-olah kami sedang berada di padang kawad. Terlalu formal.
Dua kali aku mengerdip mata, mengharapkan semua ini adalah mimpi. Kerdipan ketiga, Raid masih berdiri tegak di depan mata dengan kedua belah tangan lurus ke bawah. Makanya, aku tidak bermimpi disiang hari.
"Maaf...Motor saya rosak semasa dalam perjalanan." Beritahu Raid tanpa dipinta.
Raid sudah beralih ke bidang lakonan. Handal sekali lakonannya. Dalam diam aku merasa mahu beri tepukan paling gemuruh.
Sepi setelah itu. Sepanjang kesepian itu, aku berusaha sehabis baik untuk bereaksi biasa. Tidak terburu-buru menghukum. Tidak terlalu ikutkan emosi.
"Yang lain-lain, kenalkan diri." Aku bersuara sekaligus mematikan suasana canggung. Dalam waktu yang sama, bibir mengukir senyuman tipis.
"Awak, habis sekolah jumpa saya." Arahku perlahan. Cukup hanya didengari Raid. Balasannya, dia merenung aku tajam.
Aku duduk di meja tanpa peduli keriuhan mereka semua. Aku sibuk. Sibuk mengarang soalan-soalan untuk Raid nanti. Yang pasti, Raid wajib jawab semua soalan tanpa langkau satu pun. Atau aku bakal sediakan pembaris panjang untuk sebat dia.
Lama aku menunggu di dalam bilik guru usai sesi persekolahan. Daripada sepuluh orang, kini tinggal aku sendirian. Sehingga kini aku belum menemukan susuk tubuh Raid. Nampak gayanya pelajar baru ini sukar diurus.
Meja aku kemas. Sedia untuk pulang. Esok baru aku cari Raid. Esok tak jumpa, lusa ada. Sampai ke lubang cacing pun aku akan cari.
Ketika melewati pagar sekolah, aku menemukan Raid yang sedang tunduk di sisi motor Honda EX5 berwarna biru. Cepat-cepat aku berhentikan kereta ke tepi, lalu bergegas turun.
"Awak perlukan bantuan Raid?" Tegurku. Sempat mata melihat tangan Raid yang hitam. Ada rantai besi di tangannya.
"Maaf...Tadi saya memang nak jumpa cikgu, tapi lepas saya betulkan motor." Raid berdiri mendadak, rantai motor dicampak tepi. Sontak kedua belah tangan disorok ke belakang.
YOU ARE READING
Hello Mr Freeze
RomansaAntara kerja dan cinta, mana yang lebih penting? Cinta itu pelengkap kehidupan. Kerja pula demi nafkah untuk meneruskan sebuah kehidupan sementara. Runsing! "Kau dah janji, deposit pun kau dah ambil. Aku bayar. Bukan guna khidmat secara percuma Heer...