Bab 25

95 10 0
                                        

AGAK lama aku mengamati kilauan emas di sebalik cermin kaca. Tercari-cari mana satu yang sesuai dan berkenan di hati. Lima belas minit memerhati, masih belum jumpa yang berjaya memenuhi citarasa. Yang lain daripada yang lain.

Masuk minit ke dua puluh minit, aku bangkit. Beralih ke kerusi sebelah. Yang lebih jauh sedikit. Dengan harapan dapat menemui sesuatu yang dimahukan.

"Awak nak cakap sesuatu ke Raid?" Aku bersuara setelah lama berdiam diri. Ekor mata perasan Raid hanya menjadi mandor tanpa suara. Hanya aku jadi tumpuan dia.

"Tak."

Aku kerling dia. Ketika itu juga dia melarik senyuman.

"Okey." Kataku sepatah.

"Cik nak rantai atau gelang?" Jurujual bertanya. Menghulurkan bantuan untuk mempercepatkan proses pencarian.

"Saya nak gelang. Yang simple, tapi tak terlalu murah dan tak terlalu mahal."

Setelah mendengar ciri-ciri tersebut, jurujual selaku orang lebih berpengalaman mula beraksi. Menunjukkan kepakaran dalam dunia emas.

"Dan saya tak nak yang kosong. Yang padu. Tak mudah putus. Sebab saya lasak." Sempat lagi aku bersuara tatkala jurujual tersebut sedang sibuk mencari. Dia angguk kepala tiga kali bersama senyuman belum pudar.

Dengan bantuan pakar, tiga utas gelang tangan ada di depan mata. Ketiga-tiganya sesuai dengan kehendakku. Antara ketiga-tiga itu, yang tengah berjaya menarik perhatian.

Gelang tersebut aku capai lalu dililitkan pada pergelangan tangan. Dan tangan dibawa jauh sedikit. Menguji padanan tersebut dari jarak jauh pula.

"Yang tu nampak sesuai dengan cik." Puji jurujual.

Pujian tersebut aku sambut dengan senyuman. Mata terhenti pada angka yang tertulis pada tag di hujung gelang.

Boleh tahan! 13g. Darab dengan harga emas semasa, kurang RM22.43 nak cecah lima ribu!

"Ni rantai tangan jenis putera puteri. Yang padu. Campuran emas putih. Nampak lebih elegan untuk si pemakai."

Aku toleh kiri. Mahukan repson orang sebelah.

"Macam mana?" Soalku perlahan. Tak mahu perbualan kami didengari.

"Awak suka, saya pun suka."

Respon yang sangat tidak membantu. Keputusan diserah bulat-bulat padaku. Tipikal lelaki. Begitulah.

"Okey, saya ambil ni." Putusku setelah beberapa minit berfikir.

Hujung mata nampak Raid capai beg dompet di poket belakang seluar. Sayangnya, aku tiga kali lebih pantas. Kad debit sudah tersedia di tangan. Tahu-tahu saja, kertas laju keluar dari mesin swipe card. Elok telinga terdengar suara rengusan orang sebelah. Tak puas hati.

"Kenapa bayar? Saya yang sepatutnya bayar?" Raid luahkan rasa tak puas hati sejurus kami keluar dari kedai emas.

"Saya punya, jadi saya yang bayar. Lagipun mahal Raid." Aku abaikan muka merah dia.

Langkah aku terhenti bila Raid menjadi tembok penghalang. Hafas dihela perlahan sebelum mata naik merenung dia. Nampak rahang dia bergerak-gerak. Dahi berkerut. Muka merah mengalahkan buah tomato. Itu gelaja orang marah.

"Jangan marah, Raid. Hal kecil je."

"Hal kecil awak cakap?"

Salah pemilihan ayatku. Marah Raid itu semakin merebak. Salah ayat lagi, jangan hairan penyakit marah dia bakal berpindah pada aku pula.

"Jom." Ajakku bila beberapa pasang mata mula beri perhatian pada kami berdua.

Hujung baju dia ditarik bila Raid tidak beri kerjasama. Masih mahu melancarkan perang mulut.

Hello Mr FreezeTempat di mana cerita hidup. Terokai sekarang