1.2 Recall: Gila Angau

1K 25 1
                                    

Aku berpindah ke sekolah ini sewaktu di Tingkatan Empat. Walaupun aku layak untuk ke sekolah berasrama penuh, namun untuk sentiasa bersama Umi yang kurang sihat, aku menolaknya. Lagi pun, sekolah ini juga merupakan sekolah yang ternama, cemerlang, bukan sahaja di daerah ataupun negeri ini, malah di seluruh negara.

Hari pertama aku melapor diri, aku di tempatkan ke Tingkatan Empat Sains Dua. Tetapi disebabkan aku kurang minat dengan sains, dan dengan usaha Walid sendiri, aku ditukarkan ke Empat Sastera Satu. Mejaku di belakang meja Cathy, di barisan tepi berhampiran tingkap.

Sebagai budak baru, aku tidak banyak cakap, maklumlah tidak kenal siapa-siapa lagi. Sedangkan rakan sekelasaku yang lain kebanyakannya memang sedia bersekolah di sini.

Cathy merupakan seorang pelajar yang pintar, aktif dan berhemah tinggi. Beliau terlibat dengan banyak persatuan dan juga merupakan seorang pengawas sekolah. Antara sukan yang diminatinya ialah badminton dan dia juga merupakan Bendahari bagi Kelab Badminton itu, suatu jawatan yang agak sibuk kerana sememangnya ramai ahli dan banyak kegiatannya. Aku rasa pemilihannya sebagai Bendahari merupakan suatu pengiktirafan yang besar baginya kerana ramai lagi pelajar yang juga berkebolehan sehingga ke Tingkatan Enam. Mungkin juga pemilihannya atas dasar dia merupakan ahli yang lama dan bergiat cergas sejak bersekolah di sini.

Aku juga sudah lama berkecimpung dalam bidang badminton dan pernah mewakili sekolah sebelum ini, tetapi hoki menjadi pilihan utamaku. Cathylah sebabnya aku menjadi ahli Kelab. Aku rasa gembira kerana kegiatan badminton ini sedikit sebanyak memberi peluang untuk aku berdamping dengan Cathy.

Walaupun di dalam kelas aku duduk dibelakangnya, namun peluang untuk berborak kosong dengannya jarang kedapatan. Dalam badminton, selain setiap bulan mesti membayar yuran kepadanya, kadangkala giliran bermain kami bersamaan, sama ada dalam satu gelanggang ataupun dalam gelanggang bersebelahan. Itu sudah cukup bagiku.

Sebenarnya gelanggang badmintonlah yang menjalinkan persahabatan kami. Semasa di Tingkatan Lima, dalam pemilihan untuk mencari pemain untuk mewakili sekolah, namaku dan nama Cathy telah disenarai-pendekkan. Ini memberi peluang untuk kami bermain bersama-sama dalam satu gelanggang.

Di masa rehat kumpulan kami selalu bersembang-sembang dan makan minum bersama.

Sedikit demi sedikit, kami berdua rapat. Maklumlah rakan sepasukan dan juga satu kelas. Kini sudah banyak topik yang boleh kami bincang bersama. Persahabatan kami bertambah erat apabila kedua-dua kami terpilih dalam pasukan sekolah. Dia sebagai pemain single ketiga pasukan wanita dan aku sebagai pemain single kedua lelaki. Dan yang istimewanya kami berdua telah dipilih sebagai pemain bergu campuran utama untuk mana-mana pertandingan persahabatan. Pemilihan tersebut menyebabkan kami banyak membuat latihan bersama, sama ada secara single ataupun double.

Suatu peristiwa yang melucukan yang terjadi antara aku dan Cathy masih aku ingat dengan jelas lagi. Sebagai pemain sekolah, kami dibekalkan dengan berbagai peralatan dan pakaian yang sama, seperti kemeja T, seluar pendek, stokin dan tuala putih. Menjadi kebanggaan kami memakai kemeja T yang istimewa dan menjadi idaman dan sanjungan pelajar lain itu. Suatu peristiwa yang melucukan yang terjadi antara aku dan Cathy masih aku ingat dengan jelas lagi.

Latihan hari itu, kami bertukar pasangan, apabila aku bermain, Cathy berehat dan begitulah sebaliknya. Semasa sedang bermain, aku lihat Cathy sedang mengelap peluh di mukanya dengan tuala yang aku letakkan di hujung bangku panjang di hujung gelanggang. Aku tidak berkata apa-apa, hanya dalam hatiku berkata aku akan balik dengan bau-bauan Cathy, suatu yang aku harapkan.

Di masa rehat, aku pun menggunakan tuala yang sama, yang aku pasti tualaku. Peristiwa Cathy menggunakannya sudah luput dari ingatanku. Semasa aku meneguk air dari botol baru aku teringat, aku memeriksa botol yang aku telah tulis dengan initial namaku. Memang betullah botol aku dan tuala ini pastilah tuala aku. Aku capai semula tuala itu dan memedap kemukaku, mencari bau Cathy sambil mengelap peluh.

Apabila aku bermain semula, sekali lagi aku lihat Cathy menggunakan tualaku. Biarlah, mungkin dia berminat benar menggunakan tualaku, kata hatiku. Namun aku perlu memberitahunya kelak. Aku lihat dia juga memedap ke mukanya dan sebentar kemudian membelek-belek tuala itu. Dia meletakkan semula tuala itu ke atas bangku tanpa sebarang reaksi.

Setelah tamat sessi latihan itu, kami semua sama-sama menyimpan peralatan yang digunakan. Aku dan Cathy sama-sama menuju ke bangku panjang tersebut. Tidak mahu menimbulkan rasa malu, aku berbisik kepadanya.

"You pakai tuala I tadi."

"Oh, you ka! Tak lah, ini tuala I," katanya sambil mencapai tuala itu.

"Tak, I yang letak kat sini dengan botol air ni," aku tunjukkan initialku yang tertulis di botol itu, sambil duduk di sebelahnya.

Perbualan kami berjalan dalam suara perlahan. Cathy terus memedap mukanya dengan tuala aku itu.

"Tak lah, you yang pakai tuala I. I nah kena balik rebus tuala ini" katanya lembut sambil tersenyum.

"Cuba you tengok ni!"' dia menunjukkan hujung tualanya kepadaku.

Terdapat tulisan CNBC dibentuk dari jahitan benang emas. Sememangnya kena perhati baru ternampak. CNBC ialah syarikat penyiaran di Amerika, fikirku.

"Catherine Neoh Bee Chin," jelas Cathy, dia melibas tuala itu ke badanku sambil ketawa.

Aku terpinga-pinga, rupa-rupanya aku yang tersilap guna tualanya. Botol airku berkawan dengan tualanya. Di mana pula tualaku? Melepas hasratku hendak membawa bau Cathy balik ke rumahku.

Aku meminta maaf kepada Cathy mengenai peristiwa semalam dan bertanya sama ada sudah basuh tuala itu. Belum, katanya ringkas. Senyumannya membuat aku tidak terkata apa-apa. Aku juga tersenyum, mengenang kembali akan kesilapan yang aku lakukan kelmarin. Walau apa pun aku gembira kerana Cathy masih boleh tersenyum.

Cathy & ZackWhere stories live. Discover now