Bab 9

45 8 2
                                    

Atas dasar campur tangan pengetua dan pihak berpengaruh, cerita aku diancaman bom palsu tidak tersebar. Yang tahu hanya beberapa orang penting dan pihak berkuasa sahaja. Demi mengelak suasana kacau-bilau dan keselamatan seluruh warga sekolah. Demi imej sekolah juga.

Sebagai proses pemulihan emosi, aku diberi cuti sakit selama dua hari biarpun aku berkeras mengatakan bahawa diriku baik-baik saja. Awalnya, pengetua akur membenarkan aku bekerja seperti biasa. Tetapi bila ada campur tangan pihak polis, aku pula dipaksa turuti supaya rehat secukupnya. Demi kebaikkan.

Pagi tadi, aku sempat berpesan kepada cikgu yang menggantikan aku, supaya mengambil kehadiran pelajar dan maklumkan di dalam group whatsapp jika ada pelajar yang tidak hadir. Berkerut seribu dahi apabila nama Raid juga tersenarai. Baru sebentar tadi aku risaukan dia. Risau jika dia buat onar di dalam kelas. Dia itu sudahlah antara spesis terancam. Spesis yang memerlukan pakar pengurusan untuk menguruskan dia.

'Tuan tak sihat?' – Aku

Semoga Raid maklum keadaan semasa dia. Penting sebagai seorang guru ambil tahu keadaan anak muridnya.

Jeda.

Tiga minit berlalu, hanya kesepian membalas pertanyaanku.
Kali ini, aku ambil pendekatan menelefon Riad terus. Dengar suara dia saja sudah memadai bagiku. Itu tandanya dia masih bernyawa di muka bumi ini.

Dua kali mencuba, hanya operator yang menjawab. Kali ketiga barulah panggilan bersambung. Itupun setelah aku hampir putus asa mahu menamatkan saja panggilan.

"Saya dengar tuan tak sihat?" Tanpa salam aku bertanya.
Respon Raid itu sama lambatnya dengan dia menjawab panggilan aku. Lambat itulah sedikit sebanyak menguji keimanan. Menguji juga bacaan graf kemarahan.

Ajaibnya apabila berdepan dengan Raid, aku mampu menyemaikan rasa sabar. Sangat subur dan merimbun rasa sabar aku menanti setiap bait bicara dia. Terkadang aku sendiri lupa bila waktunya aku marah atau merajuk dengan dia.
Suara orang mengeliat menyapa pendengaran. Disusuli dengan suara menguap panjang.

"Jangan terlalu lurus, Heera. Jangan terlalu percaya dengan cakap orang." Suara Raid serak. Suara macam orang baru bangun tidur.

"Sebab tak percayalah saya telefon tuan terus. Dan Alhamdulillah...Tuan baru bangkit dari kematian rupanya."
Ada ketawa perlahan tercetus. Hairan. Lawak kasar juga yang berjaya mencuit deria ketawanya.

"Baguslah tuan sihat... Dan maaf, saya dah ganggu tidur tuan." Dengar Raid bercakap biarpun sepotong ayat, sudah cukup. Bimbang aku sedang mengganggu lena tuan putera. Lebih menakutkan jika tuan putera mengamuk besar gara-gara tidak cukup tidur.

"Saya ada depan rumah awak, Heera."

"Sorry?" kesan mamai Raid sedang menular dan menjangkiti aku. Kurang jelas apa yang disebut dia. Jadi, mohon dia ulang kembali ayatnya.

"I'm here...Depan rumah awak. Satu malam saya bergilir-gilir dengan anggota lain untuk pantau kawasan sekitar."

Ah! Raid sengaja menjemput rasa terharu. Rasa tersebut bercampur baur dan hampir bikin aku hilang akal. Sikit lagi aku ingin berlari keluar mendapatkan dia. Namun kewarasan menegah aku berbuat demikian. Bikin malu kaum hawa saja. 
Aku berdehem mengenyah rasa gugup.

"Tak perlu sampai macam tu sekali tuan. Papa dan abang saya ada. Mereka berdua boleh jaga saya." Aku sekadar mengingatkan dia bahawa aku masih punya orang-orang penting.

"Dan polis peronda dah jalankan kerja mereka. Setiap dua jam mereka meronda kawasan taman. Belum kira lagi beberapa orang anggota polis yang tinggal dekat sini. Bukan ke itu dah terlebih aman namanya?" Sehabis baik aku cuba berdiplomasi.

Hello Mr FreezeWhere stories live. Discover now