SEJURUS saja pintu kereta ditutup, telefon aku berbunyi. Menandakan ada mesej masuk. Mesej daripada sang suami. Tak berkelip mata saat baca pesanan dia. Ringkas, tapi tersangatlah menghairankan. Jadi aku putuskan telefon Raid terus. Nak dengar dari mulut dia sendiri apa yang telah terjadi.
"Ya, Raid. Ada apa?" Soalku sebaik saja jawab salam dia.
"Awak ada dekat mana?" Sebaliknya aku pula disoal.
"Saya masih dekat sekolah. Baru nak balik."
Jeda sejenak. Jelas-jelas Raid macam payah bersuara.
"Awak perlukan bantuan? Cakaplah. Kalau saya boleh tolong, saya tolong." Aku bersuara demi mengusir jauh suasana canggung.
"Lalu IPD nanti, boleh jemput saya?"
Aku garit kening. Pagi tadi Raid memandu ke tempat kerja. Hairan bila balik perlu dijemput. Pagi tadi tak ada pula dia titipkan pesan.
"Kalau tak boleh, saya naik grab. Kita jumpa dekat rumah saja." Kata dia bila aku diam tiba-tiba.
Raid jarang-jarang gagal buat aku rasa serba salah. Saja nak hapuskan angan-angan aku nak jadi isteri yang taat pada suami.
"Setengah jam lagi saya sampai." Putusku. Tunggu setelah bertentang empat mata nanti, barulah aku bertanya perihal keretanya.
Memandu dalam keadaan penuh tanda tanya selama setengah jam itu sangat sulit. Bermacam-macam andaian ada di dalam kepala. Sebaik saja nampak muka Raid di depan pos IPD, terus hilang semua rasa kurang enak tersebut. Bibir auto senyum walaupun dia tak nampak.
Sibuk tenung suami di sebalik cermin kereta punya pasal, aku lupa nak buka lock kereta. Bila Raid ketuk cermin kereta baru aku sedar. Tangan kelam kabut nak cari butang lock. Dengan muka berseri-seri dia masuk kereta. Bangga mungkin bila dijemput isteri buat pertama kalinya.
"Kereta awak mana?" Soalan ini penting. Soalan yang menghantui aku sepanjang perjalanan ke sini.
"Breakdown."
"Oh!" Ingatkan perempuan saja tak prihatin dengan kebajikan kereta.
"Rosak teruk?" Tanyaku sambil mata memerhatikan Raid sedang tarik tali pinggang keledar.
"Boleh tahan." Jawapan yang pendek, tapi aku dapat rasakan ada poket yang bakal bocor nanti.
"Belting putus. Saya dah hantar dekat bengkel. Mungkin makan masa yang lama untuk periksa. Takut melibatkan enjin."
Aku yang dengar pun nak demam rasanya. Jika melibatkan enjin, maka aku bakal catu semua perbelanjaan. Silap-silap puasa tiga bulan untuk buat pembiayaan kos baiki.
"Salah saya juga, sebab tak peka dengan schedule." Adu dia kesal namun tenang.
"Awak servis dekat bengkel luar?"
Bengkel luar jarang-jarang nak ingatkan pengguna jadual berkala penukaran alat ganti. Dalam fikiran mereka, tak perlu susah payah ikut prosedur sebab bengkel tidak terikat sebagai dealerships syarikat besar-besar.
"Nope!"
Aku pandang dia. Tak jadi nak mulakan pemanduan. Kemungkinan besar Raid servis keretanya di pusat servis yang diiktiraf. Maka, menjadi tanggungjawab penasihat servis mengingatkan pengguna perihal jadual berkala mengikut masa yang ditetapkan. Aku selaku akauntan keluarga yang belum diiktiraf, wajib untuk aku protes. Sebab ada unsur-unsur penindasan.
Tak kisahlah pusat servis ketam ke, harimau ke, king ke, semua itu perkara asas dan wajib. Supaya kejadian sebegini tidak terjadi. Lainlah masih dalam jaminan waranti, selamat sikit duit. Elok rasanya nak demam, terus kebah.
ANDA SEDANG MEMBACA
Hello Mr Freeze
RomanceAntara kerja dan cinta, mana yang lebih penting? Cinta itu pelengkap kehidupan. Kerja pula demi nafkah untuk meneruskan sebuah kehidupan sementara. Runsing! "Kau dah janji, deposit pun kau dah ambil. Aku bayar. Bukan guna khidmat secara percuma Heer...
