Hari ini merupakan hari penentu, jika kami menang, kami akan menjadi Juara Daerah Kuala Muda.
Sejak tahun lepas kami giat berlatih. Pasukan Bawah 18 tahun kali ini berazam kuat untuk mengembalikan kegemilangan sekolah kami sebagai kuasa hoki di daerah ini. Telah hampir lima tahun prestasi sekolah kami tidak ke mana, tidak dapat menandingi pasukan tahun 1991 yang bukan sahaja merupakan juara daerah malah menjadi juara peringkat negeri. Aku yang terpilih sebagai timbalan kapten sejak awal tahun ini terpaksa memberi tumpuan sepenuhnya, memberi bimbingan dan semangat kepada rakan-rakan. Jurulatih kami, Cikgu Simon Lim nampaknya turut naik semangat melihatkan persembahan kami setakat ini. Dalam empat perlawanan yang lepas, kami hanya kalah sekali, kepada juara bertahan, itu pun disebabkan kami melepaskan satu gol di minit terakhir. Dengan menyumbat 9 gol dan bolos 3, itu adalah suatu petanda yang baik tentang kebangkitan pasukan kami. Jika kami menang kali ini, kami akan menjadi juara daerah, jika kalah kami akan menjadi naib juara. Sungguh pun kami pasti akan ke peringkat negeri, kami mahu gelaran juara peringkat daerah kembali.
Perlawanan diadakan di padang Sekolah Menengah Batu Tiga, tetapi penyokong pasukan kami tetap ramai. Dua buah bas telah disewa khas oleh sekolah untuk membawa kami, malah Guru Besar sendiri hadir sama untuk memberi semangat. Cathy juga hadir bersama kumpulan St Johnnya. Walaupun tuan rumah dikehendaki menyediakan pasukan pertolongan kecemasan, tetapi Guru Besar telah mengarahkan St. John kami sendiri menghantar tiga orang ahlinya untuk bersama setiap pasukan sukan kami. Petang ini dia memakai kemeja-T berwarna putih dan berseluar panjang putih juga. Nampaknya sekarang ini dia sering ada di mana aku berada. Sebagai sahabat, aku amat menyanjungi sokongannya itu. Mungkin dengan kehadirannya, aku akan lebih bersemangat untuk memburu kejayaan.
Permainan berjalan dengan rancak. Walaupun agak seimbang, kami mendahului dengan satu gol kosong di separuh pertama. Sebagai kapten untuk perlawanan hari ini, aku tidak banyak masalah kerana kesemua anggota pasukan bermain dengan baik. Masing-masing tahu dan menjalankan tugas seperti mana yang dirancang. Umpanan demi umpanan yang aku hantar ke hadapan untuk penyerang penyerang kami banyak mengacau-bilaukan pertahanan lawan. Kini hanya menunggu masa dan peluang sahaja untuk kami menambah jaringan.
Tiba-tiba pasukan lawan membuat serangan balas, aku tangkas turun ke bawah membantu pertahanan.
Semasa aku berlari menuju ke kawasan D, Zaki, pertahanan kami sudah berjaya mengawal keadaan.
Semasa dia merembat kuat bola untuk menghantar ke atas, pemain lawan menghulurkan kayu hokinya untuk menahan. Bola tersebut melantun dan laju menuju kepadaku. Aku cuba mengelak tetapi tidak sempat. Bola terus hinggap di atas keningku. Aku lihat dunia ini berpusing-pusing, walaupun aku memejamkan mata rapat. Dalam separuh sedar, aku diusung ke belakang pintu gol. Cikgu Simon dan beberapa orang lagi mendemah bahagian yang dihinggapi bola tadi. Aku masih pejamkan kedua-dua mataku, terasa berdenyut-denyut dan sakit yang teramat sangat. Seseorang meminta aku jangan membuka mata dan terus menyembur sesuatu, terasa sejuk sekali.
Seketika kemudian, terasa kurang sedikit sakitnya, namun masih berdenyut-denyut. Setelah terasa lega sedikit, aku duduk bersandar kepada seseorang yang memegang bahuku. Aku membuka mata perlahan-lahan, masih lagi berpinau-pinau pandanganku. Aku memejamkan mata semula, menarik nafas perlahan-lahan, menahan kesakitan yang ada dan cuba menstabilkan keadaan diriku. Walaupun sekali-sekala kedengaran sorakan-sorakan yang gemuruh, aku sudah tidak hiraukan.
"Boleh saya sapu minyak gamat ni cikgu?" aku terdengar suara Cathy.
Dia terus menyapu minyak tersebut ke tempat yang berdenyut itu perlahan-lahan. Pergerakannya membuat aku sedar bahawa aku menyandarkan badanku ke badannya. Aku cuba mengimbangi diriku dari menyandar tetapi tangannya menarik badanku.
"Duduk la diam-diam. You kan sakit." Aku bersandar kembali. Dalam keadaan ini alangkah baik sekiranya Cathy dapat memeluk diriku dan mengucupi dahiku yang sakit. Mungkin akan hilang segala keperitan yang aku sedang alami kini. Aku memejamkan mata, tidak mahu aku peduli apa orang lain kata mengenai situasi aku dan Cathy sekarang.
YOU ARE READING
Cathy & Zack
RomanceRiwayat sebuah kisah cinta diantara sepasang kekasih yang berlainan bangsa dan agama. Sebuah karya asal oleh PENA TUMPUL.