Sebenarnya pertemuan aku dengan Cathy di luar suasana persekolahan berlaku awal lagi, pada pertengahan tahun ini. Selalunya pada setiap Sabtu di pertengahan bulan, aku menjalani latihan renang di Chinese Swimming Club di Penang. Kadangkala keluargaku ikut sama, tetapi selalunya aku pergi sendirian menaiki bas. Latihan ini telah bermula sejak aku di Tingkatan Satu lagi. Di masa itu aku bersekolah di Butterworth, jadi tidaklah jauh sangat berulang alik. Latihan pun aku ikuti setiap minggu.
Tetapi sejak berpindah ke Sg Petani, hanya sekali sebulan sahaja aku ke sana.
Seperti biasa, aku sampai ke CSC lebih kurang jam 10.00 pagi. Selepas bersalin pakaian, aku pun melakukan senaman untuk memanaskan badan sebelum terjun ke kolam. Rakan seperjuanganku seperti Albert, Andy, Jimmy, Cindy dan Amy sudah lama di dalam kolam. Begitu juga dengan coach kami, Tony. Kami telah bersama sejak awal-awal lagi aku mengikuti latihan ini. Walaupun aku seorang sahaja anak Melayu, tetapi aku tidak pernah rasa terasing, malah persahabatan yang telah kami jalin sejak lima tahun yang lalu membuatkan mereka semua faham dan menerima hakikat keadaan diriku yang selalu lewat tiba. Kadangkala kena hentam juga dengan mereka, tetapi lebih kepada gurau senda.
Sebaik sahaja aku turun, Tony mengarahkan kami berenang berulang-ulang sepanjang 25 meter kolam itu, selepas breast stroke, bertukar kepada back stroke, bertukar pula kepada butterfly dan berakhir dengan freestyle. Apabila sahaja kami habis membuat latihan, Tony memberi beberapa teguran dan menunjukkan gaya yang betul kepada setiap seorang dari kami. Kami berlatih lagi, kali ini masing-masing dengan gaya kegemaran masing-masing. Walaupun begitu kami tidak dapat membuat latihan kelajuan kerana agak ramai juga pengunjung pada hari ini. Ada cuti umum di Penang.
Semasa aku menggayakan backstroke dan ketika membuat pusingan di hujung kolam tiba-tiba aku ternampak bayangan di hadapanku. Walaupun berjaya mengelaknya, aku sudah kehilangan momentum.
Aku berhenti dan memandang ke arahnya. Dari pandanganku yang kurang jelas, kerana memakai goggle, aku nampak dia mengangkat tangan dan mengatakan sorry. Sekali pandang aku nampak seorang gadis Cina, memakai swimming suit biru dan memakai cap juga berwarna biru. Aku mengangkat tangan kepadanya dan meneruskan renanganku semula.
Tepat jam 11.00 kami naik merehatkan badan. Aku membebel kepada rakan-rakan mengenai latihan yang tersangkut-sangkut kerana terlalu ramai manusia di kolam. Masing-masing menceritakan kisah accident dan hampir accident masing-masing. Cerita Cindy yang paling melucukan. Dia berlanggar dengan seorang lelaki yang berbadan gempal sebaik sahaja membuat pusingan back strokenya.
Tangannya bukan sahaja mengenai perut lelaki itu malah tertarik seluarnya kerana terkejut dengan kejadian itu. Kumpulan kami ketawa berdekah-dekah, lebih-lebih lagi melihatkan cara berceritanya yang agak melucukan itu. Cindy seorang yang happy-go-lucky. Sentiasa tersenyum dan ketawa, payah untuk membuatkannya marah. Kadang-kadang semasa bercerita yang membuatkannya marah pun, kami akan ketawa kelucuan.
Selepas lebih kurang 15 minit berehat, kami turun semula dan meneruskan latihan. Tony sentiasa mengikuti dan memerhati gerak geri kami dan menegurnya, sungguh pun kini dia berada di atas. Tepat jam 12.00 Tony meniupkan wiselnya tanda tamat waktu latihan kami. Aku terus mencari tangga yang terdekat untuk naik. Semasa mendaki tangga, gadis Cina yang memakai swimming suit biru itu berada di hadapanku. Aku menjeling kepada pahanya yang putih melepak itu.
Tetapi pemikiranku setakat itu sahaja, kerana pemandangan sebegitu adalah biasa bagiku yang kerap ke kolam renang.
"Zek, come we go to the coffee house. I belanja you all. Tomorrow is my birthday," kata Andy yang mengekori belakangku.
"Ohhh, that's why Penang is on holiday mood today," aku berseloroh.
Gadis yang tadinya di depanku tiba-tiba menegurku. "Hai Zek!" dia bersuara.
YOU ARE READING
Cathy & Zack
Roman d'amourRiwayat sebuah kisah cinta diantara sepasang kekasih yang berlainan bangsa dan agama. Sebuah karya asal oleh PENA TUMPUL.